NARATHIWAT: Penyanyi popular irama dikir barat asal Kelantan, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, terus melakukan solat hajat dengan harapan keputusan mahkamah esok (6 Mac 2025) akan memihak kepadanya.

Pada masa sama, keluarga serta kenalan turut mengadakan solat hajat memohon supaya penyanyi yang popular dengan lagu ‘Bae Soba Bae’ itu dibebaskan atas tuduhan bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat turut mengesahkan beliau diminta oleh penyanyi itu, yang juga dikenali sebagai Eda Ezrin, untuk melakukan solat hajat.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat.

“Ya… saya diminta oleh Wan Norshaheeda dan lima yang lain untuk melakukan solat hajat.

“Dia jumpa saya ketika saya pergi mengajar agama di Penjara Pusat Narathiwat, 27 Februari lalu,” kata kepada apakhabartv.com ketika ditemui baru-baru ini.

Suami Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35, serta rakan-rakannya, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, turut meminta Abdul Aziz melakukan solat hajat.

“Kita buat solat hajat ni dengan sebut nama mereka satu persatu berbintikan nama ibu mereka,” kata Abdul Aziz lagi.

Sementara itu, seorang ahli keluarga Eda Ezrin turut mengesahkan mereka juga mengadakan suolat hajat memohon keputusan mahkamah esok, memihak kepada keenam-enam tertuduh.

“Memang kami buat solat hajat juga tiap-tiap minggu, termasuk majlis tahlil. Alhamdullilah kalau di pihak majlis agama juga buat solat hajat… terima kasih… sama-sama kita doakan,” kata seorang ahli keluarga Eda Ezrin ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Esok, Mahkamah Wilayah Narathiwat akan membuat keputusan terhadap keenam-enam tertuduh setelah mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual dadah yang dikelaskan dalam Kategori 1 di Thailand.

Eda Ezrin ketika ditemui di Penjara Pusat Narathiwat pada 26 Februari 2025.

Terdahulu, pada 14 Januari lalu mereka dibawa ke mahkamah untuk dibacakan pertuduhan setelah ditahan dalam satu operasi oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Golok di sebuah hotel, pada 1 November tahun lalu.

Ketika pertuduhan dibacakan, mereka mengaku tidak bersalah secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine atau yaba (pil kuda).

Bagaimanapun, mereka mengaku salah menggunakan atau memasukkan dadah ke dalam badan, tetapi bukan pil kuda.

Zuhaira dan suaminya Eridieka juga menghadapi dua tuduhan lain iaitu memasuki dan tinggal secara haram di Thailand. Kedua-duanya mengaku salah di atas pertuduhan itu.

Perbicaraan penuh memiliki untuk menjual dadah itu dijalankan pada 11, 13 dan 14 Februari lalu di Mahkamah Wilayah Narathiwat dengan mendapat liputan meluas media Malaysia.

Esok juga, mahkamah dijangka membacakan hukuman terhadap kesalahan menggunakan dadah, dan memasuki serta tinggal secara haram di Thailand bagi Zuhaira dan suaminya Eridieka.

Eda Ezrin sendiri ketika ditemui di Penjara Pusat Narathiwat 26 Februari lalu yakin 90 peratus akan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Kes Eda Ezrin, suami dan rakan-rakannya itu mendapat perhatian Kerajaan Thailand, dengan Kementerian Kehakiman negara itu mengarahkan mahkamah mempercepatkan perbicaraan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading