
SELATAN THAI: Beberapa pihak mengkritik Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra yang dilihat tidak menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan konflik di Selatan Thai, walaupun telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, menurut mereka agenda menjadikan ekonomi di kawasan sempadan kedua-dua negara sebagai jalan untuk menyelesaikan konflik Selatan Thai, khususnya di ‘Deep South’, tidak akan berjaya.
‘Deep South’ merujuk kepada kawasan yang sering berlaku ketegangan dan keganasan antara kumpulan bersenjata dengan pasukan keselamatan Thailand, meliputi Wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat, serta empat daerah di Songkhla iaitu Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee.
Semalam (16 Disember 2024), Paetongtarn mengadakan pertemuan dengan Anwar di Putrajaya dalam usaha mengeratkan lagi hubungan dua hala dan menggalakkan sektor ekonomi, tetapi tidak menyatakan pendirian khusus untuk menyelesaikan konflik bersenjata di Selatan Thai, termasuk untuk melantik pasukan baharu rundingan damai.
Ia bertentangan dengan hasrat Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang mahu pertemuan kedua-dua pemimpin akan membuka jalan yang lebih konkrit dan signifikan dalam menyelesaikan konflik yang sudah berlarutan lebih 20 tahun itu.
Dalam satu kenyataan pad 14 Disember lalu, dua hari sebelum pertemuan kedua-dua pemimpin itu, BRN berharap pertemuan Paetongtarn dan Anwar dapat melahirkan satu kebijaksanaan yang konkrit dan signifikan.
Difahamkan, kenyataan itu digubal oleh pertubuhan HumanItalian Dialog (HD) yang menganjurkan pertemuan antara BRN dan Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) – sebuah kumpulan pemikir Kerajaan Malaysia – pada 11 Disember 2024 di Jakarta, Indonesia, bagi melobi Anwar supaya mendesak Paetongtarn menyegerakan pelantikan pasukan dialog damai Selatan Thai.

Seorang ahli akademik bebas Selatan Thai, Profesor Prasit Meksuwan yang juga bekas Pengerusi Majlis Masyarakat Awam Sempadan Selatan, berkata intipati perbincangan pemimpin kedua-dua negara yang menjadikan ekonomi sebagai agenda penyelesaian konflik, tidak akan berjaya.
Menurutnya, Malaysia kini telah menutup laluan tradisi di Daerah Sungai Golok, Narathiwat, dengan memberikan pelbagai alasan, termasuk mencegah penyeludupan dadah, dan barangan haram serta pemerdagangan manusia.
“Namun, akibat daripada penutupan itu keadaan ekonomi di sempadan selatan merudum sepenuhnya.
“Tidak ada laporan menyatakan masalah itu dibincangkan, sedangkan ia adalah masalah segera yang sangat besar,” katanya seperti dilaporkan agensi berita Southern News Center.

Seorang pakar keselamatan terkenal yang juga bekas penasihat kepada Timbalan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Keselamatan Thailand, Profesor Panithan Wattanayakorn pula berpendapat Malaysia menjadi ‘syurga’ kepada kumpulan penentang kerajaan Thai dan mahu membebaskan diri.
Orang kedua ialah , seorang sarjana keselamatan terkenal dan bekas penasihat kepada Timbalan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Keselamatan bekas kerajaan itu. Keluarganya juga berasal dari Yala.
“Malaysia juga telah bertindak sebagai penyelaras rasmi dengan kumpulan ini untuk Kerajaan Thailand.
“Oleh itu, kita mesti bertanya bagaimana Perdana Menteri bercakap tentang menggunakan peranan Malaysia dalam menyelesaikan pergolakan di Selatan Thai,” katanya.
Beliau berkata, Pheu Thai – parti yang diketuai Paetongtarn – juga masih tidak meletakkan isu sempadan selatan termasuk keganasan, masalah ekonomi, pergerakan haram rentas sempadan dan bencana alam, sebagai sesuatu yang mesti diberi keutamaan.

Cik Anjana Himminah, aktivis hak asasi manusia yang juga pengasas Pergerakan Duay Jai pula berpendapat Paethongtarn memperlihatkan sikapnya yang mengabaikan masalah Selatan Thai.
“Terdapat dua masalah di sempadan selatan iaitu keselamatan dan bencana yang teruk. Tetapi Perdana Menteri tidak memberi perhatian kepada salah satu daripada masalah ini.
“Rombongan lawatan ke Malaysia juga tidak menggambarkan usaha untuk menyeleaikan masalah sempadan selatan, menyebabkan perkara yang dibincangkan tidak meliputi isu keselamatan dan proses rundingan damai.
“Malah, BRN sendiri turut mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan Paethongtarn telah mengabaikan, tidak mengendahkan, dan tidak berminat dengan proses rundingan damai dan masalah sempadan selatan,” tegas beliau.
Anjana Himminah berkata Kerajaan Thai sepatutnya lebih mementingkan masalah di wilayah sempadan selatan, baik dari segi rundingan damai mahupun pemulihan pasca banjir.
Pada sidang media Paethongtarn dan Anwar semalam, Perdana Menteri Malaysia berkata Putrajaya komited untuk melakukan apa sahaja yang perlu bagi memastikan proses dialog damai Selatan Thai terlaksana.
“Kemudian diteruskan dengan Pelan Komprehensif ke arah Keamanan (JCPP). Seperti yang dipersetujui, pertamanya untuk jamin keamanan. Keduanya, untuk membangunkan Selatan Thailand dan Utara Malaysia. Wilayah Selatan Thailand memerlukan pelaburan khusus,” kata Anwar.
Bagaimanapun, pada sidang media yang sama Paethongtarn menekankan kepentingan menyelesaikan isu-isu berbangkit di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk soal pembangunan infrastruktur bagi menggalakkan aktiviti perdagangan sesama rakyat.
“Dalam aspek ekonomi, kita akan beri tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan dalam perhubungan sempadan, ekonomi digital dan pelancongan.
“Berkaitan sempadan, kami bincangkan keperluan untuk menyelesaikan beberapa isu yang didepani kedua-dua negara.
“Kami akan bekerjasama untuk pastikan jaringan jalan raya dan landasan kereta api yang lebih baik bagi memudah cara perdagangan dan interaksi sesama rakyat,” katanya.
Sementara itu, langkah melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, turut dipandang negatif oleh penduduk Selatan Thai.
Mereka menyifatkan pelantikan itu sebagai satu tamparan buat penduduk Selatan Thai yang masih marah kepada Thaksin – bapa kepada Paethongtarn – khususnya melibatkan Tragedi Tak Bai 2004, yang mengorbankan 85 umat Islam.
Penduduk yang kecewa dengan pelantikan itu berpendapat pelantikan Thaksin tidak akan membawa apa-apa perubahan terhadap konflik bersenjata di Selatan Thai.
Hubungan baik Anwar dan Thaksin sudah tidak asing lagi, malah kedua-duanya dikatakan pernah bertemu secara sulit di Phuket, Thailand pada April dan Mei lalu.





Leave a Reply