
TUMPUAN pada malam ini harus terarah kepada Manchester City dan Arsenal ketika kedua-dua pasukan itu digamit detik kemasyhuran mahu menjulang trofi Liga Perdana Inggeris. Siapa memiliki ramuan tambahan untuk bergelar juara?
Tugasan Pep Guardiola dan rakan sejawatannya Mikel Arteta adalah jelas – menyuntik kata-kata semangat kepada anak didik masing-masing ketika tiga mata adalah wajib dikutip.
City akan menentang West Ham manakala Arsenal bertemu Everton di laman sendiri. Tidak dapat menolak hakikat pemerhati dan pengkritik bola sepak melihat kemenangan bakal memihak dua pasukan paling konsisten yang menghuni dua tempat teratas dalam carta liga pada ketika ini.

Berpandu kepada tanggapan seumpama itu, segala jari menuding ke arah City untuk muncul juara buat kali keempat berturut-turut yang bererti Arsenal akan kecewa lagi tewas dengan jurang dua mata walaupun mereka turut memenangi perlawanan ke-38 dan terakhir itu.
Memang mudah untuk berbicara secara begini tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku. Mungkin penyokong tidak perlu jejak kaki ke stadium jika andaian ini pasti berlaku.
West Ham sudah sah tersingkir daripada slot ke Eropah, bagi musim baru. Apa pun, mereka pasti menyimpan hajat mahu membuat kejutan untuk dikenang sebagai pasukan yang membantutkan hajat besar City pada 2024.

Begitu juga Everton yang sudah selamat kekal dalam kancah saingan EPL untuk musim depan. Seperti West Ham, The Toffees juga mahu menghampakan Arsenal dan akan bermain tanpa sebarang tekanan. Yang tertekan di sini adalah The Gunners.
Ketika City pimpinan Guardiola menghampiri gelaran keenam dalam tempoh tujuh tahun, faktor kompetitif EPL – yang disebut-sebut liga terbaik dunia itu – juga menjadi bahan pertikaian.
Namun, pengendali berbangsa Sepanyol itu menangkis tanggapan seumpama itu bahawa liga Inggeris membosankan dan City mendominasi saingan kerana kuasa wang pemilik kelab dari Abu Dhabi.
“Ia tidak membosankan, ia satu liga yang cukup sukar,” kata Guardiola yang menambah tahap perbelanjaan oleh Manchester United, Arsenal dan Chelsea harus menandingi City.
“Mereka juga berbelanja besar pada lima tahun terakhir seperti mana kami melabur. Mereka juga harus berada di sana. Tapi, mereka tidak ada di sana.”
Sementara itu, David Moyes akan membimbing West Ham buat kali terakhir di Etihad. Mungkinkah dia ada muslihat mahu memerangkap City, malam ini?
“Bola sepak adalah permainan ganjil. Anda tak tahu pada saat mana ia akan memberi peluang untuk menang dan kami akan cuba mengambil kesempatan ini.
“Kami tidak mahu turun bermain melihat Manchester City kalah dan ketika sama kami juga bukan mahu bermain untuk melihat Arsenal menang. Kami bermain untuk West Ham dan mahu cari ilham untuk menang,” kata Moyes.

Arsenal yang muncul naib juara, musim lalu meniti ranjau kali ini dan wajib menang ke atas Everton sambil berharap City gagal mengutip mata penuh andai mahu menamatkan kemarau 20 tahun tanpa gelaran.
Barisan didik Arteta itu mencipta rekod kelab dengan memenangi 27 perlawanan liga, musim ini namun modal ini belum cukup lagi untuk menyingkirkan City daripada takhta.
“Kami harus memberi peluang pada diri untuk menyudahkan satu hari indah pada Ahad (malam ini). Impian itu masih bernyawa dan tidak mustahil ia dicapai,” kata Arteta.
Satu lagi babak pada hari terakhir liga yang bakal mencuri tumpuan penonton global adalah detik perpisahan Jurgen Klopp dengan Liverpool. Ia harus berakhir dengan tangisan di Anfield apabila pengendali berusia 57 tahun itu turun ke gelanggang untuk menceriakan penonton setia buat kali terakhir.
Dia akan membimbing anak didiknya menentang Wolves sebelum melambai ke arah penyokong tegar di setiap sudut gelanggang keramat itu sebagai tanda berterima kasih. Mereka menjadi sebahagian daripada kekuatan dan inspirasi pasukan selama hampir sembilan tahun. Segala-galanya adalah ciptaan Klopp yang berjaya mendekatkan pemain dan penonton sebagai satu keluarga besar sekitar bandaraya pelabuhan itu.
Kita tidak boleh menyebut pemergian Klopp itu mungkin menenggelamkan sedikit cabaran City dan Arsenal. Senario pilu itu mungkin akan amat terasa sekitar di Anfield dan juga di negara lain yang memiliki kelab penyokong Liverpool masing-masing, termasuk Malaysia.
“Saya amat mencintai tempat ini. Saya suka segala-galanya di sini. Saya akan membawa pulang memori bersama saya yang amat menakjubkan. Nilai persahabatan saya dengan semua warga Liverpool juga akan saya membawa bersama,” kata Klopp.

Liverpool seharusnya kekal dalam saingan tiga penjuru sehingga saat ini untuk memburu trofi liga buat kali kedua. Tapi, mereka mengundang masalah atas kealpaan sendiri membazirkan beberapa peluang pada April, khasnya ketika tewas 0-1 kepada Crystal Palace dan 0-2 kepada Everton dalam perlawanan yang dijangka akan dimenangi mereka.
Gambaran awal itu turut tertera selepas tewas kepada musuh tradisi, Manchester United dalam saingan suku akhir, Piala FA pada 17 Mac lalu yang menyaksikan pasukan secara tiba-tiba kehilangan momentum mereka.
Ini satu saat yang harus membuat Klopp dan anak didiknya menyesal membiarkan gelaran terlepas daripada genggaman mereka ketika berada pada prestasi terbaik disebalik deretan masalah kecederaan melanda pasukan.
Apa pun, Liverpool tetap akan menyudahkan cabaran selaku pasukan ketiga terbaik liga tanpa mengira sebarang keputusan daripada perlawanan menentang Wolves.
Pasukan tetangga City, Man United kini berdepan risiko terlepas tiket ke bola sepak Eropah selepas menempuh satu musim yang penuh perit. Skuad bimbingan Erik Ten Hag itu menghuni tangga kelapan dan berpandu kepada prestasi semasa mungkin slot itu akan kekal milik mereka.
Jika berlaku ia adalah kali pertama sejak 1990 The Red Devils itu berada di luar kelompok tujuh teratas.
Sebaliknya, Tottenham Hotspurs dan Chelsea berada pada kedudukan terbaik memintas mereka ke kancah Eropah, musim depan selaku pasukan kelima dan keenam terbaik. Aston Villa yang berada ditangga keempat bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara mengiringi City, Arsenal dan Liverpool.
Peluang terakhir United ke Eropah masih ada jika dapat menewaskan City dalam final Piala FA, minggu depan. Ten Hag memerlukan satu ramuan paling mujarab untuk melakukannya.
Apa pun, cerita paling menarik malam ini adalah gelagat penyokong City dan Arsenal yang pasti sibuk dengan telefon bimbit masing-masing mencari keputusan semasa perlawanan pencabar mereka dari jarak 257 kilometer. Selamat berjaya Guardiola, Arteta. Bola di kaki anda.
MALAM INI
(Nota: semua perlawanan jam 11 malam)
ARSENAL lwn EVERTON
BRENTFORD lwn NEWCASTLE
BRIGHTON lwn MANCHESTER UNITED
BURNLEY lwn NOTTINGHAM
CHELSEA lwn BOURNEMOUTH
CRYSTAL PALACE lwn ASTON VILLA
LIVERPOOL lwn WOLVES
LUTON lwn FULHAM
MANCHESTER CITY lwn WEST HAM
SHEFFIELD UTD lwn TOTTENHAM






Leave a Reply