Oleh: Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Siti Nurmaliya Zakaria

“Sila keluar sekarang!”

“Eh! Saya penat dan baru je balik dari mesyuarat penting, awak buatkan saya air sekarang, saya nak sekarang!”

“Sila hantar kerja-kerja yang saya berikan tanpa sebarang kesalahan yang sama.”

Ketiga-tiga pernyataan di atas menunjukkan dialog untuk sikap yang berbeza-beza iaitu garang, panas baran dan tegas. Perdebatannya adalah di mana perbezaan ketiga-tiga sikap tersebut? Garang adalah cara berdepan dengan kemarahan. Panas baran pula adalah sikap seseorang yang mudah marah dan menunjukkan kemarahannya dengan cepat. Manakala, tegas pula adalah sikap yang menunjukkan kejelasan dan keputusan dalam sesuatu perkara, baik dalam bertindak mahupun dalam menerapkan prinsip hidup. Jika dilihat secara kasarnya, ketiga-tiga sikap ini menciptakan suasana yang tegang, tetapi kunci perbezaannya adalah terletak pada bagaimana ia diaplikasikan dalam sesuatu keadaan tertentu.

Garang merupakan sikap yang ditonjolkan individu melalui perbualan atau penyataan dengan dimensi yang jauh melampaui sekadar kata-kata. Ekspresi garang bukan hanya kata-kata tetapi juga melibatkan tingkah laku yang kasar, suara dengan lonjakan nada yang tinggi, dan kata-kata yang tajam. Kerap kali sikap garang ini akan diiringi tingkah laku yang suka melenting, maki hamun dan tengking-tengking. Garang ini lebih kepada bagaimana seseorang itu berdepan dengan kemarahan tidak hanya melalui ungkapan secara lisan, tetapi juga menonjol dalam bentuk tindakan fizik dan vokal yang tinggi. Ini adalah cara untuk seseorang itu menghadapi kemarahan yang dirasainya seolah-olah seperti terdapat badai melanda yang sukar untuk dikawal dengan baik dan mungkin kehilangan kawalan emosinya dan seterusnya terlibat dalam tingkah laku impulsif yang mencerminkan perasaan yang dialami. Analoginya seperti laut yang bergelora, di mana gelombang kemarahan memenuhi ruangan dan waktu, menciptakan suasana yang tegang dan penuh gejolak.

Di dalam kehidupan seharian, Masyarakat seringkali dihidangkan dengan laporan mengenai perihal rumah tangga tersebar luas di media sosial berpunca daripada individu yang bersifat darah panas. Istilah “darah panas” atau “panas baran” merujuk pada individu yang tiada daya untuk mengawal dan ketidakupayaan menahan emosi apabila sedang marah. Panas baran menunjukkan sifat seseorang yang mudah marah. Sebagai contoh, bila bahu dicuit terus menunjukkan sifat panas baran dan amarah. Baru ditegur oleh individu lain walaupun dengan suara yang lemah lembut, terus hendak tarik muka. Mungkin individu tersebut tidak mengekspresikan dengan tengking dan maki hamun, tetapi dari respon dan reaksinya yang tidak senang dengan keadaan itu. Baru-baru ini, terdapat satu kes seorang penganggur sanggup mencederakan isterinya dengan sebilah pisau. Kejadian ini berpunca daripada sikap suka melenting dan ‘naik tangan’ terhadap pasangan.

Menurut pemerhatian, banyak kes melibatkan kehancuran rumah tangga berpunca daripada sikap panas baran sehingga mampu mencederakan pasangan. Bahkan ada kes yang menyebabkan kematian. Akar permasalahan individu yang bersikap agresif dan panas baran ini sering kali terkait dengan masalah kesihatan mental yang tidak stabil. Kesukaran dalam mengawal emosi dan tekanan hidup dengan baik mungkin menjadi pemicu tingkah laku agresif yang merugikan diri sendiri. Hal ini bukan sahaja mempengaruhi individu tersebut malah juga memberi tempias kepada ahli keluarga dan masyarakat sekitarnya. Perkara yang lepas, masa silam yang tidak selesai contoh dalam kalangan ahli keluarga yang panas baran, anak-anak masa kecil akan meniru perlakuan yang sama disebut sebagai modelling dalam Teori Pembelajaran Tingkahlaku Sosial. Walaupun pada awalnya anak-anak ini berasa takut, tetapi lama kelamaan jadi terikut, dia membesar menjadi individu yang pemarah, memberikan kesan di sekolah dan bila dah berpasangan, ini adalah biasa, ini di panggil vicious cycle, kitaran keganasan iaitu situasi di mana percubaan untuk menyelesaikan satu masalah mewujudkan masalah baru yang membawa kembali kepada situasi asal.

Kalau garang dan pemarah dikategorikan dalam suasana yang negatif, tegas pula membawa maksud yang agak berbeza. Dalam konteks perbandingan di antara sikap garang, pemarah dan tegas, tegas menonjol sebagai satu dimensi yang dapat dilihat dari dua sudut pandang yang berbeza iaitu sebagai positif dan negatif. Pada dasarnya, individu yang tegas adalah individu yang memiliki prinsip hidup dan disiplin yang kuat. Orang yang tegas ini bukan sahaja mempunyai ekspektasi yang tinggi terhadap diri mereka sendiri, tetapi juga kepada orang lain. Malah, individu ini juga sering mengejar kualiti dan ketelitian dalam segala hal. Sebagai contoh, seseorang yang sangat menjaga kebersihan, dia mungkin tidak dapat melihat jika ada sekelumit habuk pun di sekelilingnya. Tapi, tegas itu akan menjadi negatif bila melampaui batas dalam satu-satu perkara. Sebagai contoh, terlalu pembersih akan menjadikan individu tersebut stres dan letih apabila ada orang yang tidak menjaga kebersihan dan individu tersebut mungkin merasakan bahawa dirinya tidak dihormati. Ini adalah contoh tegas yang boleh membawa kepada kemudaratan.

Dalam situasi sebegini, individu tidak dapat beradaptasi dengan perubahan atau mempertimbangkan sudut pandang lain. Tegas yang positif adalah apabila seseorang individu mampu mempertahankan prinsip dan disiplin tetapi tetap fleksibel dan terbuka terhadap perubahan mendadak. Ini dikenali sebagai seni keseimbangan di antara ketegasan dan fleksibiliti dimana seseorang dapat mempertahankan prinsip hidup tanpa menjadi terlalu kaku dan memberi peluang pada diri untuk belajar dan beradaptasi dengan perubahan yang wujud. Tegas yang negatif pula membawa maksud tidak menerima perubahan dan boleh memberikan kesan tidak baik kepada diri iaitu menghadapi stres yang sebenarnya boleh dielakkan.

Menangani akar permasalahan dari ketiga-tiga sikap ini adalah sangat penting dan langkah-langkah yang diambil seharusnya melibatkan pendekatan yang lebih holistik. Intervensi psikologi, sokongan kesihatan mental, atau bantuan daripada pihak sewajarnya seperti kaunselor atau pakar yang lebih profesional sangat diperlukan. Upaya pencegahan juga memegang peranan penting terutamanya dalam hal untuk memberikan pemahaman yang lebih baik tentang keperibadian diri termasuklah tahap kesihatan mental yang dialami dan tidak dilupakan juga kepada keluarga yang turut terkena tempias daripada individu yang bersikap sedemikian. Justeru, teknik 3R dirasakan sangat bermanfaat untuk situasi begini.

Dalam menghadapi situasi ini, teknik 3R (retract, rethink dan respond) dapat menjadi alternatif yang berkesan dalam mengawal perasaan dengan baik. Apabila kita sedar keadaan diri kita, aplikasikan retract iaitu kita berundur seketika daripada perkara yang menjadi punca kepada wujudnya tiga sikap ini. Ini memberi peluang untuk individu tersebut mendapatkan jarak emosi dan menghindari daripada tindakan impulsif. Di dalam masa yang sama, ambil nafas dalam-dalam agar diri menjadi lebih tenang. Amalkan teknik pernafasan yang betul dan ianya sangat membantu dalam kawalan terhadap tekanan. Seterusnya, rethink atau berfikir semula apa isu yang membawa kepada pergolakan emosi dan bagaimana solusi efektif yang boleh diambil. Akhir sekali, respond iaitu membalas atau bertindak dengan lebih waras dan terkawal.

Sentiasa juga amalkan prinsip 90-10, di mana 90 peratus perkara dalam kehidupan yang dialami boleh dikawal oleh setiap individu manakala, hanya 10 peratus sahaja yang berada di luar kawalan kita. Jadi, mengapa perlu memberikan fokus kepada perkara kecil iaitu 10 peratus yang tidak boleh dikawal. Didik diri dan berikan tumpuan pada 90 peratus yang boleh dikawal dan elakkan dari pemikiran negatif yang berterusan. Corak pemikiran perlu dilatih untuk melihat daripada perspektif positif dan seterusnya menghasilkan emosi dan tingkahlaku positif.

Kata lawan kepada garang juga merupakan penyayang. Oleh itu, menjadi tugas kitalah yang perlu memupuk perasaan dengan penuh kelembutan ini dengan lebih mendalam dalam diri kita. Dalam ajaran Islam, “Apabila salah seorang daripada kamu marah, dan ketika itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring” (Hadis riwayat Muslim).

Diharapkan langkah-langkah holistik ini dapat merobohkan tembok yang memisahkan individu daripada sikap garang, panas baran dan tegas yang melampau. Sekaligus memutuskan ‘vicious cycle’ yang mengundang bahaya kepada generasi akan datang.

Azmawaty
Nurmaliya

Dr. Azmawaty adalah seorang kaunselor berdaftar dan Timbalan Dekan Ijazah Dasar, manakala Siti Nurmaliya adalah calon Sarjana Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Mereka boleh dihubungi di azy_mn@um.edu.my

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading