Tiga anggota kumpulan bersenjata disahkan terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan pasukan keselamatan Thailand di Mukim Na Ket, Daerah Khok Pho, Wilayah Pattani di Selatan Thai, semalam (31 Julai 2024).

Ia sekali gus mengakhiri hari ke enam ‘Op Ban Khlong Chang’ – operasi pengepungan oleh tentera Thailand untuk memaksa tiga anggota kumpulan terbabit meletak senjata dan menyerah diri.

Ketiga-tiga mereka yang terbunuh ialah Tuan Adel Mani, 26 tahun; Rabi Waesamae, 30; dan Ismae Jalae, 30.

Pasukan keselatan Thai memeriksa kawasan di mana tiga anggota kumpulan bersenjata ditemukan terbunuh di Mukim Na Ket, Daerah Khok Pho, Wilayah Pattani, hari ini (1 Ogos 2024).

Media sosial tempatan sebelum ini, mendakwa ketiga-tiga mereka adalah anggota kumpulan sayap bersenjata Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN).

Bagaimanapun, sehingga kini BRN tidak mengesahkan atau menafikan pembabitan ketiga-tiga mereka.

Pada pagi tadi, pasukan keselamatan Thailand melakukan pemeriksaan di kawasan hutan Ban Khlong Chang, yang turut ditanam getah, setelah tiada tentangan diberikan oleh anggota kumpulan bersenjata itu.

Pasukan keselamatan Thailand kemudian menemukan tiga mayat sebelum menghantarnya ke Hospital Khok Pho.

Gerakan memburu kumpulan itu bermula pada 26 Julai lalu, manakala pengepungan sepenuhnya bermula pada jam 4 pagi 27 Julai di satu kawasan hutan Ban Khlong Chang, yang turut ditanam getah.

Pada jam 7 pagi Isnin lalu, ketika arahan menyerah diri dikeluarkan, kumpulan bersenjata terbabit melempar bom tangan dan melepaskan tembakan ke arah anggota tentera, menyebabkan tiga anggota tentera cedera parah.

Media Thailand melaporkan, pasukan keselamatan perlu segera mengawal kawasan itu supaya 100 peratus selamat menjelang 3 Ogos kerana Perdana Menteri Settha Thavisin akan bertemu dan berbincang dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Golok, Narathiwat.

Antara barangan yang ditemukan daripada anggota kumpulan bersenjata yang ditembak mati di Mukim Na Ket, Daerah Khok Pho, Wilayah Pattani, hari ini (1 Ogos 2024).

Sementara itu, dua letupan bom dilaporkan berlaku di Cho Airong, Narathiwat, manakala objek mencurigakan dan tayar dibakar dilaporkan berlaku di tiga lokasi di Daerah Nathawi dan Thepha, Songkhla, semalam.

Dalam kejadian di Cho Airong, dua letupan berlaku di jalan luar bandar di kawasan Ban Bu Ke di Mukim Bukit, menyebabkan dua penduduk tempatan cedera ringan.

Letupan bom di tepi jalan di Chong Airong, semalam (31 Julai 2024).

Siasatan polis mendapati terdapat kerosakan pada jalan berkenaan akibat kesan letupan.

Jurucakap Pusat Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah Empat, Kolonel Ekkawat Chobchuphon mendedahkan ketika letupan lapan anggota polis Cho Airong menaiki dua pikap berhampiran sebuah jambatan di Ban Bu Ke.

Katanya, sebutir bom kemudian diletupkan disusuli kemudian bom kedua yang terletak kira-kira 50 meter daripada yang pertama.

Bagaimanapun, semua anggota polis terbabit terselamat, tetapi siasatan mendapati dua penduduk kampung cedera.

Objek menyerupai bahan letupan diikat pada tiang pagar di Lebuh Raya 42 di Nathawi, Songkhla, Selatan Thai, semalam (31 Julai 2024).

Pada pagi hari sama, pasukan keselamatan dimaklumkan oleh ketua kampung Ban Sai Ngam, Mukim Nathawi, Daerah Nathawi, bahawa mereka telah menemui tayar terbakar dan objek mencurigakan yang kelihatan seperti bahan letupan di tepi Lebuhraya 42 di Kampung Ban Sai Ngam, Mukim Nathawi.

Pada masa sama, pihak polis juga dimaklumkan paku yang ditabur di atas jalan dan objek mencurigakan yang kelihatan seperti bahan letupan di tiang pagar lebih raya sama di Ban Tha Yi, Daerah Thepha.

Pihak berkuasa juga telah dimaklumkan mengenai kejadian membakar tayar di dua kampung iaitu di Daerah Thepha.

One response to “[TERBAHARU] Konflik Selatan Thai: Tiga anggota kumpulan bersenjata dikepung enam hari akhirnya tewas”

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading