
BANTUAN makanan yang digugurkan dari udara kepada rakyat Palestin, terutama ketika penduduk Semenanjung Gaza berdepan isu kebuluran menunjukkan sikap Barat yang sekadar melepaskan batuk di tangga.
Mereka juga mengetahui bahawa bantuan makanan yang digugurkan itu tidak akan menyelesaikan masalah penghantaran bantuan kemanusiaan dari jalan darat.
Rejim haram Israel yang menguasai semua pintu keluar masuk ke wilayah Palestin akan melengah-lengahkan kemasukan trak bantuan. Jika dibenarkan sekali pun, rakyat Palestin di Gaza berdepan pula dengan ancaman ditembak oleh askar rejim pengganas seperti yang berlaku pada penghujung Februari lalu, dalam apa yang dikenali sebagai ‘Flour Massacre’.
Barat sebenarnya tidak serius menangani isu kebuluran dan kelangsungan hidup rakyat Palestin ketika genosid sedang berlaku.
Sementara Rafah pula di ambang ancaman baharu setelah Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu meluluskan rancangan serangan ke atas bandar itu.
Kebanyakan bantuan makanan udara akhirnya jatuh ke laut atau di bahagian-bahagian lain di wilayah yang diduduki secara haram oleh Israel.
Laporan agensi berita mengatakan lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas payung terjun gagal berfungsi. Kegagalan itu menyebabkan palet bantuan jatuh di kawasan orang awam kekumpul menunggu bekalan makanan di utara kem pelarian Shati, bandar Semenanjung Gaza.
Pejabat media kerajaan di Gaza yang mengesahkan insiden itu mengecam pengguguran bantuan dari udara yang dianggap sia-sia, sambil menyifatkan ia sekadar propaganda dan bukannya bantuan kemanusiaan.
Mereka turut menggesa bantuan makanan dibenarkan melalui lintasan darat.

Pelapor Khas (mengenai hak untuk mendapatkan makanan) Pejabat Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR), Michael Fakhri berkata bantuan yang dihantar hanya sekadar mengurangkan kelaparan sahaja, tidak dapat menangani isu kekurangan zat makanan dan kebuluran.
Tindakan itu juga, katanya hanya mencetuskan keadaan huru-hara.
“Anda melemparkan bantuan kepada orang yang telah kelaparan kerana anda menafikan akses kemanusiaan. Ini akan mewujudkan ramalan huru-hara boleh berlaku.”
Mengapa dikatakan bantuan yang dilemparkan dari udara itu sekadar melepaskan batuk di tangga? Kerana ia tidak menganggu kepentingan dan keutamaan negara haram Israel dalam strategi genosid, pembersihan etnik dan memadam sejarah serta warisan Palestin.
Rejim Zionis itu juga tidak memperdulikan undang-undang antarabangsa dalam pemberian bantuan kemanusiaan.
Apa yang berlaku bukannya menunjukkan ketidakupayaan Barat atau negara sekutu Israel untuk campur tangan, tetapi mereka dengan sengaja tidak mahu memberikan tekanan kepada rejim Zionis, sebaliknya membiarkan kerajaan pengganas itu terus menyekat bantuan makanan dan kemanusiaan kepada Palestin.
Negara Islam seperti Maghribi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir telah mengguurkan bantuan kemanusiaan kesembilan mereka melalui udara di Semenanjung Gaza pada Sabtu, lapor agensi berita Turkiye, Anadolu.
Operasi bersama itu dilakukan dengan dua pesawat yang membawa 33 tan makanan dan ubat-ubatan, kata “Joint Operations Command” Kementerian Pertahanan UAE dalam hantarannya di halaman X.
Nampak negara-negara Islam akur dan mengikut Barat dalam memberikan bantuan iaitu melalui udara. Negara Barat pula mengikut telunjuk negara haram Israel yang tidak menbenarkan kemasukan trak bantuan melalui jalan darat.
Ini juga bermakna Barat dan negara-negara Islam ini tidak mahu terikat dengan sebarang komitmen secara langsung dengan rakyat Palestin di Gaza.
Sementara itu, pembinaan pelabuhan sementara dicadangkan oleh Presiden AS, Joe Biden kononnya sebagai cara untuk memastikan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laut sampai dengan mudah, juga menimbulkan persoalan.
Apakah objektif sebenarnya sedangkan masalah utama ialah sekatan kemasukan ribuan trak bekalan manusia dari Rafah atau pintu-pintu sempadan lain disekat oleh rejim Zionis Israel.
Persoalannya sejauh manakah kejujuran AS dalam menyalurkan bantuan ke Gaza. Tidakkah ia bertentangan dengan objektif negara haram Israel yang berperang dengan Hamas tanpa sebarang strategi keamanan kerana mereka ingin terus menguasai Gaza dan mengusir rakyat Palestin.
Dalam situasi genosid sedang berlaku dan di ambang serangan ke atas Rafah, agak sukar mengenal pasti di mana pembalasan dendam akan berakhir dan keamanan akan bermula, terutama dalam kalangan anggota Kabinet Netanyahu.
Seperkara lagi pembinaan jeti atau pelabuhan terapung ini ada kaitan dengan pencalonan Biden yang sedang berusaha mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya Presiden bagi penggal kedua.
Ia sebagai meredakan kemarahan ahli Parti Demokratik yang menuduhnya keterlaluan dalam menyokong Israel tanpa mempedulikan kesengsaraan dan penderitaan yang dialami rakyat Palestin di Gaza akibat genosid sehingga membawa kepada masalah kebuluran.
Harus juga diingati, AS menyediakan berbilion-bilion dolar berupa bantuan senjata yang digunakan regim pengganas Zionis untuk membunuh rakyat Palestin sejak 7 Oktober 2023.







Leave a Reply