NARATHIWAT: Harga minyak masak paket Malaysia yang diseludup dan dijual di beberapa bandar dan pekan di Selatan Thai kini mencecah RM7.50 hingga RM8.20 sekilo.

Kenaikan mendadak harga berkenaan dilaporkan bermula seminggu selepas pihak berkuasa Malaysia memperkemaskan sekatan dan menutup semua pintu masuk haram di sempadan, khususnya di sepanjang Sungai Golok mulai 1 Disember lalu.

Tinjauan Apa Khabar TV di tiga pasar utama di bandar ini mendapati rata-rata peniaga menjual minyak masak paket Malaysia satu kilogram dengan harga 58 baht (RM7.50).

Minyak masak paket satu kilogram yang diseludup dari Malaysia masih mendapat pemintaan tinggi berbanding minyak masak Thailand, walaupun harganya telah naik mendadak.

Sementara peniaga kedai di pekan yang lebih jauh dari bandar Narathiwat, Yala dan Pattani, pula menjualnya dengan harga sehingga 63 baht (RM8.20).

Seorang peniaga di Pasar Hilir Narathiwat, Mek Moh berkata, bekalan minyak masak Malaysia dalam paket satu kilogram kini sukar diperoleh setelah pihak berkuasa Malaysia menutup banyak laluan haram, terutama di sepanjang Sungai Golok.

“Dulu (sebelum 1 Disember 2024) senang dapat bekalan… harga 42 baht (RM5.48)hingga 45 baht (RM5.87) sekilo.

“Tapi sekarang (bekalan) susah dapat… bukan tak ada langsung… ada… tapi harga kita beli mahal… kena jual lebih,” katanya ketika ditemui.

Pada 1 Disember lalu, pihak berkuasa memperkasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu menggunakan laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki Malaysia.

Langkah memperketatkan undang-undang itu bertujuan mengelak kegiatan penyeludupan barangan haram, terutama dadah dan senjata api.

Peniaga di Yala dan Pattani juga mendakwa bekalan minyak masak Malaysia kini sukar diperoleh susulan penutupan laluan haram itu.

“Sama juga pada mula Malaysia menaikkan harga minyak diesel… ramai peniaga sukar mendapat bekalan kerana ia ada kaitan dengan kos pengangkutan.

“Kini harga minyak masak Malaysia boleh mencecah sehingga 63 baht sekilogram… malah ada kedai runcit yang menjual lebih mahal,” kata seorang peniaga lain.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati penjualan diesel Malaysia kembali rancak di Selatan Thai.

Walaupun Malaysia menaikkan harga diesel bermula 10 Jun lalu, namun ianya masih rendah berbanding bahan api sama yang dijual di stesen minyak Thailand.

Seorang peniaga yang ditemui di Yingo berkata walaupun harga diesel seludup dari Malaysia sudah naik, tetapi harganya lebih rendah berbanding di stesen minyak biasa.

“Mula-mula dulu saja saya tak dapat jual sebab harganya mahal… tapi sekarang saya jual 33 baht (RM4.31) seliter… kalau di stesen minyak 36 baht (RM4.70) seliter,” katanya yang turut menjual RON59 Malaysia dengan harga 24 baht (RM3.13) seliter.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading