NARATHIWAT (Selatan Thai): Sekurang-kurangnya tujuh kejadian serangan terhadap pasukan keselamatan, harta benda awam, samun senjata api dan pengeboman dilaporkan berlaku di tiga wilayah ‘Deep South’ di Selatan Thai, dalam tempoh tidak sampai 24 jam, kelmarin dan semalam (10 Oktober).

Dalam semua kejadian itu seorang pegawai polis dan seorang penduduk kampung terbunuh apabila diserang kumpulan lelaki bersenjata di Wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala.

‘Deep South’ dirujuk sebagai ‘kawasan panas’ yang meliputi Pattani, Yala dan Narathiwat, serta empat daerah di wilayah Songkhla iaitu Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee.

Serangan di Pattani

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 11.30 malam Rabu (9 Oktober) polis menerima laporan mengatakan sekumpulan lelaki bersenjata terbabit dalam seranga terhadap pangkalan Pasukan Polis Sempadan di Wilayah Pattani.

Kejadian dilaporkan berlaku di Mukim Barahom, Daerah Mueang, Pattani, apabila sekumpulan lelaki bersenjata menaiki motosikal melalui pangkalan itu dan melepaskan tembakan bertubi-tubi kearah anggota polis yang bertugas.

Pasukan polis kemudian membalas serangan dan berlaku tembak menembak selama kira-kira 20 minit sebelum kumpulan lelaki bersenjata itu melarikan diri.

Memetik laporan media berbahasa Thai, anggota polis kemudian memeriksa kawasan sekitar sebelum menjumpai Pol Lt Banjerd Phutcharoen iaitu Timbalan Komander Kompani 9221 Pasukan Polis Sempadan, parah akibat terkena tembakan di kepala.

Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Pattani, sebelum meninggal dunia.

Kejadian kedua berlaku hampir pada masa yang sama, apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang satu lagi pangkalan kawalan mukim di Daerah Yaring, juga di Wilayah Pattani.

Kejadian di Mukim Bang Pu, kira-kira 200 meter dari tempat kejadian pertama, apabila kumpulan lelaki terbabit melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pangkalan berkenaan.

Anggota Unit Perlindungan Mukim membalas tembakan itu menyebabkan kumpulan lelaki terbabit melarikan diri. Tiada mana-mana pihak dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Pada kira-kira jam 5 pagi 10 Oktober pula bom buatan sendiri diletupkan di tepi sebuah tanah perkuburan berhampiran sebuah pangkalan pasukan kawalan juga di Mukim Bang Pu.

Pihak polis percaya bom itu ditanam di kawasan itu oleh kumpulan lelaki bersenjata yang menyerang pangkalan Unit Perlindungan Mukim. Tiada kecederaan dilaporkan.

Kejadian di Yala

Polis menerima laporan mengatakan kira-kira jam 11.30 malam Rabu, sekumpulan antara 9 hingga 10 lelaki bersenjata memakaian pakaian hitam seperti tentera, menyamun senjata api di sebuah rumah penduduk kampung Ban Kasot, Mukim Bannang Sata, Daerah Bannang Sata.

Kenderaan awam turut rosak akibat letupan bom paip yang dilempar pihak tertentu ke arah pusat pemeriksaan di Yala, semalam.

Antara senjata api yang dilarikan ialah senapang patah dan senapang angin. Bagaimanapun, kumpulan lelaki terbabit tidak mencedera penghuni rumah berkenaan.

Sementara itu, satu serangan bom paip berlaku di pusat pemeriksaan Tha Sap di Daerah Muang, Yala.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.36 petang semalam, dua lelaki bermotosikal melontar bom paip ke arah pusat pemeriksaan itu, tetapi bom berkenaan terjatuh di atas jalan raya.

Beberapa kenderaan milik anggota polis yang diletakkan berhampiran pusat pemeriksaan itu rosak terkena serpihan bom berkenaan. Tiada kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, pada jam 7.50 malam hari sama, polis Daerah Raman menerima laporan mengatakan seorang penduduk terbunuh akibat ditembak di Mukim Chakwah.

Siasatan mendapati, mangsa sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya, sebelum sekumpulan individu melepaskan tembakan ke arahnya, menyebabkan dia maut di tempat kejadian.

Polis masih menyiasat sama ada kejadian itu berkaitan dengan masalah peribadi atau konflik yang berlaku di Selatan Thai.

Kejadian di Narathiwat

Pasukan renjer menerima laporan kira-kira jam 7 malam semalam mengatakan tiga kamera litar tertutup (CCTV) di Daerah Sri Sakhon telah dirosakkan oleh tiga individu tidak dikenali.

Semua tiga CCTV itu dipasang di jalan utama di daerah berkenaan.

Sementara itu, polis menerima laporan pada jam 3.30 pagi mengatakan beberapa individu telah membakar kenderaan berat untuk membuat jalan di Sekolah Ban Air di Daerah Chanae.

Siasatan masih dijalankan.

One response to “Tujuh serangan dalam 24 jam di Selatan Thai, polis dan orang awam maut ditembak”

  1. […] Apa Khabar TV pada 11 Oktober lalu melaporkan sekurang-kurangnya tujuh kejadian serangan terhadap pasukan keselamatan, harta benda awam, samun senjata api dan pengeboman berlaku di tiga wilayah ‘Deep South’ di Selatan Thai, dalam tempoh tidak sampai 24 jam. […]

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading