Ada dua tarikh yang harus melekat dalam minda pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani buat satu tempoh yang lama.

Pertama, adalah 25 Ogos – hari yang menyaksikan mereka merakamkan detik gemilang menjuarai badminton Terbuka Jepun di Arena Yokohama dan kedua, pasangan ranking ke-12 dunia ini bakal menempuh alam baru apabila bergerak secara profesional pada 1 September ini.

Dua tarikh ini memberi pengertian amat berbeza kepada mereka mengharungi kerjaya bagi menyahut cabaran kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas ini.

Kemenangan besar dan bermakna di Jepun memberi satu suntikan inspirasi. Titisan keringat pasangan ini membutirkan hasil lumayan iaitu habuan kemenangan bernilai USD$62,900 (RM274,317).

Wang ini akan menjadi modal permulaan terbaik sebagai pasangan profesional negara kerana bermula bulan depan mereka tidak lagi akan menikmati segala kemudahan diperoleh daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama ini.

Peminat badminton percayaa Sze Fei- Izzuddin ada ramuan untuk berjaya apabila bergerak profesional mulai 1 September ini.

Jika sebelum ini mereka mendapat gaji atau elaun tetap serta imbuhan lain, pada 1 September nanti segala-galanya akan berubah. Sze Fei-Izzuddin adalah majikan sendiri dan perlu menguruskan persiapan ke kejohanan Siri Jelajah Dunia, termasuk tempahan tiket kapal terbang, hotel dan perkara lain termasuk latihan.

Mungkin, mereka boleh bertanya kepada Lee Zii Jia untuk mendapatkan bantuan nasihat dalam aspek ini. Pemain ranking ke-6 dunia itu meninggalkan BAM pada Januari 2022 dan pernah melalui pelbagai detik sukar duka sepanjang tempoh itu.

Tapi, tanggapan sinis pengkritik terhadapnya juga berakhir selepas anak kelahiran Kedah itu memenangi pingat gangsa acara perseorangan lelaki, Sukan Olimpik di Paris, awal bulan ini.

Pasangan beregu lelaki juga boleh mengambil iktibar daripada kejayaan Lee Zii Jia memenangi gangsa Sukan Olimpik selepas meninggalkan BAM.

Kita tidak tahu sama ada status profesional ada impak kepada pemain kerana mereka tidak lagi terikat kepada arahan badan induk atau sistem latihan dikendalikan di sana.

Jika lebih dekat lagi, Sze Fei-Izzuddin boleh mengikuti perkembangan pasangan beregu lelaki lain, termasuk Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang juga meninggalkan BAM beberapa tahun lalu. Bukan mereka saja, malah ada beberapa pasangan beregu dan juga beregu campuran lain mengambil jejak langkah sama.

Di sini, penulis tidak mahu membandingkan pemain bawah pengawasan BAM dan mereka yang bergerak secara profesional. Ini bukan satu ukuran untuk kita menilai siapa akan lebih berjaya di pentas antarabangsa.

Segala-galanya terletak pada kemahuan dan kesungguhan pemain itu sendiri untuk menonjol dan membuktikan keputusan dibuat itu adalah sesuatu yang tepat satu hari nanti.

Yang penting mereka sedia menghadapi realiti hidup menjaga periuk nasi masing-masing. Begitu juga baiknya jika mereka mendapat tunjuk ajar dan nasihat daripada pihak yang menyokong perjuangan mereka. Apa yang ketara, dalam situasi ini banyak elemen negatif boleh mengganggu minda mereka dan menjejaskan fokus dalam permainan. Itu yang perlu diawasi setiap masa.

Kita mungkin masih ingat kata-kata pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Viktor Axelsen yang pernah menyokong keputusan pemain negara, termasuk Zii Jia mahu meninggalkan skuad kebangsaan untuk menjadi pemain profesional.
Katanya, itu hak pemain membuat keputusan kerana ia adalah pilihan dan soal kehidupan seseorang individu.

“Daripada pendapat saya sendiri, jika seseorang pemain (dalam kes ini Zii Jia) berasa ia adalah keputusan terbaik untuk memilih haluan sendiri sebagai pemain bebas, apa salahnya.

“Ini membabitkan soal kerjaya pemain dan kehidupan pada akhirnya,” katanya yang turut membuat keputusan sama meninggalkan skuad badminton kebangsaan Denmark pada Ogos 2001 selepas Sukan Olimpik di Tokyo.

Peminat tanah air pasti percaya Sze Fei-Izzuddin ada ramuan untuk menempah nama dan permulaan positif itu dibuktikan dengan menjuarai Terbuka Jepun, tempoh hari. Gemilang dilakar hadir tepat pada masanya untuk memberikan mereka tonik mujarab.

Mereka menewaskan pasangan ranking ke-3 dunia dari Korea Selatan yang juga juara bertahan kejohanan dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, 21-19, 21-15. Ini sekadar menggariskan satu hakikat betapa mereka memiliki selera besar menumbangkan pasangan gergasi dunia.

Pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga meninggalkan BAM untuk mencari angin baru.

Tekad pasangan No.2 negara selepas ini adalah memburu kedudukan lima teratas dunia dan tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaan dikecapi di Jepun, tempoh hari.

“Apa pun saya rasa, mungkin kami juara hari ini tetapi mulai esok kami bukan lagi sesiapa dan akan bermula dari bawah semula,” kata Sze Fei dalam satu kenyataan kepada media tempatan.

Inilah satu sikap yang perlu ada dan sentiasa melekat dalam minda pemain. Kita harap pasangan beregu negara ini dapat meniti satu tahap baru dan mana tahu satu hari nanti berani membicarakan hajat mahu naik ke podium pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Pemain negara yang bergerak profesional ketika ini juga boleh membentuk satu kumpulan sendiri dalam usaha memantapkan mutu permainan masing-masing dengan latihan ‘sparring’ sesama mereka yang cukup. Mereka juga boleh memilih seorang ketua penuh berpangalaman yang bertindak sebagai ‘presiden’, umpamanya mengawasi perkembangan kelompok ini.

Mungkin sistem seperti dimaksudnya sudah pun wujud. Jika ada, biarlah mereka bersatu dan bermain untuk kejayaan diri dan negara. Ini bukan soal ‘bermusuhan’ lagi dengan BAM. Objektifnya cuma satu – hadir bersama-sama mengangkat martabat Jalur Gemilang dalam dunia badminton yang makin mencabar.

Majulah sukan untuk negara!

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading