
Apakah dua watak ini – Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom – seperti menenggelamkan sedikit pencapaian dua pingat gangsa oleh kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik yang berakhir di Paris pada Ahad.
Sehingga itu, pencapaian tempat ketiga skuad badminton dalam acara beregu (Aaron Chia-Soh Wooi Yik) dan perseorangan lelaki (Lee Zii Jia) mengangkat martabat negara dalam senarai pungutan pingat untuk terikat di tangga ke-80 secara keseluruhan.
Jadi, kita tidak pulang dengan tangan kosong seperti mana diramal pengkritik atau pun pemerhati sukan tanah air bahawa kemarau pingat seperti mana disaksikan di Athens 2004 akan berulang.

Tahniah kepada kontinjen negara atas keringat dan komitmen dicurahkan di pentas saingan sepanjang 17 hari tempoh temasya itu.
Suatu harapan terbit pada hari terakhir temasya, acara berbasikal trek lelaki yang menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia – mengharapkan detik terbaik akan menjelma akhirnya merebut pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan sejak 1956.
Amat perit rasanya memikirkan malang yang menimpa kedua-dua Azizul dan Shah Firdaus pada saat getir itu di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines. Penyudahannya, bukan saja emas, malah perak dan gangsa juga terlepas daripada genggaman kita.
Paling hampir adalah Shah Firdaus, 28, yang dilihat berada pada kedudukan memburu gangsa dalam final keirin sebelum dikatakan melakukan kesilapan menghalang pencabar ketika sudah mendekati garis penamat. Siapa salah, dia atau pun pelumba dari Jepun, Shinji Nakona yang dikatakan punca pelanggaran itu.
Ramai yang melihat rakaman insiden itu beberapa kali menerusi kaca TV beranggapan pelumba Jepun itu seperti ada niat mahu menjatuhkan wakil negara kita dan memintas mencari peluang gangsa. Tapi, dia tampak melakukannya secara pintar.
Siapa yang ketawa besar. Sudah pasti Matthew Glaetzer dari Australia yang berada pada kedudukan tempat keenam dan terakhir sebelum pelanggaran membabitkan tiga pelumba itu, termasuk pelumba Britain, Jack Carlin. Glaetzer bagai dapat durian runtuh untuk pulang ceria membawa gangsa sebagai kenangan di Olimpik.
Ini satu episod pilu yang langsung tidak terlintas dalam fikiran kita bahawa ia akan berlaku di kota Paris. Memori ini tidak mungkin dapat dikikis segera dan ada juga ramai peminat yang menyebut tiada sifat ihsan ditunjukkan oleh pegawai perlumbaan, menjatuhkan ‘hukuman berat’ ke atas dua wakil kita.
Bagi peminat dan pengguna internet yang marah dan menuntut keadilan, keputusan seumpama itu disifatkan amat memalukan dan berat sebelah.

Sebelum itu, Azizul disebut oleh juri, sudah lebih awal memotong derny (pacer) dalam acara keirin sehingga dibatalkan penyertaannya. Wajah penuh emosi dan kesedihan ditanggung oleh jaguh pecut negara berusia 36 tahun itu jelas tergambar.
Dia menunggu saat besar ini sejak 2008 untuk tampil membuat kayuhan emas bagi sambutan bersejarah.
Apa pun, biarlah kita bersabar kerana kita bukan pihak yang berkuasa dalam hal ini. Hanya mereka yang lebih arif tahu membuat keputusan. Terima kasih Paris dan juri-juri acara berbasikal trek.
Kita juga tidak pasti sama ada Azizul masih ada selera dalam tempoh empat tahun lagi apabila menyahut cabaran Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles ketika usianya mencecah 40 tahun. Tapi, Shah Firdaus masih ada ruang bangkit mengubati duka pada usia 32 tahun nanti.
Namun, dalam perbualan dengan media tempatan di Paris, Azizul – bekas juara dunia acara keirin – seperti memberi bayangan mungkin tidak dapat berkayuh bagi edisi ke-31 nanti. Dia juga menekankan tumpuan selepas ini tidak harus terarah kepadanya lagi tapi pelumba baru negara.
“Ini bukan mengenai saya lagi. Saya harap peminat sukan dan rakyat Malaysia akan berhenti bercakap mengenai saya. Ia bukan mengenai saya, ia adalah menyokong (Shah Firdaus) dan generasi berikut,” katanya kepada Astro Arena selepas tamat acara keirin pada Ahad.
Dia juga dipetik berkata, harapannya adalah melihat Shah Firdaus, adiknya dan pelumba lain dapat menyambung legasinya selepas ini.
Dua jaguh negara ini tidak perlu rasa malu kerana seluruh rakyat akan bersama-sama dengan mereka menangani situasi duka ini. Sumbangan anda pasti dihargai pada edisi kali ini yang penuh berliku.

Pada ketika sama kita tetap menyambut kejayaan membanggakan meraih dua gangsa acara badminton. Syabas kepada Aaron-Wooi Yik berjaya mempertahankan gangsa dimenangi di Tokyo, tiga tahun lalu.
Begitu juga Zii Jia yang yang gah naik ke podium selaku pemain ketiga terbaik acara perseorangan lelaki di belakang pemain No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen (emas) dan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand (perak).
Kita juga tidak lupa sumbangan jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan, jaguh pecut berbasikal trek wanita, Izzah Izzati Asri, pemain golf (Gavin Kyle Green, Ashley Lau) serta barisan memanah, sukan pelayaran, renang, menembak dan olahraga yang membentuk senarai 26 atlit negara kali ini.
Bagi misi LA 2028, persiapan lebih jitu harus bermula pada hari ini dan bukan menunggu setahun sebelum temasya bermula.
Apa yang kita saksikan adalah atlet negara yang dipilih kali ini sudah merasai bahang cabaran Olimpik dan perlu menyoal diri masing-masing apa yang perlu dicapai mereka bagi edisi berikut. Jangan setakat bangga dapat layak beraksi di Olimpik. Setiap atlet yang hadir di pentas Olimpik mahu mencari pingat bukan mahu menjadi penumpang atau bercuti.
Kontinjen negara masih akan mengharapkan badminton, berbasikal trek, terjun dan juga skuasy – yang bakal membuat penampilan sulung nanti – sebagai prospek bagi buruan emas.

Pada ketika sama, kita juga boleh mula melakar program untuk acara sukan lain bagi mengintai peluang sama – bukan terus bersandar lagi kepada acara sukan popular sahaja.
Umpamanya, lihat kejayaan Indonesia yang meraih dua pingat emas acara memanjat menerusi Veddriq Leonardo dan Rizki Juniansyah (angkat berat lelaki 73 kilogram).
Begitu juga dengan kejayaan satu lagi negara serantau kita, Filipina yang mengutip dua emas acara gimnastik artistik. Agak mustahil jika kita tiada bakat sama untuk memburu kedudukan podium. Thailand turut meraih satu emas menerusi acara taekwondo wanita.
Kita pasti ada kemampuan dalam disiplin seperti ini jika tumpuan serius dapat diberikan pihak berkuasa sukan negara dengan satu struktur yang mantap dan penuh dedikasi. Biar kita buka minda kerana lubuk emas bukan lagi hanya berkisar kepada acara yang kita kerap berikan keutamaan selama ini.
Biarpun sukan ini kecil atau kurang popular tapi yang penting kita dapat menuai emas pertama kerana seperti yang sering kali pernah disebut – emas juga dikenang orang.
Paris 2024 berakhir dengan segala drama, tangisan, gelak ketawa dan saat suka-duka. Amerika Syarikat dan China terus gah dengan masing-masing berjaya mengutip 40 emas tapi AS diisytiharkan selaku juara keseluruhan atas kelebihan pungutan pingat perak dan gangsa.
Bumi Perancis melabuhkan tirai Olimpik pada upacara penutup penuh berwarna warni yang melihat 10,714 atlet beraksi dalam 32 acara sukan membabitkan 206 negara anggota, termasuk dari Malaysia.
Setiap peserta meninggalkan negara tuan rumah dengan pengalaman dan kenangan. Bagi atlet yang berjaya naik ke podium, mereka pasti akan kembali berselera empat tahun lagi di Los Angeles.
Majulah sukan untuk negara!






Leave a Reply