NARATHIWAT (SELATAN THAI): Pihak berkuasa Thailand dilapor mempertingkatkan kawalan keselamatan di Selatan Thai susulan serangan bom kereta yang menyebabkan seorang maut, manakala 21 yang lain cedera di Yala, semalam (30 Jun 2024).

Apa Khabar TV difahamkan kawalan ketat dan pemeriksaan rapi dilakukan di tiga wilayah Selatan Thai – Narathiwat, Yala dan Pattani.

Memetik laporan The Reporter Thailand hari ini, polis Wilayah Narathiwat memperketatkan pemeriksaan, termasuk menambah sekatan jalan raya, bagi melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua kenderaan.

Laporan itu menyatakan Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Maitri Sanyakul mengarahkan semua balai polis di 13 daerah di wilayah itu mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan kawalan serta pemeriksaan.

Wilayah Narathiwat bersempadan dengan Kelantan yang melibatkan dua pintu masuk rasmi iaitu Tak Bai-Pengkalan Kubur dan Sungai Golok-Rantau Panjang.

Pihak berkuasa Thailand percaya kumpulan yang terbabit dalam serangan bom kereta itu kini bersembunyi di kawasan berhampiran sempadan Malaysia.

Pemeriksaan ketat dilakukan di wilayah Selatan Thai susulan serangan bom kereta di Yala, semalam (30 Jun 2024).

Maitri dipetik sebagai berkata bahawa garis panduan pencegahan di Daerah Mueang yang turut meliputi bandar Narathiwat mempunyai tiga peringkat pemeriksaan iaitu luar, tengah dan dalam.

“Selain itu, terdapat zon keselamatan yang ditetapkan. Selepas letupan di Daerah Bannang Sata, Wilayah Yala, semalam (30 Jun 2024), arahan telah diberi untuk memperketatkan pemeriksaan terhadap semua kenderaan.

“Terutamanya kenderaan yang mencurigakan, remaja dan kumpulan sasaran. Kenderaan dan orang ramai dipantau dalam masa nyata,” katanya.

Laporan itu mengatakan Polis Wilayah Narathiwat bersama pasukan operasi khas menubuhkan pusat pemeriksaan khas bagi memeriksa kenderaan dan individu yang mencurigakan sejak pagi tadi.

Kawalan di semua pejabat kerajaan turut diperketatkan dengan semua kenderaan yang keluar masuk diperiksa rapi.

Pemeriksaan itu memberi tumpuan kepada kumpulan dan individu yang disenaraikan di bawah waran tangkap. Pasukan keselamatan juga memeriksa objek asing yang dipasang pada semua jenis kenderaan.

Serangan bom kereta itu berlaku di flat Balai Polis Daerah Bannang Sata, Yala, kira-kira jam 10.20 pagi semalam, menyebabkan seorang guru tadika wanita maut, manakala 21 yang lain cedera, termasuk lapan anggota polis.

Serangan bom kereta semalam adalah yang terbaharu sejak pergolakan tercetus di Selatan Thai pada 2004. Wilayah Selatan Thai dikenali sebagai ‘Deep South’ (Yala, Narathiwat dan Pattani, serta empat daerah di Songkhla – Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee).

Serangan bom kereta bermula pada 2005 dan kejadian baharu di Balai Polis Bannang Sata adalah kali yang ke 62.

Statistik serangan bom kereta di Selatan Thai adalah seperti berikut:

  • Wilayah Narathiwat – 25 kes;
  • Wilayah Yala – 15 kes;
  • Wilayah Pattani – 17 kes; dan
  • Empat daerah di Wilayah Songkhla – 4 kes.
  • Terdapat juga satu lagi insiden bom kereta di luar empat wilayah berkenaan yang berlaku di pusat beli-belah Central Festival di Daerah Koh Samui, Wilayah Surat Thani pada 2015, yang turut dikaitkan dengan kumpulan pemberontak di wilayah sempadan selatan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading