HAT YAI: Dua terbunuh, manakala tiga lagi cedera apabila seorang sukarelawan tentera Thailand ‘mengamuk’ dan melepaskan tembakan di sebuah restoran di sini, malam tadi (22 Disember 2024).

Kedua-dua yang terbunuh itu adalah pasangan suami isteri yang datang bagi menyambut hari jadi bersama anak lelaki mereka.

Kejadian menggemparkan itu berlaku tatkala Hat Yai kini menjadi tumpuan ribuan rakyat Malaysia yang melancong sempena cuti persekolahan sekarang.

Timbalan Pegawai Penyiasat Balai Polis Hat Yai Leftenan Polis Kritsada Munmit berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden tembakan di sebuah restoran kira-kira jam 10 malam tadi.

Menurutnya, kejadian dikatakan berlaku apabila sukarelawan tentera terbabit yang dikenali sebagai Akkaraphon Phamchanong, 50, bertengkar dengan pemilik dan pelayan restoran kerana tidak berpus hati apabila mejanya dibersihkan sedangkan dia belum lagi habis menikmati minumannya.

(Dalam bulatan) Penyerang melepaskan tembakan jarak dekat dalam serangan di sebuah restoran di Hat Yai, malam tadi (22 Disember 2024).

Laporan mengatakan pelaku masuk ke dalam restoran berkenaan dan memesan minuman beralkohol. Dia kemudian keluar sebentar untuk merokok, tetapi mendapati seorang pelayan telah mengemaskan mejanya tanpa mengetahui minuman itu belum habis.

Ini menyebabkan pelaku tidak berpuas hati dan mula bertengkar dengan pemilik serta pelayan itu, sebelum meninggalkan restoran berkenaan.

Pelaku kemudian dikatakan kembali dan bertengkar dengan pemilik restoran. Dia kemudian mengeluarkan sepucuk pistol dan mula melepaskan tembakan membabi-buta yang turut mengenai pasangan suami isteri itu dan anak mereka.

Sitthiphong Siriphan, 48, terkena tembakan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya Orachan Eiatkham, 45, juga terkena tembakan di kepala meninggal dunia di hospital. Anak lelaki mereka berusia 12 tahun bagaimanapun terselamat.

Tiga lagi iaitu pemilik restoran, Phawana, 46, terkena tembakan di kepala, dan seorang pelanggan, Suriya, 42, cedera di tangan kanan, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun juga cedera di kepala.

Sementara itu, Akkaraphon, seorang anggota kor pertahanan sukarelawan Daerah Hat Yai, menyerahkan diri bersama senjata api yang digunakan dalam kejadian itu. Pemeriksaan di tempat kejadian juga mendapati kelongsong peluru 9mm bertaburan di dalam restoran berkenaan.

Rakaman kamera litar tertutup di dalam restoran berkenaan jelas menunjukkan pelaku bertengkar dengan pemilik dan pelayan restoran sebelum mengeluarkan pistol dan menembak secara rambang menyebabkan orang ramai lari bertempiaran, tetapi sesetengahnya rebah akibat terkena tembakan.

Laporan sebelum ini menyatakan lebih 25,000 rakyat Malaysia memasuki Thailand dari ICQS Bukit Kayu Hitam pada Jumaat lalu dengan kebanyakannya melancong di Hat Yai dan Songkhla, sempena cuti persekolahan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading