
NARATHIWAT (Selatan Thai): Pihak berkuasa Thailand meningkat kawalan keselamatan di beberapa kawasan di empat wilayah Selatan Thai yang lebih dikenali sebagai “Deep South’, susulan dakwaan mengatakan bakal berlaku serangan bom kereta atau motosikal serentak dalam tempoh beberapa hari ini.
Southern News Center (SNC) – agensi media yang dilihat rapat dengan pasukan keselamatan Thailand – memetik sumber perisikan yang mendakwa kononnya kumpulan bersenjata sedang merancang melakukan serangan di wilayah berkenaan, sebagai memperingati ulang tahun ke-20 Tragedi Tak Bai 2004.
‘Deep South’ dirujuk sebagai ‘kawasan panas’ yang meliputi Wilayah Pattani; Yala; dan Narathiwat; serta empat daerah di wilayah Songkhla iaitu Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee.
“Pegawai unit perisikan untuk keselamatan di wilayah sempadan selatan mendedahkan bahawa mereka mengesan pergerakan kumpulan pemberontak di wilayah sempadan selatan.
“Mereka (kumpulan pemberontak) merancang melakukan serangan bom buatan sendiri secara serentak di kawasan empat wilayah sempadan selatan pada 24 hingga 28 Oktober 2024,” lapor SNC.
Media berkenaan juga mendakwa kononnya terdapat laporan daripada sumber tempatan bahawa dua bahan letupan kini disimpan di Daerah Mueang (bandar) Narathiwat, sebelum dibawa ke Daerah Tak Bai, kira-kira 41.3 kilometer dari pusat bandar.
SNC juga mendakwa kumpulan pemberontak akan memasang bom buatan sendiri itu sama ada pada kereta atau motosikal untuk diletupkan.
“Oleh itu, pasukan keselamatan tempatan telah dimaklumkan supaya berjaga-jaga di Laluan 4055, Jalan Ra-Ngae Marga, di hadapan Hospital Narathiwat Rajanagarindra; di hadapan Bank Krung Thai; dan Pasar Bang Nak, Daerah Mueang Narathiwat.
Tinjauan Apa Khabar TV di sekitar bandar Narathiwat malam tadi menunjukkan sekatan jalan raya diadakan di beberapa kawasan dengan semua kenderaan, termasuk dari Malaysia, diperiksa rapi. Kawalan juga dilakukan di beberapa tempat strategik sejak siang bagi mencegah kejadian tidak diingini.

Untuk rekod, Tak Bai terletak bersebelahan Pengkalan Kubor, Kelantan. Bandar itu tercatat dalam sejarah apabila pada 25 Oktober 2004, berlaku peristiwa berdarah apabila 85 penunjuk perasaan beragama Islam terbunuh – tujuh daripadanya ditembak di hadapan balai polis Tak Bai, manakala 78 lagi meninggal dunia akibat sesak nafas ketika diangkut ke kem tentera di Nong Chik, Wilayah Pattani.
Statut kes berkenaan kini telah tamat apabila semua 14 suspek dan defendan yang terlibat dalam kes – yang diputuskan mahkamah dan peguam negara sebagai kes jenayah dan pembunuhan – gagal ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah sebelum jam 12 malam 25 Oktober lalu.
Mengikut undang-undang Thailand, kes yang tidak diselesaikan dalam tempoh 20 tahun tidak boleh dibawa ke mahkamah lagi.
Sementara itu, media yang sama juga melaporkan amaran dikeluarkan susulan kejadian bom kereta yang berlaku di Daerah Panare, Pattani, Jumaat lalu.
Hasil siasatan pasukan pemusnah bom (EOD) menemukan bukti pemasangan bom iaitu melibatkan:
- Bahan letupan utama ANFO;
- Keluli bercampur bersaiz 6, 8, 9 milimeter sebagai serpihan;
- Bom menggunakan bateri litium 3.7 volt sebagai sumber kuasa;
- Bom menggunakan dua sistem letupan iaitu litar radio DTMF digabungkan dengan litar pemasa digital; dan
- Bahan letupan diisi dalam tangki gas bersaiz 15 kilogram (satu unit), dan saiz 4 kilogram (satu unit).
SNC juga melaporkan bahawa serangan bom kereta Jumaat lalu adalah yang ke empat berlaku di daerah berkenaan sejak 2012.
Kali pertama adalah pada 16 Ogos 2012. Ia adalah bom kereta yang diletakkan di tempat letak kereta di hadapan Pejabat Daerah Panare. Bom itu diisi dalam tangki gas dan diletupkan menggunakan telefon bimbit.
Kedua adalah pada 23 Julai 2014, di mana penjenayah meledakkan bom kereta di Jalan 4061 di hadapan Balai Polis Panare. Pelaku memasukkan bom ke dalam tangki gas dan meletupkannya juga menggunakan telefon bimbit.
Kali ketiga adalah pada 20 Jun 2022 di mana penjenayah meletupkan bom kereta di sebelah Unit Perkhidmatan Awam Chantharak, Ban Palas, Kampung 1, Mukim Khuan, Daerah Panare. Bom itu diisi dalam tangki gas seberat 15 kilogram dan diletupkan dengan pemancar radio.
Keempat adalah pada Jumaat lalu (24 Oktober 2014). Pelaku meletakkan kereta dimuatkan dengan bom di jalan antara Balai Polis Panare dan Pejabat Daerah Panare. Bom itu dibungkus dalam silinder gas seberat 15 kilogram dan diletupkan dengan pemasa digital dan pemancar radio.






Leave a Reply