
Tangisan jaguh negara, Lee Zii Jia pada hari terakhir kancah saingan badminton Sukan Olimpik di Paris menjadi bahan perbualan hangat peminat tanah air. Ramai terkejut dengan reaksi penuh emosi pemain itu.
Ia sebenarnya bukan tangisan tanda gembira berjaya memenangi pingat gangsa acara perseorangan lelaki, tetapi lebih ke arah meluahkan segala perasaan yang terpendam sejak satu atau pun dua tahun lalu.
Tidak perlu penulis menghuraikan panjang lebar perkembangan ini yang mana ramai sudah pun sedia memahami rentetan peristiwa itu sejak dia membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan memilih haluan sendiri menjadi pemain profesional pada 19 Januari 2022.

Kebetulan pada hari berkenaan dia berada dalam ranking No.7 dunia – angka sama digalasnya di temasya Olimpik kali ini.
Kita pun tidak dapat pastikan siapa yang salah atau pun pihak mana pula yang benar. Apa yang pasti kita mahu melihat perhubungan Zii Jia dengan media akan pulih sebaik-baiknya demi badminton negara.
Ibarat ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’ pemain ini harus menggunakan kejayaan meraih gangsa di Paris sebagai satu kebangkitan bagi mengejar lagi beberapa gelaran terbesar dunia, termasuk Kejohanan Dunia atau Sukan Asia.
Mungkin juga perhubungan dingin di antara dua pihak ini boleh dianggap suatu rahmat kerana berjaya memulihkan moral dan keyakinan bintang badminton negara yang kini bersedia menyahut cabaran pingat emas Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Zii Jia sendiri menyuarakan keazaman itu ketika ditemubual wartawan Astro Arena, Ahmed Shahrazad Sani yang menyentuh perasaan seluruh peminat di tanah air apabila dia memeluk pemain negara yang menewaskan Lakshya Sen dari India 13-21, 21-16, 21-11 dalam perlawanan penentuan gangsa di Arena Adidas Port de la Chapelle pada Isnin.
“Ini satu permulaan bagi saya. Saya sedih kerana mahu sangat emas di Paris, tapi dapat gangsa. Saya akan cuba usahakan buruan emas di Los Angeles nanti,” kata pemain berusia 26 tahun itu yang sebelum ini tidak pernah dilihat menangis apabila berdepan media walaupun melalui detik sedih atau kecewa.

Apa pun, pada saat ini, sekalung tahniah diucapkan kepada pemain No. 7 dunia ini yang melakar gemilang bersama pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tunjuk garang pada hari penamat untuk memenangi gangsa buat kali kedua berturut-turut selepas pencapaian sama di Tokyo 2020.
Jelas, ‘mentaliti gergasi’ dimiliki kedua-dua pemain beregu ini cukup kuat apabila bangkit dari ambang kekalahan untuk melakar kemenangan dramatik 16-21, 22-10, 21-19 ke atas pasangan ranking No.2 dunia dari Denmark, Anders Rasmussen-Kim Astrup.
Malah, pertarungan acara beregu itu itu dianggap antara perlawanan terbaik disajikan pada edisi kali ini.
Daripada pencapaian ini, kita juga boleh label mereka sebagai pasangan beregu terbaik negara pernah disaksikan. Tambahan, gemilang dilakar selaku juara dunia di Kejohanan Dunia 2022 sekadar menceritakan segala hakikat itu.
Aaron-Wooi Yik mempamerkan semangat berbeza apabila beraksi dalam kejohanan pentas terbesar dunia, seperti Olimpik, Sukan Asia atau Kejohanan Dunia berbanding pencapaian dalam Jelajah Siri Super. Mungkin mereka boleh memilih untuk tidak terlalu banyak beraksi dalam kejohanan Terbuka BWF jika sudah ada kutipan mata yang mencukupi.
Ada juga pemerhati yang menyebut pencapaian gangsa di Paris agak sederhana ketika mereka harus mengilhamkan kejayaan mengutip perak atau pun emas pertama negara.
Tapi, kita juga kena ingat bukan mudah mahu naik ke podium Sukan Olimpik ketika ramai pemain mengidamkan tempat itu tapi gagal. Di sini, Aaron-Wooi Yik sudah berjaya naik dua kali menyumbang gangsa kedua kontinjen.
Pada 31 Julai 2021 (Olimpik ditangguh setahun), beregu utama negara menumpaskan jaguh veteran Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan penentuan gangsa di Musashino Forest Sports Plaza. Ia juga pingat tunggal dimenangi dalam acara badminton.

Kita juga tidak boleh melupakan sumbangan pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang melakar sejarah untuk mara ke separuh akhir buat julung kali. Cuma, penyudahannya akan lebih bermakna jika mereka turut naik ke podium meraih gangsa tambahan buat kontinjen negara.
Tampil pada aksi sulung Olimpik, pasangan beregu campuran kita, Chen Tang Jie-Toh EeWei turut mencetus rasa ceria, namun kemaraan jauh mereka terkandas di peringkat suku akhir apabila tewas kepada pasangan ranking ke-8 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun, 21-19, 21-14.
Edisi badminton kali ini banyak meninggalkan kenangan positif pencapaian skuad negara walaupun gagal memadamkan pencapaian barisan pada 2016 di Rio de Janiero yang membawa pulang tiga pingat perak menerusi sumbangan Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), pasangan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
Apa yang nampak ketara, skuad Malaysia di Paris sekali lagi membuktikan selaku antara negara yang besar dalam permainan popular ini dan sentiasa memiliki prospek naik ke podium. Ini satu petanda baik menyahut cabaran LA 2028 nanti.
Majulah sukan untuk negara!






Leave a Reply