NARATHIWAT: Tatkala Proses Dialog Damai Selatan Thai masih tertangguh sejak kali terakhir tiga pihak – Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN); kerajaan Thai dan Malaysia sebagai fasilitator – bermesyuarat pada Mei lalu, ‘Deep South’ kekal bergolak.

‘Deep South’ merujuk kepada tiga wilayah paling selatan di Thailand yang masih bergolak iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat, serta empat daerah di Wilayah Songkhla melibatkan Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee.

Dalam perkembangan terbaharu, dua lagi letupan bom menggegarkan Selatan Thailand, semalam (20 November 2024), menyusul kejadian pertama membabitkan serangan menggunakan pelancar bom tangan terhadap rumah kongsi pekerja di Daerah Thepha, Songkhla.

Serangan kedua yang dipercayai sudah dirancang itu melibatkan dua letupan bom buatan sendiri yang ditanam di tepi jalan dengan jarak antara 100 meter dan 400 meter dari rumah kongsi projek pembinaan patung agama Buddha (Guan Yin) di Thepha.

Sementara dalam satu lagi kejadian seorang anggota tentera cedera parah apabila ditembak kumpulan bersenjata di Wilayah Yala, petang semalam.

Menurut Superintendan Balai Polis Thepa, Kolonel Polis Thammarat Phetchnongchum kira-kira jam 10.30 pagi semalam beliau dimaklumkan oleh penolong ketua kampung Ban Pak Bang Sakom, Mukim Sakom, Daerah Thepha, Songkhla, bahawa terdapat dua lagi letupan di kawasan itu.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 6.10 pagi apabila kumpulan bersenjata melepaskan dua tembakan menggunakan pelancar bom tangan M79 ke arah rumah kongsi projek pembinaan patung Guan Yin di kampung berkenaan, kira-kira 165 kilometer dari Narathiwat, yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Letupan pada jam 10.30 pagi itu berlaku di pintu masuk ke Pantai Sakom, berhampiran papan tanda menuju ke tapak pembinaan patung Guan Yin, kira-kira 400 meter dari rumah kongsi pekerja binaan tempat letupan pertama berlaku.

Kira-kira jam 10.40 pagi pula satu lagi serangan bom berlaku di persimpangan tiga hala, kira-kira 100 meter dari letupan pertama. Tiada siapa yang cedera dalam kedua-dua letupan, tetapi pihak berkuasa telah mengepung kawasan itu untuk membolehkan pasukan forensik mengumpul bukti dan saksi.

Isu dan puncanya sedang dalam siasatan pihak berkuasa, dengan tumpuan diberikan kepada kumpulan bersenjata yang mahu mencetuskan pergolakan, namun kemungkinan lain tidak diketepikan.

Sementara itu, seorang anggota tentera dilaporkan cedera apabila kumpulan bersenjata menyerang pusat pemeriksaan di Ban Li To, Mukim Baro, Daerah Yaha, Yala, kira-kira jam 3.50 petang semalam.

Sarjan Mejar Ahmad cedera parah terkena tembakan di bahagian mata dan dikejarkan ke Hospital Yaha untuk rawatan lanjut.

Siasatan mendapati ketika Sarjan Mejar Ahmad menjalankan tugasnya di hadapan unit NPKC ke-42, kumpulan tidak dikenali melepaskan tembakan ke dalam pagar unit berkenaan. Peluru berkenaan terkena Sarjan Mejar Ahmad, menyebabkan kecederaan pada matanya.

One response to “Tiga letupan bom di Selatan Thai bantah projek patung tertinggi di dunia”

  1. […] Tiga letupan bom di Selatan Thai bantah projek patung tertinggi di dunia […]

Leave a Reply

Trending