Seorang askar Thailand terbunuh, manakala dua lagi cedera parah dalam satu pertempuran dengan anggota kumpulan bersenjata di daerah Khok Pho di wilayah Pattani, Selatan Thai, pagi semalam (27 Julai 2024).

Kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Unit Operasi Khas Bersama Thailand Wilayah Pattani mengepung satu kawasan di Mukim Naked di daerah berkenaan yang dipercayai menjadi tempat persembunyian kumpulan bersenjata sejak jam 4 pagi.

Kira-kira jam 7 pagi ketika rudingan supaya mereka menyerah diri dilakukan, kumpulan bersenjata terbabit melempar bom tangan disusuli dengan tembak menembak antara kedua-dua pihak.

Tiga anggota tentera yang mengepung kawasan itu dilaporkan cedera parah dalam pertempuran berkenaan, sebelum semua mereka dihantar ke Hospital Pattani untuk rawatan.

Bagaimanapun, Sarjan Mejar Thanasak Buakhao yang cedera parah, putus kedua-dua kakinya, dan dipindahkan ke hospital di Hat Yai, gagal diselamatkan.

Media Thailand melaporkan, pertempuran sengit berlaku lebih 20 minit sebelum berhenti. Bagaimanapun, pihak tentera Thai gagal memastikan kawasan itu selamat 100 peratus.

Tiada laporan kecederaan atau kehilangan jiwa membabitkan kumpulan bersenjata, walaupun pada awalnya dikatakan tiga anggotanya terbunuh.

Susulan kejadian itu Pusat Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 mengarahkan kawasan itu ditutup selama tiga hari sebagai langkah berjaga-jaga terhadap serangan balas.

Jurucakap ISOC Wilayah 4, Lt Kolonel Ekkawat Chobchuphon dipetik sebagai berkata kawasan dikepung itu adalah ladang getah, sekali gus menyukarkan anggota tentera untuk masuk.

“Tentera akan terus mengepung dan memasuki kawasan berkenaan. Oleh itu, laluan di sekitar bermula di pusat pentadbiran Mukim Khuan Noree, Khok Pho akan ditutup selama tiga hari,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa mengesan dua bahan letupan berupa tong gas dan paip yang ditanam di tepi jalan dan sebuah kedai runcit di mukim berkenaan.

Pihak berkuasa juga percaya kawasan yang kini dikepung itu menjadi ‘tapak sokongan’ kepada kumpulan bersenjata.

Kejadian semalam dilaporkan mencetuskan panik orang ramai yang mendengar berita itu kerana lazimnya operasi kepungan dan pencarian tidak melibatkan sebarang bentuk tindakan balas oleh penjenayah atau tentera yang menggunakan bahan letupan.

One response to “Askar maut, dua rakan parah pertempuran dengan kumpulan bersenjata di Pattani”

  1. […] Askar maut, dua rakan parah pertempuran dengan kumpulan bersenjata di Pattani […]

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading