
Penangkapan seorang penyanyi wanita terkenal Kelantan bersama suami dan empat rakan mereka di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat, Thailand, mendapat liputan meluas dan tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dan komen.
Ini kerana, selain didapati positif dadah yang dikategorikan ‘narkotik terlarang nombor 1’ di Thailand, mereka juga berdepan tuduhan memiliki lebih 6,000 pil, dipercayai Yaba atau dikenali juga sebagai ‘pil kuda’ (dadah yang mengandungi campuran methamphetamine dan kafein).
Kenyataan terbaharu Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan bahawa pihaknya percaya dadah terbabit untuk diedar kepada penagih di Kelantan, sekali gus menjadikan tuduhan terhadap mereka bukan setakat memiliki, tetapi juga ‘pengedaran’.
Oleh itu, polis Thailand memfailkan pertuduhan bersama memiliki dan mengedar narkotik kategori 1 (methamphetamine) dan mengambilnya secara haram, terhadap mereka.
Terdapat beberapa undang-undang berkaitan narkotik kategori 1 yang dikuatkuasakan di Thailand dengan pengeluaran, pengimportan, pengeksportan, pengedaran dan pemilikan terkandung dalam Seksyen 34, Seksyen 35, Sekaysn 90 dan Seksyen 145.
Mengikut undang-undang berkenaan, jika tertuduh didapati bersalah, mereka akan berdepan penjara sehingga 15 tahun dan denda 1.5 juta baht.
Dalam seksyen yang sama juga ada ditetapkan bahawa pesalah boleh dihukum penjara antara dua tahun dan 20 tahun serta denda sebanyak 200,000 hingga 2 juta baht.
Bagi penggunaan narkotik kategori 1 itu pula mereka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 104, Seksyen 162, Seksyen 113, dan Seksyen 114, yang boleh dikenakan penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih 20,000 baht atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.

Seorang peguam terkenal di Selatan Thai yang kini menjadi Ahli Parlimen Narathiwat (Kawasan 5), Kamonsak Leewamoh ketika ditanya mengenai undang-undang dadah di negaranya mencadangkan tertuduh mengambil peguam yang hebat untuk menangani kes masing-masing.
“Ambil peguam lawan di mahkamah… siapa ada dalam bilik… berapa orang dalam bilik… di mana dadah dijumpai… semua tu boleh dijadikan alasan.
“Tak mengaku satu hal… tapi ambil peguam untuk lawan… kemuka saksi yang kuat,” katanya kepada Apa Khabar TV sambil menjelaskan sejak membuka firma guaman beliau menolak untuk membela tertuduh dalam kes dadah biarpun tawaran yang diterima adalah lumayan.
Ditanya berkaitan rekod keputusan kes dadah di mahkamah Thailand yang jarang memihak kepada tertuduh, beliau mengiyakan, namun berkata tertuduh perlu mengambil peguam yang hebat.
“Saya tengok dalam kes ini (enam rakyat Malaysia)… ramai yang kena tangkap. Saya bagi contoh enam orang kena tangkap dalam kes tembakan.
“Seorang saja yang melepaskan tembakan tapi lima lagi pun akan didapati bersalah jika tiada siapa mengaku… sedangkan lima yang lain itu tak tahu pun kawan mereka nak tembak…
“Lima orang ini perlu ada saksi untuk membuktikan mereka tidak tahu bahawa rakan mereka berniat dan bertindak melepaskan tembakan,” tegas beliau lagi.
Ditanya mengenai hukuman boleh menjadi lebih ringan jika tertuduh mengaku salah, beliau yang lebih dikenali sebagai Wan Johan dalam kalangan penduduk Selatan Thai, mengiyakannya.
“Jika hukuman penjara maksimum 15 tahun atau 20 tahun… jika mengaku salah ianya mungkin dihukum 10 tahun sahaja.
“Jika tidak mengaku salah tetapi mahkamah – dengan bukti-bukti kukuh dikemukakan pihak berkuasa – mendapati tertuduh bersalah, maka hukumannya boleh mencapai maksimum 20 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
“Itu baru hukuman… kalau tak mengaku… perbicaraan akan mengambil masa panjang… bertahun-tahun… dan tertuduh akan kekal di dalam penjara sebagai orang tahanan,” katanya.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh Apa Khabar TV, ada beberapa kes di mana tertuduh yang tidak mengaku salah terpaksa melalui proses perbicaraan yang begitu lama sehingga mereka perlu tinggal di penjara sehingga 10 tahun.
Bagi tertuduh yang mengaku salah pula, mereka bukan sahaja mungkin dipenjara dalam tempoh masa yang pendek, tetapi ada harapan untuk dibebaskan lebih awal jika mendapat pengampunan Raja Thai.
Di Thailand terdapat hari-hari tertentu dalam setahun – contohnya hari lahir Raja sekarang atau hari lahir Raja yang telah mangkat – di mana banduan diberi pengampunan dan dibebaskan lebih awal.
Untuk rekod, pada 18 Ogos lalu beberapa banduan di Penjara Wilayah Narathiwat mendapat pengampunan sempena Hari Keputeraan Raja Thailand Ke-10, Rama X, Vajiralongkorn.






Leave a Reply