Oleh: Wartawan ApaKhabarTV

Dalam konteks agama, Islam adalah agama Persekutuan Malaysia. Namun dalam masa yang sama, agama-agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu boleh dipaktikkan dengan aman dan damai. Bulan Ramadan kali ini telah menggalakkan integrasi dan perpaduan kaum dalam kalangan penghuni Kolej Kediaman Pertama (KK1), Universiti Malaya bagi membina hubungan harmoni dan bersatu padu.

Dengan mempraktikkan nilai-nilai universal seperti persaudaraan, toleransi dan menghargai perbezaan, penghuni KK1 diharapkan menjadi duta perpaduan yang memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan negara. Universiti tidak hanya menjadi tempat untuk memperoleh pengetahuan akademik, tetapi juga sebagai medan untuk membina hubungan antara kaum yang kukuh dan mampan.

Umat Islam sememangnya diperintahkan untuk berinterkasi dan membina hubungan baik antara kaum dan penganut agama yang lain kerana Islam mengajar umatnya untuk menghormati perbezaan antara individu, termasuk perbezaan etnik, budaya dan kepercayaan. Al-Quran menyatakan, “Dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal (mengenali dan memahami) antara satu sama lain” (Surah Al-Hujurat, ayat 13). Ini jelas menunjukkan bahawa perbezaan etnik adalah sesuatu yang telah dirancang oleh Allah SWT dan umat Islam perlu menghormati serta memahami perbezaan tersebut.

Jawatankuasa Perkembangan (JKP) Kerohanian dan Perpaduan KK1 telah menganjurkan pelbagai pengisian program yang menggalakkan penglibatan berbilang kaum di KK1 sepanjang bulan Ramadan kali ini. Antaranya pembukaan bazar Ramadan di laman santai KK1, iftar perdana, sahur perdana dan tazkirah yang telah disampaikan oleh Imam Masjid Negara, Ustaz Nadzri Haji Mustakim.

“Penganjuran program-program ini secara langsung dapat mewujudkan perpaduan inter dan intra kaum. Misalnya Hari Kerohanian KK1 yang merupakan majlis berbuka puasa beramai-ramai yang turut dihadiri penghuni dalam mahu pun luar KK1, termasuk dalam kalangan pelajar bukan Muslim,” kata Dr. Abd. Aziz Rekan, Pensyarah Kanan, Program Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam UM yang juga merupakan felo penasihat JKP Kerohanian dan Perpaduan KK1.

Pelajar dari latar belakang budaya yang berbeza ini berinteraksi secara positif, bertukar cerita, memahami tradisi masing-masing, mengurangkan stereotaip dan prasangka, serta berkongsi nilai-nilai asas seperti kasih sayang, kesederhanaan dan kebersamaan. Bahkan nilai-nilai ini turut terpancar menerusi penyertaan penghuni KK1 yang bukan Muslim dalam membantu menghidangkan juadah makanan berbuka puasa. Berdasarkan semangat ini, kesatuan penghuni KK1 telah menunjukkan kejayaan model Malaysia yang mengamalkan sikap terbuka, serta menghormati dan menghargai perbezaan.

Menariknya, ada di kalangan pelajar bukan Muslim yang bukan hanya hadir untuk makan bersama-sama, malah turut berpuasa di sepanjang hari tersebut. “Walaupun saya pernah berpuasa sebelum ini, tetapi hanya tidak makan sahaja. Cubaan puasa kali ini agak mencabar kerana saya berasa dahaga sepanjang hari. Namun saya bersyukur kerana berjaya menjalani puasa penuh sehari dan merasai cabaran berpuasa sebagaimana rakan-rakan Muslim saya,” kata Goh Pei Chung, pelajar berbangsa Cina yang turut mengenakan baju Melayu di majlis berbuka puasa tersebut.

Goh Pei Chung (kanan) ketika berbuka puasa bersama rakan-rakannya di KK1

Keberkatan bulan Ramadan ini juga telah membuka jalan kepada pelbagai pihak menambah amal jariah di KK1. Ramai penyumbang dan penaja yang menjadi tulang belakang kepada kesemua program Ramadan di KK1 termasuklah daripada Bumi Highway Sdn Bhd, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Mahasiswa Melaka Universiti Malaya (MAKMUM), Angkatan Mahasiswa, dan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM). Alrajhi Bank Malaysia (ARBM) dengan kolaborasi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP dan juga Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) dengan kolaborasi Sekretariat Presiden Universiti Malaya (SPKUM) juga telah memberikan sumbangan makanan sahur, juadah berbuka dan moreh. Amal jariah ini secara langsung dapat menggalakkan lagi perpaduan di antara penghuni KK1 dengan pihak luar.

Dengan semangat toleransi dan saling memahami, sambutan bulan Ramadan di KK1 kali ini umpama serampang dua mata yang bukan hanya menjadi waktu untuk beribadah secara spiritual, tetapi juga sebagai teratak perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai program-program kerohanian dan perpaduan di KK1 ini boleh didapati melalui Dr. Abd. Aziz Rekan di abdazizrkn@um.edu.my

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading