TANJONG MALIM: Istiadat Konvokesyen Ke-26 yang akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula semalam (23 November 2024) sehingga 30 November ini bakal menyaksikan seramai 7,172 graduan menerima ijazah masing-masing.

Pada sesi pertama, Canselor UPSI Tuanku Zara Salim berkenan berangkat untuk merasmi dan menyampaikan ijazah kepada graduan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata lapan sidang akan diadakan sepanjang istiadat berkenaan.

Menurutnya, daripada jumlah itu 154 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah; Ijazah Sarjana (943); Ijazah Sarjana Muda (4,768); Diploma (755) serta 552 graduan akan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.

Sejajar dengan industri muzik dan seni kreatif sebagai katalis ekonomi, katanya, istiadat kali ini menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan kepada penggiat seni terkenal tanah air, Datuk M Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed yang perjalanan seninya bermula pada 1979.

Pengalaman M Nasir dalam dunia seni selama lebih empat dekad melayakkan beliau menjadi pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak 2021, manakala Syarikat Luncai Emas Sdn Bhd menjadi rakan strategik UPSI melalui MoU sejak dari 2016 sehingga sekarang.

Prof Md Amin berkata, sumbangan M Nasir sangat besar dalam mengangkat martabat dunia seni muzik dan mencapai tahap berprestij dan signifikan dengan pembangunan pendidikan negara dan pemikiran rakyat menerusi muzik.

Seni kata lagu pertama beliau ditulis untuk lagu kumpulan Alleycats yang bertajuk “Senandung Semalam” pada 1978, manakala lagu pertama ciptaan beliau adalah “Hujan” yang dirakamkan oleh kumpulan Sweet Charity.

Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani berkat selain M Nasir, pada sesi pertama juga menyaksikan Datuk Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q.

Nash yang aktif sebagai penyanyi bermula 1986 pernah menganggotai kumpulan Lefthanded terkenal dengan lagunya “Pada Syurga Di Wajahmu” (1922) dan “Zahir Tak Terucap” (1993).

Dua insan seni ini akan mempersembahkan nyanyian masing-masing sebagai selingan pada sesi pertama di hadapan Tuanku Zara, pengurusan tertinggi dan graduan yang hadir.

Pada sesi pertama juga penghargaan akan diberikan kepada graduan terbaik melalui anugerah-anugerah khas seperti Anugerah Pelajaran DiRaja dan Pingat Emas Canselor.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata. bersempena istiadat konvokesyen, UPSI menganjurkan Pesta Konvokesyen UPSI 2024 yang akan berlangsung di Dataran Cemerlang Bersama UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah sepanjang tempoh majlis konvokesyen berlangsung.

Pesta ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik untuk seluruh keluarga, termasuklah pelbagai reruai jualan makanan, pameran pendidikan dan kesihatan.

“UPSI ingin mengucapkan tahniah kepada semua graduan serta keluarga mereka atas usaha, komitmen, dan pencapaian yang luar biasa, berilmu, dan berwibawa dalam pelbagai bidang,” katanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading