
Oleh Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi dan Nik Nurzayumie Che Mat Zailani
KOTA MASAI: Bubur lambuk adalah sejenis hidangan yang sangat popular apabila tiba Ramadan.
Kebiasaanya, ia dimasak secara bergotong-royong lalu dijadikan menu berbuka puasa bersama atau diagihkan kepada masyarakat setempat.
Tidak ingjn melepaskan peluang, barisan pendidik PPKI SMK Kota Masai berganding bahu bergotong-royong memasak bubur lambuk untuk dikongsi bersama murid pendidikan khas.
Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Jamilah Ali berkata program ini termasuk salah satu daripada program Ihya Ramadan yang dianjurkan bersama bagi mewarnai kebersamaan antara guru dan murid di PPKI.
“Program ini bertujuan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan guru dan murid untuk sama-sama kita indahkan Ramadan dengan nilai kebersamaan dan keharmonian serta kasih sayang antara kita semua,” katanya.
Sepanjang Ramadan, PPKI SMK Kota Masai mempersiapkan pelbagai program keagamaan dalam menceritakan keindahan bulan puasa kepada MBPK.
Sumbangan infaq juga disempurnakan bagi meraikan pelajar yang kurang berkemampuan sekali gus memupuk nilai saling berbagi dan berkongsi kemeriahan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Dalam pada itu, program ini berlangsung pada 2 April bersamaan dengan Hari Kesedaran Autisme Sedunia bertemakan ‘Empowering Autistic Voices’ yang mengajak orang ramai untuk fokus pengetahuan, kesedaran dan keberdayaan golongan autisme.
Barisan guru dan murid turut serta memakai baju biru sebagai tanda sokongan kepada golongan autisme dan memberi kesedaran masyarakat untuk saling menghargai dan memahami golongan autisme.
Ramadan adalah bulan yang tepat untuk kita meningkatkan keimanan dan menanam nilai murni yang tinggi termasuk semangat untuk saling berkongsi rezeki dan sifat peduli di antara sesama manusia.
Semoga dengan kehadiran Ramadan akan menjadikan diri kita seorang manusia yang mempunyai nilai empati yang tinggi dan mewujudkan sifat mahmudah dalam diri untuk menjadikan kita seorang manusia yang membawa manfaat kepada orang lain.




Leave a Reply