NARATHIWAT (Selatan Thai): Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) – salah satu kumpulan bersenjata yang memperjuangkan kebebasan di Selatan Thai – hari ini mengumumkan pengerusi mereka meninggal dunia semalam (12 Februari 2025).

Presiden PULO, Kasturi Mahkota berkata hanya memaklumkan bahawa Ahmad Pak San (Lukman bin Lima) meninggal dunia semalam.

“Kami PULO ingin memaklumkan kepada semua ahli PULO secara khusus dan kepada rakyat Patani secara umum, bahawa saudara Ahmad Pak San (lukman bin lima) PULO chairman telah pun meninggal dunia pada semalam hari.

“Kami mengucap takziah kepada semua ahli keluarga nya agar bersabar menempuhi musibah yang berat ini serta kami berdoa agar roh nya ditempat barsama para anbia, syuhada dan para solihin Amin ya rabbal Alamin,” katanya dalam satu kenyataan petang ini (13 Februari 2025).

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan waktu dan di mana Ahmad meninggal dunia.

1 Februari lalu, kumpulan pejuang Selatan Thai kehilangan salah seorang tokoh utama iaitu Awang Yabat yang merupakan Pengerusi Majlis Syura Patani (MARA Patani).

Beliau meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Puteh, Kelantan.

Awang yang juga dikenali sebagai Waepadoh Jehteh atau Awang Abdullah Kabir, meninggal dunia kira-kira jam 3.30 petang pada usia 64 tahun.

Selain PULO dan MARA Patani, gerakan pemisah lain yang memperjuangkan pembebasan wilayah Selatan Thai adalah Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP); Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN); dan Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP).

Leave a Reply

Trending