PATTANI (Selatan Thai): Tidak sampai 10 jam untuk menyambut ulang tahun ke 20 Tragedi Tak Bai 2004, Selatan Thai digegarkan dengan serangan bom kereta di Daerah Panarae di sini malam tadi (23 Oktober), yang menyebabkan dua anggota pasukan pertahanan mukim cedera.

Serangan bom kereta, yang keempat tahun ini, berlaku antara dua bangunan – Ibu Pejabat Polis Daerah Panarae dan Pejabat Pentadbiran Daerah Panarae, dan turut merosakkan beberapa bangunan lain di sekitarnya termasuk Pejabat Kesihatan Daerah dan rumah Pegawai Daerah Panarae.

Terdahulu, kira-kira 10 lelaki bersenjata berpakaian hitam menyerbu dan menahan empat kakitangan Pejabat Pentadbiran Daerah, mengikat mereka dan melarikan sebuah pikap milik pusat pentadbiran berkenaan, kira-kira jam 11 malam – sejam sebelum serangan dilakukan.

Hasil siasatan polis mendapati pada jam 11 malam iaitu kira-kira sejam sebelum kejadian bom kereta berlaku, ketika empat kakitangan pejabat daerah bertugas menjaga keselamatan, 10 individu bersenjata api dan berpakaian serba hitam menutup muka memecah masuk dan mengugut kakitangan terbabit supaya tidak membuat bising sebelum mengikat mereka.

Individu terbabit meminta kunci kenderaan, sebelum mengurung semua kakitangan pejabat daerah itu dalam sebuah bilik. Mereka kemudian melarikan diri bersama pikap terbabit.

Kamera litar tertutup (CCTV) merakam semua pergerakan pikap itu yang meninggalkan bangunan pejabat daerah. Mereka dipercayai membawa pikap berkenaan untuk diisi bom.

Kira-kira sejam kemudian CCTV merakam semula imej yang menunjukkan pelaku memandu di sepanjang jalan di belakang pejabat daerah, dengan seorang lagi menunggang motosikal mengikutinya.

Apabila tiba di tempat kejadian, pelaku meletakkan kereta berkenaan di jalan antara Pejabat Daerah Panare dan Balai Polis Panare. Salah seorang penjenayah keluar dari kereta dan membonceng motosikal rakannya sebelum kedua-duanya meninggalkan kawasan itu.

Selepas kira-kira lima minit, penjenayah meletupkan bahan letupan buatan sendiri seberat kira-kira 20 kilogram itu. Dua anggota pertahanan sukarela yang bertugas menjaga keselamatan di hadapan pejabat daerah itu cedera ringan.

Kejadian terbaharu ini adalah serangan bom kereta keempat untuk tahun ini dan yang ke 65 sejak 2005.

Bom kereta pertama tahun ini melibatkan serangan di flat polis Bannang Sata di Wilayah Yala pada 30 Jun lalu, mengorbankan seorang guru Tadika dan mencederakan puluhan yang lain, terutama anggota polis dan keluarga mereka.

Bom kereta kedua diletupkan bersebelahan pagar Bahagian Siasatan Polis Wilayah Pattani pada 9 Ogos, manakala bom ketiga diletupkan di persimpangan tiga penjuru berhampiran kediaman Pegawai Daerah Tak Bai, pada 29 September lalu.

Sejak pergolakan meningkat mulai awal 2004 hingga semalam, terdapat sejumlah 65 serangan bom kereta telah dilancarkan terhadap pasukan keselamatan di Selatan Thai. Ia melibatkan:

  • 26 serangan bom kereta di Wilayah Narathiwat;
  • 19 serangan bom kereta di Wilayah Pattani;
  • 15 serangan bom kereta di Wilayah Yala; dan
  • Empat serangan bom kereta di empat daerah di Wilayah Songkhla.

Terdapat juga satu lagi insiden bom kereta di luar empat wilayah sempadan selatan, di tempat letak kereta pusat beli-belah Central Festival di Daerah Koh Samui, Wilayah Surat Thani pada 2015, yang turut dikaitkan dengan kumpulan pemberontak di wilayah sempadan selatan.

Esok merupakan ulang tahun ke 20 Tragedi Tak Bai yang berlaku pada 25 Oktober 2004 (pada bulan puasa). Ia menjadi tarikh penting kerana jika tiada tertuduh yang dapat dihadapkan ke mahkamah esok, maka statut kes itu akan tamat.

Kejadian serangan bom terhadap pasukan keselamatan di Selatan Thai semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, yang dikatakan ada kaitan dengan ulang tahun Tragedi Tak Bai 2004.

One response to “Serangan bom kereta gegar bandar Pattani, situasi Selatan Thai semakin tegang menjelang ulang tahun ke 20 Tragedi Tak Bai 2004”

  1. […] Serangan bom kereta gegar bandar Pattani, situasi Selatan Thai semakin tegang menjelang ulang tahun … […]

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading