NARATHIWAT (Selatan Thai): Tiga puluh empat rakyat Malaysia, termasuk tujuh wanita, adalah antara tahanan yang kini ditempatkan di Penjara Narathiwat, wilayah yang bersempadan dengan Kelantan.

Semua mereka, termasuk seorang penyanyi wanita popular dari Kelantan dan suaminya, kini menjadi orang tahanan di penjara itu kerana terlibat dengan dadah.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘bae soba bae‘ dan menjadi trend dalam kalangan penduduk Pantai Timur serta Selatan Thai itu ditahan bersama suami dan empat rakannya dalam satu serbuan polis di sebuah bilik di Hotel Genting di Sungai Golok pada 1 November lalu.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi (kanan) dan Menteri Kehakiman Thailand, Kolonel Polis Thawee Sodsong (tengah) berbual dengan tahanan rakyat Malaysia di Penjara Narathiwat, semalam (17 November 2024).

Bahagian Narkotik Polis Daerah Sungai Golok turut merampas 6,060 pil methamphetamine, sementara ujian air kencing pula mendapati mereka positif dadah.

Penyanyi itu dan enam lagi wanita rakyat Malaysia kini ditempatkan di Zon 8 (Wanita) Penjara Narathiwat bersama beberapa wanita tempatan yang turut ditahan kerana kes dadah.

Penangkapan penyanyi terkenal itu telah menarik perhatian peminat dan media Malaysia. Ketika peringkat awal, peminatnya berpusu-pusu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Golok, untuk menunjukkan sokongan mereka, mendorong pihak berkuasa Thailand meningkatkan langkah pencegahan dan memantau rusuhan.

Terdapat percubaan untuk menyebarkan berita dalam media sosial Malaysia yang mendakwa penjara Thailand tidak melayan banduan mengikut prinsip Islam. Tuduhan itu telah menimbulkan salah faham dan menyebabkan kerosakan besar kepada pentadbiran penjara Thai dan Jabatan Pemulihan, Kementerian Kehakiman.

Tahanan wanita rakyat Malaysia di Penjara Narathiwat bertemu Konsul Jeneral Malaysia, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.

Susulan itu, Menteri Kehakiman Thailand, Kolonel Polis Thawee Sodsong, menjemput Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand, Kamonsak Leewamoh, melihat dan bertemu sendiri dengan tahanan rakyat Malaysia di penjara berkenaan, semalam.

Ahmad Fahmi bersama beberapa pegawai kanan Pejabat Konsul Jeneral Malaysia, turut dibawa melawat Zon 8 yang dikhaskan untuk wanita, serta bertemu tujuh rakyat Malaysia, termasuk penyanyi terbabit.

Pada masa sama, 27 banduan lelaki rakyat Malaysia yang ditahan atas tuduhan dadah diberi peluang bertemu dengan konsul dan pegawai Malaysia.

Tahanan lelaki dan wanita rakyat Malaysia memberi maklumat yang konsisten bahawa pegawai Penjara Wilayah Narathiwat memberikan penjagaan yang sama rata kepada banduan, dan mereka dibenarkan mengamalkan ajaran Islam, termasuk makanan halal, solat, dan tempat tidur yang bersih.

Zon 8 di Penjara Narathiwat yang dikhaskan untuk tahanan wanita.

Sementara itu, Thawee berkata, berikutan penahanan individu popular dan terkenal itu, rakyat Malaysia prihatin dan bimbang termasuk terhadap sistem keadilan di Thailand.

“Disebabkan itu kami mempelawa Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla dan pegawainya untuk datang dan melihat sendiri keadaan di Penjara Narathiwat, khususnya berkaitan layanan sama rata mengikut prinsip semua agama.

“Saya menghubungi Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla dan pasukannya untuk datang melihat keadaan sebenar dan bertemu dengan semua tahanan rakyat Malaysia, lelaki dan wanita.

“Konsul berterima kasih kepada Kerajaan Thailand kerana menghormati dan menjaga tahanan dengan mematuhi hak asasi manusia, sama ada makanan halal yang disediakan oleh tukang masak Islam, keadaan hidup, dan amalan agama, dan beliau sangat berpuas hati dengannya,” kata Thawee.

Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata pihaknya berpuas hati hasil daripada lawatan itu.

“Layanan yang diberikan sama ada makanan, tempat tidur, mahupun perkhidmatan kesihatan. Semua orang menerima hak yang sama seperti banduan Thai, tanpa sebarang rungutan.

“Konsulat Malaysia juga sedia memberi kerjasama dalam menjaga banduan Malaysia dan merancang untuk berbuka puasa bersama-sama pada Ramadan akan datang.

“Kami juga akan membawa buku-buku yang diminta rakyat Malaysia untuk dibaca ketika mereka ditahan di sini.

“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan Thailand kerana menjaga semua banduan Malaysia dengan baik,” katanya.

Konsul Jeneral Malaysia, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, dan Menteri Kehakiman Thailand, Thawee Sodsong berbual dengan tahanan wanita rakyat Malaysiadi Penjara Narathiwat.

Pada hari sama, Jabatan Pemulihan Kementerian Kehakiman, mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Thai dan Inggeris, mengesahkan bahawa standard penjagaan bagi banduan adalah mengikut prinsip Islam dan semua agama.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan berita yang mengkritik penahanan penyanyi Malaysia terbabit.

Jabatan Pemulihan menyatakan bahawa berikutan penahanan Wan Norshahidda Ashlin Wan Ismail, penyanyi Malaysia yang merentas sempadan ke Wilayah Narathiwat dengan membawa 6,060 pil methamphetamine dan telah ditahan di Penjara Wilayah Narathiwat, dia adalah banduan warga asing yang beragama Islam.

Jabatan Pemulihan telah menetapkan peraturan mengenai pengurusan dan layanan banduan warga asing, termasuk kepelbagaian agama, selaras dengan piawaian penjara antarabangsa dan piawaian minimum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk layanan banduan.

Tahanan wanita, termasuk tujuh rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Narathiwat solat berjemaah di surau yang disediakan.

“Jabatan Pemulihan menyedari bahawa dalam menjaga banduan warga asing mengikut prinsip Islam, pengamal mesti melakukannya dengan penuh keimanan. Memberi peluang kepada setiap banduan untuk mengamalkan agama mereka mengikut kepercayaan mereka, tanpa melanggar peraturan dan undang-undang penjara dan institusi pemulihan mengikut hak banduan, yang sekali gus akan membantu mengurangkan pelbagai konflik dalam masyarakat.”

Oleh itu, Jabatan Pemulihan telah menetapkan garis panduan untuk melayan banduan Islam di penjara, seperti kawasan berasingan dan bekas memasak makanan yang disediakan khusus kepada banduan Islam, di mana makanan halal disediakan untuk ketiga-tiga waktu hidangan.

“Untuk solat banduan Islam, lelaki dan perempuan, hendaklah memakai pakaian yang bersih sesuai dengan agamanya. Selain itu, dalam tempoh berpuasa atau pada Ramadan, air bersih yang mencukupi disediakan untuk banduan, dan makanan disediakan untuk banduan Islam untuk dibawa ke asrama mereka untuk makan.

“Jika banduan ingin mempelajari prinsip-prinsip Islam, pihak penjara akan menyediakan sukarelawan untuk mengajar mereka, bagi memberi ilmu dalam mempelajari prinsip agama mengikut kesesuaian.

Bagi banduan warga asing, Jabatan Pemulihan memudahkan tugas konsular berkaitan banduan asing. Wakil diplomatik dan pegawai konsular boleh melawat dan membantu banduan asing di penjara dan institusi pemulihan pada hari dan waktu rasmi.

Mereka juga boleh menerima kunjungan orang luar melalui panggilan video atau aplikasi LINE untuk memudahkan banduan dan saudara-mara mereka, kata kenyataan itu lagi.

[Bahasa Melayu/ภาษาไทย] Penjara di Thailand tak seteruk seperti didakwa, tapi…

One response to “34 rakyat Malaysia kini ditahan di Penjara Narathiwat, semua kerana dadah”

  1. […] 34 rakyat Malaysia kini ditahan di Penjara Narathiwat, semua kerana dadah […]

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading