
NARATHIWAT (Selatan Thai): Thailand membatalkan Perintah Majlis Kebangsaan untuk Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) [Perintah NCPO No. 14/2016], sekali gus membubarkan Jawatankuasa Penasihat Pentadbiran dan Pembangunan Sempadan Selatan.
Akta berhubung pembatalan itu disiarkan dalam laman web rasmi kerajaan, Royal Gazette, semalam (18 November 2024).
Pembatalan itu jua sekali gus mengurangkan kuasa Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) – sebuah unit dalam tentera yang berkuasa ke atas semua jabatan dan agensi kerajaan di Selatan Thai yang mula berkuat kuasa pada 4 April 2016.
Untuk rekod, NCPO diperkenalkan oleh junta tentera selepas rampasan kuasa oleh Jeneral Prayut Chan-o-cha pada 22 Mei 2014 yang menjatuhkan kerajaan demokrasi Yingluck Shinawatra. .
Perintah berkenaan terpakai ke atas rakyat Thailand, dengan penguatkuasaannya lebih tertumpu di tiga wilayah Selatan Thai dikenali sebagai ‘Deep South’ (Pattani, Yala dan Narathiwat, serta empat daerah di wilayah Songkhla iaitu Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee).
Melalui Perintah NCPO No. 14/2016 itu juga, boleh dilihat banyak sekatan jalan raya dan pos keselamatan didirikan di seluruh wilayah berkenaan, sehingga penduduk tempatan yang 85 peratus adalah Melayu-Islam, beranggapan mereka diperintah oleh tentera, bukannya kerajaan awam.
Perintah NCPO juga memberikan ISOC bidang kuasa mengawal masalah di Selatan Thai selama 10 tahun, dan bertindak sebagai peneraju, selain menyekat penyertaan rakyat, menyebabkan pertembungan kuasa dan kekurangan kerjasama untuk menyelesaikan sebarang masalah.
Rekod Royal Gazette menunjukkan Jawatankuasa Penasihat Pentadbiran dan Pembangunan Sempadan Selatan, terdiri daripada pegawai tinggi semua cabang angkatan tentera dan polis, sehingga dilihat memberi kuasa penuh kepada tentera untuk mengawal Selatan Thai.

Perintah itu juga menyatakan bahawa Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) hendaklah mengambil nasihat daripada sekretariat ISOC.
Julai lalu, Parlimen Thailand bersetuju memperkenalkan semula Majlis Penasihat SBPAC yang dipilih dalam kalangan penduduk tempatan di Selatan Thai.
Persetujuan itu dicapai setelah Parlimen mengadakan undian bagi memperkenalkan semula majlis penasihat dan membatalkan Perintah NCPO No. 14/2016.
Susulan pembubaran Jawatankuasa Penasihat Pentadbiran dan Pembangunan Sempadan Selatan yang dianggotai pegawai kanan tentera, kerajaan bersetuju supaya Majlis Penasihat SBPAC dilantik dalam kalangan semua kumpulan masyarakat, seperti profesional, petani dan pendidik, dalam tempoh 120 hari mulai semalam.
Menurut siaran Royal Gezette itu, proses pemilihan bagi mereka untuk dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat SBPAC perlu dijalankan mengikut kriteria dan kaedah yang ditetapkan dalam Undang-undang Pentadbiran Wilayah-Wilayah Sempadan Selatan.
Selain itu, Royal Gazette turut menyiarkan satu lagi undang-undang iaitu Akta Pencegahan dan Pembiayaan untuk Keganasan dan Pengeluaran Senjata Pemusnah Besar-besaran (No. 2) B.E. 2567, yang merupakan pindaan kepada undang-undang asal yang telah berkuat kuasa sejak 2016.
Intipati pindaan itu ialah Seksyen 25, meminda kandungan untuk meluaskan skop pendakwaan terhadap mereka yang mempunyai tingkah laku berkaitan sokongan kewangan untuk keganasan.
Penalti untuk penyokong kewangan tetap sama iaitu penjara dari dua hingga 10 tahun dan denda daripada 40,000 baht hingga 200,000 baht atau kedua-duanya.






Leave a Reply