
TERPERANJAT juga melihat kelibat Lee Zii Jia tampil menyajikan satu aksi sempurna berbekal corak permainan ‘cukup tenang’ sebelum menempah tiket separuh akhir, Sukan Olimpik acara perseorangan lelaki.
Impiannya di Paris 2024 mula menyala dan jika berjaya menewaskan juara dunia, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand, hari ini (petang Ahad) dia akan dapat menyamakan pencapaian pingat perak oleh Datuk Lee Chong Wei.
Namun, melihat kepada komitmen dan semangat Zii Jia dalam saingan suku akhir ketika menumpaskan lawan dari Denmark, Anders Antonsen 21-17, 21-15, dia seperti memberi isyarat mahu terus kekal menyambung rentak kemenangan sehingga ke hari penamat di Arena Adidas Port de la Chapelle.

Mungkin setahun lalu, pemerhati dan pengkritik sudah menutup buku apabila ditanya mengenai peluang Zii Jii di pentas Olimpik. Secara terus terang, siapa saja akan berbuat sama kerana persembahan terumbang-ambing pemain itu yang lebih kerap terkandas di pusingan pertama atau kedua Jelajah Super Series BWF atau pun kejohanan utama dunia.
Namun, persembahannya yang konsisten pada enam bulan lalu dibawah pengendalian Wong Tat Meng menerbitkan semula satu harapan kepada dirinya dan juga seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangannya.
Hari ini, segala latihan gigih dan kerahan tenaga menampakkan hasil dan pretasinya memuncak kebetulan menjelang Sukan Olimpik kali ini.
Pemain No. 7 dunia itu sendiri akur betapa dia tidak mempercayai dapat bermain secara tenang ketika lawannya dikatakan lebih ghairah mahu menang. Ini melihat dia kerap terperangkap dan melakukan beberapa kesilapan.
“Saya gembira di atas persembahan ini. Saya tak dapat percaya dapat bertindak tenang atas gelanggang dalam perlawanan penting ini. Saya sedar semangat Antonsen yang macam mahu menang sangat dan ini menyebabkan dia melakukan beberapa kesilapan,” kata Zii Jia dalam temubual dengan Badminton World Federation (BWF).
“Ini adalah Olimpik dan setiap pemain mahu menang. Saya belajar bahawa siapa yang lebih tenang dan dapat menangani segala situasi, terutamanya tekanan, ada peluang untuk menang.
Jarang-jarang peminat badminton tanah air melihat kemampuan seperti ini dijelmakan apabila jaguh kebangsaan itu lebih fokus dalam setiap servis dan pergerakan ketika menentang Antonsen yang menjadi pilihan untuk memenangi pertemuan ini.
Zii Jia jelas mendominasi permainan dengan kawalan gelangang padu dari mula sehingga akhir untuk menang. Ini juga kemenangan keempat daripada sembilan pertemuan menentang pemain No.3 dunia itu.
Apa pun, bekas juara Seluruh England itu ketika ditemubual selepas perlawanan tidak menunjukkan sebarang rasa ghairah pada wajahnya, malah menekankan dia mahu mengalihkan tumpuan untuk saingan separuh akhir.

Pemain tinggi lampai kelahiran Alor Setar itu juga tidak melonjak atau pun menjerit tanda puas hati selepas menang mata terakhir di set kedua hasil kesilapan Antonsen apabila bulu tangkis itu terkeluar dari gelanggang permainan. Mungkin dia mahu menyimpannya untuk hari terakhir. Harap-harap begitulah.
Kini halangan besar menunggu Zii Jia adalah berdepan Kunlavut dalam saingan empat terakhir. Lawannya juga hebat apabila mengejutkan pemain No.1 dunia dari China, Shi Yuqi 21-12, 21-10 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Yuqi adalah pilihan untuk memenangi pingat emas tapi dia gagal menyahut cabaran dilontarkan lawan berusia 23 tahun itu yang bertindak cukup mantap untuk menidakkan hajat besar lawan. Satu ketika saingan itu nampak seperti perlawanan berat sebelah.
Zii Jia akur prestasi Kunlavut lebih baik berbanding dengannya, tambahan sedar rekod pertemuan lebih memihak kepada lawan dari negara jiran itu.
“Dia sudah mengejutkan pilihan pertama dan sudah pasti berada pada prestasi terbaik ketika ini. Dia juga nampak yakin. Saya perlu menggandakan usaha dan kita lihat sahaja penyudahannya nanti,” kata pemain berusia 26 tahun itu.
Rekod pertemuan di antara kedua-dua pemain ketika ini adalah 4-4 selepas lapan pertemuan lalu.
Satu lagi saingan separuh akhir membabitkan juara bertahan, Viktor Axelsen dari Denmark menentang Lakshya Sen dari India.
Kini, hanya Zii Jia sahaja tinggal untuk buruan emas kontinjen negara dalam acara badminton selepas dua lagi prospek awal acara beregu lelaki dan wanita – Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah kecundang dalam saingan separuh akhir tempoh hari.
Apa yang pasti jaguh perseorangan lelaki kita perlu menjelmakan aksi bertaraf ‘lima bintang’ jika mengidamkan tiket ke final. Ketika sama dia juga memerlukan sokongan padu seluruh rakyat Malaysia mengiringi cabarannya, hari ini (petang Ahad).
Majulah sukan untuk negara!





Leave a Reply