NARATHIWAT: Perbicaraan terhadap enam rakyat Malaysia, termasuk penyanyi wanita dikir barat terkenal Kelantan, kerana memiliki dadah akan bersambung selama tiga hari di Mahkamah Wilayah Narathiwat mulai esok (11 Februari 2025).

Keenam-enam mereka – penyanyi ‘Bae Soba Bae’, Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 30 atau Eda Ezrin; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Derama, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, pada 14 Januari lalu, mengaku bersalah terhadap tuduhan menggunakan dadah.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 6,059 butir dadah jenis yaba atau pil kuda, ketika ditahan di sebuah bilik hotel di Sungai Golok pada 1 November tahun lalu.

Zuhaira dan suaminya Eridieka juga mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan lain iaitu memasuki dan tinggal secara haram di Thailand.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, mahkamah memerintahkan semua tertuduh membela diri dengan menyediakan bukti serta saksi.

Mereka diwakili tiga peguam yang dilantik mahkamah, dan pendakwaan dibacakan oleh Pendakwa Raya Wilayah Narathiwat dalam bahasa Thai. Mahkamah bagaimanapun, menyediakan seorang jurubahasa untuk memaklumkan tuduhan itu kepada semua tertuduh.

Mahkamah diberitahu bahawa kes keenam-enam rakyat Malaysia itu mendapat perhatian utama, termasuk dalam kalangan rakyat Thailand.

Arahan juga telah dikeluarkan oleh pihak atasan badan kehakiman Thailand supaya kes itu diselesaikan dalam tempoh tiga bulan, berbanding lebih enam bulan yang menjadi kebiasaan sebelum ini. Keputusan sama ada tertuduh bersalah atau tidak akan dibuat pada awal Mac depan.

Untuk rekod, semua tertuduh ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Narkotik Polis Daerah Sungai Golok, Narathiwat di sebuah bilik hotel pada 1 November 2024.

Polis merampas 6,059 biji pil kuda atau yaba di dalam bilik hotel berkenaan, namun semuanya menafikan dadah itu milik mereka. Ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah.

Perbicaraan yang akan bersambung esok dijangka menarik perhatian ramai, kerana mahkamah telah membenarkan orang ramai turut masuk ke kamar perbicaraan, berbanding sebelum ini hanya melibatkan keluarga terdekat serta pihak media.

Untuk rekod, Mahkamah Wilayah Narathiwat sebelum ini melarang beberapa jenis barangan, termasuk yang dimiliki wartawan, seperti kamera, buku nota, pen, dan telefon bimbit, daripada dibawa masuk ke dalam kamar perbicaraan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading