
NARATHIWAT: Pihak berkuasa Thailand mengesahkan Pengerusi Majlis Syura Patani (MARA Patani), Awang Yabat, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Puteh, Kelantan, semalam (1 Februari 2025).
Awang yang juga dikenali sebagai Waepadoh Jehteh atau Awang Abdullah Kabir, meninggal dunia kira-kira jam 3.30 petang Sabtu pada usia 64 tahun.
Sebelum ini, Allahyarham pernah dirawat kerana kencing manis dan mengalami luka di kaki, yang memerlukan pembersihan berkala. Baru-baru ini, Allahyarham Awang diserang beberapa penyakit lain.

Keluarga Allahyarham dilaporkan berkoordinasi dengan pegawai tempatan dan agensi berkaitan untuk meminta kebenaran membawa pulang jenazah Awang untuk dikebumikan di kampung halamannya di Ban Bue Cho, Mukim Sao, Daerah Rueso di Wilayah Narathiwat.
Allahyarham sebelum ini mendapat perhatian media Thailand setelah menjadi Pengerusi Mara Patani – sebuah pertubuhan yang menjadi payung kepada enam kumpulan pergerakan pemisah iaitu Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP); Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN); Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP); dan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO).
MARA Patani pernah mengadakan rundingan damai dengan pihak berkuasa Thai ketika pemerintahan Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha pada 2015.
Allahyarham sebelum itu telah mengadakan perbincangan rasmi dengan kerajaan Thai pimpinan Yingluck Shinawatra berkaitan masalah Selatan Thai pada 2013.
Ketika itu BRN menjadi kumpulan teras dengan perbincangan diketuai Ustaz Hassan Taib.
Allahyarham adalah rakan karib Ustaz Hassa yang turut membantu perbincangan lima tuntutan BRN pada akhir 2013 dan awal 2014, sebelum rampasan kuasa kerajaan Thai pada 22 Mei 2014.
Allahyarham kembali mengetuai pergerakan itu untuk mengadakan rundingan damai dengan kerajaan Thai pimpinan Jeneral Prayut pada 2015.
Allahyarham menetap di Kelantan dan mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Malaysia, selain menjadi penyelaras dengan kumpulan pemisah yang tinggal di luar Thailand.
Rundingan damai bagaimanapun terbantut susulan penularan wabak Covid-19 selain tidak bersetuju dengan penetapan ‘zon selamat’ dan pemilihan kumpulan kerja untuk menjalankan aktiviti di Thailand.
Peranan Allahyarham berkurangan setelah BRN menubuhkan pasukan rundingan baharu yang diketuai oleh Ustaz Anas Abdulrahman.
Nama Allahyarham tidak tersenarai dalam pasukan baharu itu atas faktor kegagalan rundingan awal, selain untuk mengurangkan peranannnya.
Dari segi keselamatan, penyertaan individu dalam mana-mana rundingan damai dianggap ‘membakar diri’ kerana ‘rahsia’ diri mereka telah diketahui. Ini bermakna identiti individu berkenaan bukan rahsia lagi dan peranan mereka untuk menentang pemerintah akan dikurang atau dihentikan.
Menurut bekas Timbalan Komander Tentera Bahagian 4, Jeneral Samret Srirai, Allahyarham Awang adalah pemimpin penting BRN sejak awal. Allahyarham seorang agamawan yang pernah menjadi guru agama di sebuah sekolah swasta terkenal di Selatan Thailand.
Allahyarham pernah bertugas dengan Ustaz Sapaeing Baso, bekas guru besar Sekolah Yayasan Thammawitthaya di Wilayah Yala, yang dipercayai menjadi pemimpin rohani BRN. Sapaeing meninggal dunia pada 2017.
Allahyarham dikatakan lulusan Arab Saudi dan tinggal di Malaysia sejak beberapa tahun lalu dan menjadi ahli perniagaan dan mempunyai beberapa anak.






Leave a Reply