TANJONG MALIM: Pedagogi merupakan kajian berkaitan pengajaran dalam pendidikan formal dan di sekolah, pedagogi merupakan kursus yang wajib dalam kalangan guru bagi membantu dalam proses pengajaran yang lebih efektif.
Menurut Kamus Dewan, pedagogi adalah kajian berkaitan kaedah dan prinsip pengajaran.
Pengarah Pusat Kokurikulum, Prof Madya Dr Mazuki Mohd Yasim berkata pihaknya mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kursus Pedagogi untuk semua Tenaga Pengajar Kursus Kokurikulum Berkredit.

“Penganjurannya adalah seiring dengan salah satu syarat wajib baharu untuk lantikan bagi mengajar kursus kokurikulum berkredit seperti yang diluluskan oleh Senat Universiti,” katanya.
Katanya, kursus ini dijalankan secara fizikal dan dikelola oleh dua panel.
Di antara subtopik yang dibincangkan adalah struktur dan proses mengajar, kawalan pengajaran, teknik kawalan suara serta gaya dan penilaian pembelajaran.
Seramai 80 orang Tenaga Pengajar Kursus Kokurikulum Berkredit Pusat Kokurikulum, UPSI telah menyertai kursus ini.
Pendekatan pengajaran secara santai dan mudah difahami daripada Timbalan Pengarah Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi, Dr Mohd Razimi Husin dan Pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Dr Nik Muhammad Hanis Nek Rakami telah banyak membantu peserta dalam menguasai dan memahami konsep-konsep yang dibincangkan dalam cara yang lebih mudah, menarik dan menyeronokkan.
Dengan peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mengajar Kursus Kokurikulum Berkredit Unit Sukan, Permainan dan Rekreasi, Unit Persatuan, Seni dan Kebudayaan serta Unit Badan Beruniform telah memberi banyak berbincangan secara kolaboratif terhadap pelbagai topik yang sukar untuk difahami.
Hal ini telah dapat meningkatkan keyakinan diri peserta dalam memahami dan mengaplikasi pendekatan pedagogi bagi membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka kelak.
Beliau berkata sepanjang kursus tersebut, peserta berpeluang bertukar idea dan pendapat, berkongsi pengalaman dan sumber pengajaran dalam pendidikan kokurikulum.
Kursus ini berpotensi memberi ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat untuk membentuk budaya ilmu yang proaktif secara formal dan tidak formal dalam kalangan tenaga pengajar pusat kokurikulum.
Di antara tujuan utama Kursus Kokurikulum adalah untuk memberi pengkayaan dan ilmu tambahan sebagai nilai tambah seseorang mahasiswa di Universiti apabila mereka bergelar graduan.
Penyelaras Unit Sukan, Permainan dan Rekreasi,Pusat Kokurikulum, UPSI, Dr. Mon Redee Sut Txi, OLY berkata kursus ini telah mendapat maklum balas yang sangat positif daripada para peserta.
Respon yang positif ini telah menunjukkan bahawa kursus seperti ini harus dilaksanakan secara berterusan pada masa akan datang mengikut keperluan Kursus Kokurikulum di Univerisiti.
“Kursus yang dianjurkan oleh Pusat Kokurikulum dan pusat pedagogi, penyelidikan dan inovasi, UPSI ini telah berjaya mencapai objektif yang diharapkan sekali gus membantu Tenaga Pengajar Kursus Kokurikulum Berkredit dalam menguasai dan mengukuhkan lagi ilmu dan pengetahuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran masing-masing,” katanya.






Leave a Reply