
Setiap kali Sukan Olimpik menyusul, persoalan paling mudah terbit daripada mulut pengkritik adalah apakah kontinjen Malaysia dapat menamatkan kemarau pingat emas kita. Lebih mencuri tumpuan adalah siapakah individu yang bakal naik ke podium membutirkan pingat idaman itu untuk negara.
“Soalan sama setiap empat tahun. Harap-harap ada. Ini kali lah…,” kata seorang rakan secara berseloroh kepada penulis, tempoh hari ketika diajak berbual mengenai peluang kontinjen negara.
Ada kalanya bicara seumpama juga kerap menjadi bahan gurauan di kalangan peminat sukan tanah air dan tidak kurang pula yang menyimpan hajat besar mahu melihat sejarah terpahat di bumi Perancis nanti.
Kita boleh bahagikan mereka kepada dua kategori. Satu adalah kumpulan yang ikhlas, penuh bersemangat dengan pendapat masing-masing manakala satu lagi dengan nada sinis yang kurang yakin dengan misi kita.
Apa pun, pada edisi Paris 2024 yang bermula hari ini (awal pagi Sabtu), kita tetap mahu menyalakan impian emas atas semangat patriotik.
Buruan ini terarah kepada kelibat Azizulhasni Awang (berbasikal trek) dan jaguh beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta sedikit harapan diterbitkan oleh pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang menyinar kebelakangan ini.
Kecuali Zii Jia, yang lain hadir selaku pemenang pingat pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. Azizul, 36, atau ‘Pocket-Rocketman’ menenangi perak acara keirin lelaki manakala Aaron-Wooi Yik adalah pemenang gangsa acara beregu lelaki. Mereka juga hadir dengan status sebagai juara Kejohanan Dunia pada 2022.
Harapan juga disandar ke atas beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang boleh membuat kejutan di Arena Porte de la Chapelle apabila badminton bermula Sabtu ini sehingga 5 Ogos.
Elemen penting pada saat ini adalah sokongan padu dan doa semua rakyat Malaysia mengiringi cabaran 26 atlit kita – angka yang dianggap kecil tetapi penuh berpotensi. Daripada jumlah itu, 15 atlit akan membuat penyertaan sulung pada temasya sukan terbesar dunia ini.

Kita semua harus mengapikan semangat setiap atlet negara turun ke gelanggang, bertarung dan memburu koleksi pingat. Itu sebabnya mereka yang terbaik dipilih atas merit bagi misi mencabar kali ini.
Setakat ini kutipan pingat keseluruhan kontinjen Malaysia dalam sejarah penyertaan adalah lapan perak dan lima gangsa. Daripada jumlah itu, nyata badminton gah dengan sumbangan enam perak dan tiga gangsa.
Sebenarnya angka penyertaan kontinjen negara bertambah kecil sejak Olimpik 2004 di Athens dan ia disebabkan kegagalan skuad hoki negara untuk layak bertanding. Jelas badi itu berterusan sehingga pada hari ini.
Lebih perit, jumlah penyertaan pada 1988 di Seoul cuma membabitkan sembilan atlet sahaja, bilangan paling kecil dalam sejarah penyertaan kita. Sekali lagi skuad hoki negara gagal layak pada tahun berkenaan.
Jadi, hoki yang lazimnya diwakili kira-kira 18 atau 20 pemain kerap menjadikan angka penyertaan kita besar dan meriah pada setiap temasya sebelum ini.
Pada edisi kali ini, kem badminton masih menjadi angka terbesar membentuk kontinjen dengan lapan pemain (empat lelaki dan empat wanita), diikuti berbasikal trek, kedua terbanyak dengan empat wakil.
Acara memanah juga berlepas ke Paris menggalas harapan berbekal tiga atlet, manakala terjun, renang, golf dan lumba layar masing-masing dengan dua wakil. Angkat berat, olahraga dan menembak akan beraksi dengan wakil tunggal masing-masing.
Kita juga tidak menafikan kejutan mungkin berlaku dengan atlet kurang ternama pula yang menyumbang pingat nanti pada ketika segelintir pemerhati dan pengkritik sukan tanah air membuat ramalan kontinjen negara mungkin pulang dengan tangan kosong.
Ini berpandu kepada prestasi dan pencapaian antarabangsa mereka pada enam bulan terakhir, umpamanya. Faktanya juga menjurus ke arah itu.
Kali terakhir kita pulang tanpa sebarang pungutan pingat adalah pada 2000 di Sydney dan 2004 di Athens.
Tapi mana tahu, jika atlet veteran kita gagal, ada mutiara baru pula akan muncul dengan satu kejutan sebagai penyelamat pingat. Keajaiban boleh berlaku di Olimpik.
Penulis masih ingat apa yang berlaku ketika membuat liputan pada Sukan Olimpik 2012 di London. Pada edisi itu, cuma nama Datuk Lee Chong Wei sahaja disebut-sebut sebagai prospek untuk naik ke podium dan memburu kilauan emas pertama negara.

Benar, dia menyumbang pingat tetapi perak sahaja – mengulangi kejayaan sama di Beijing pada 2008 apabila tewas sekali lagi kepada jaguh badminton China, Lin Dan dalam perlawanan akhir.
Namun, apa yang menjadi bahan berita menarik di London adalah kejayaan Pandelela Rinong meraih gangsa acara terjun 10meter platform wanita pada 9 Ogos, tahun berkenaan. Tiada siapa meletakkan sebarang harapan untuk dia memenangi pingat.
Gadis berasal dari Bau, Sarawak berusia 19 tahun pada ketika itu menjadi wanita pertama Malaysia sebagai pembawa bendera di upacara pembukaan temasya dan juga mencatat sejarah selaku wanita pertama untuk memenangi pingat Olimpik.
Masih segar dalam ingatan penulis membuat liputan acara berkenaan apabila secara tiba-tiba wartawan sukan dari The New Straits Times, Vijesh Rai yang berada di hadapan saya bersuara: “Ashok, kita ada peluang ni…Pandelela makin rapat nak menang pingat.”
Kami berdua mula berhenti menulis bahan berita lain dan beralih tumpuan kepada kutipan mata pada tiga pusingan terakhir oleh Pandelela, yang nampak yakin dan konsisten dengan terjunannya di Pusat Akuatik, Olympic Park.
Apabila keputusan rasmi disiarkan, kami bersorak gembira menyambut kejayaan gangsa acara terjun tapi ketika sama cuba mengawal emosi dan perasaan di hadapan ramai wartawan asing yang sibuk dengan tugasan masing-masing.
Kami lupa kita hanya menang gangsa ketika kontinjen negara mereka sudah pun mengumpul banyak emas. Tapi pada saat itu terbit satu rasa bangga yang sukar dihuraikan, tambahan melihat Jalur Gemilang turut dikibarkan.
Selama beberapa hari selepas itu nama Pandelela menjadi popular dan juga bahan buruan media untuk menjual berita sensasi mengenai jejak jaguh gadis itu yang sebenarnya nampak lebih tenang di atas kejayaan dilakar itu.
Paling ketara, media Malaysia menilai gangsa itu sama nilai dengan emas. Kejayaan pingat perak oleh Chong Wei, tiga hari sebelum itu, seperti dibayangi gemilang ciptaan Pandelela. Itulah dua pingat dimenangi kita pada 2012.
Harap sesuatu seperti ini akan berlaku kali ini di Paris – jika boleh daripada ramai atlet kita. Jika ada semangat dan keyakinan pada diri apa saja boleh berlaku.
Ayuh, atlet Malaysia. Ini masanya anda semua mencipta bangga untuk diri dan negara. Ingat, akhirnya emas juga dikenang orang.
Majulah sukan untuk negara!






Leave a Reply