
JUMAAT datang lagi. Adalah dirasakan kedatangan Jumaat amat cepat sekali. Setiap kali selepas Rabu, bayangan Jumaat akan menjelma. Teringat saya kepada satu kisah mengenai solat Jumaat yang ingin dikongsi bersama.
Ia juga bertujuan mengingatkan diri saya dan memperkasakan pembaca dengan ilmu ketika berhadapan dengan alam siber. Beberapa minggu lepas, selepas menunaikan solat sunat sebelum mendengar khutbah Jumaat, secara tidak sengaja saya terpandang makmun di sebelah kanan saya yang berada dalam keadaan sangat “tawaduk”.
Apa yang saya maksudkan di sini ialah beliau seperti berada dalam keadaan halusinasi, tenggelam dalam dunia siber. Bukan tujuan untuk menyibuk, tetapi ketika imam hendak menyampai khutbah, imam mengingatkan makmum supaya beri tumpuan kepada bacaan khutbah dengan tidak berbual atau melayari media sosial.
Walaupun ada makmum dalam keadaan mengantuk atau tidak berminat untuk mendengar khutbah dengan fikiran melayang ke tempat lain, sekurang-kurangnya hormatlah dengan sang imam yang membaca khutbah di depan.
Makmum sebelah saya ini tenggelam dalam ruang siber telefon bimbit, malah menganggu tumpuan kepada bacaan khutbah yang ingin saya dengari. Oleh kerana tumpuan saya telah diganggu ia membawa mata saya mencuri pandang untuk melihat apa yang dibacanya.
Tetapi tidak dapat kerana jika saya memanjangkan leher akan menyebabkan makmum terperasan dan dikatakan saya menyibuk pula.
Daripada mula bersila dalam masjid di saf ke sepuluh menghadap imam yang sedang membaca khutbah sehingga hendak solat matanya tertumpu kepada telefon bimbit. Entah apa yang dibaca seolah-olah dia tidak berada di masjid.
Diri fizikalnya sahaja yang hadir sedangkan otak, jiwa dan hati jatuh dan larut ke dalam skrin telefon bimbit. Ketika saya mendengar khutbah fikiran saya masih memikirkan apa yang lebih utama pada waktu khutbah itu sehingga beliau “scroll” atas bawah telefon bimbit. Dia saya dapati tidak pun menghantar mesej di Whatsapp.
Saya masih berfikiran positif mungkin ada perkara kecemasan dan terdesak untuk mendapat maklumat dengan segera. Harapan saya agar tidaklah menjadi tabiat kerana saya juga pernah melihat beberapa jemaah menumpu kepada telefon bimbit ketika imam membaca khutbah.
Selepas solat Jumaat saya masih memikirkan bagaimana larutnya makmum tersebut dalam ruang siber.
Daripada sekelumit kisah ini dan banyak kisah lain seperti melarikan diri masuk di ruang siber ketika di meja makan umpamanya (kurang sembang secara bersemuka), tanpa disedari kita telah meninggalkan dunia realiti di belakang.
Tidak keterlaluan jika dikatakan kita telah meninggalkan kehadiran kita dalam masjid sebagai seorang makmum di mana perasaan seseorang jemaah dalam suasana kemuliaan itu telah dibongkar, dihancurkan dan lebih buruk “dibunuh”.
Saya ingin menerokanya secara filosofis.
Apa maksudnya di sini, dengan niat beriktikaf di masjid tanpa kita disedari telah bertukar menjadi iktikaf di ruang siber telefon bimbit.
Realiti keberadaan di masjid tersebut telah “mati”, itu yang saya tulis “dibunuh” dan dihancurkan kerana realiti itu sekarang bersifat virtual atau maya, realiti ruang siber atau dalam bahasa Inggerisnya ialah ‘cyberspace’.
Sedarkah kita bahawa setiap kali kita melayari ruang siber, kita mula melangkah ke dalam “gerbang menjangkau realiti” sebuah ruang yang “melampaui realiti”, sebuah dunia yang batas-batas antara “realiti” dan “bukan realiti” (seperti disebut di atas, halusinasi, atau pun ilusi dan fantasi) telah lenyap.
Ia berlaku apabila kita memasuki ruang siber dalam wahana telefon bimbit, komputer riba atau IPad. Realitu siber tidak boleh dipegang secara fizikal bagaikan sesebuah objek, tetapi disentuhi melalui deria sentuh di papan kekunci. Ia dapat dirasai dalam sanubari, hati, jiwa, roh dan akal.
Ia digerakkan oleh akal. Ia adalah visual boleh menciptakan pelbagai situasi dan realiti. Ia menciptakan pelbagai realiti tidak boleh kita ciptakan dan garapi di dunia fizikal. Inilah yang saya maksud melampaui atau menjangkaui realiti fizikal.
Apabila kita memasuki dunia ini, realiti fizikal hanyalah tinggal keping-kepingan sahaja.
Keping-kepingan realiti ini maksudnya, kita hadir tetapi khutbah yang didengari itu tidak hadir semutlaknya, suasana dan kekudusan masjid tidak masuk ke hati dan jiwa, tiada perasaan kerohanian dan realiti masjid itu sekadar kepingan iaitu cebis-cebisan sahaja
di mana tonggak realiti hakiki telah bersemayam dalam ruang siber.
Kita hanya sedar kembali ke realiti fizikal masjid selepas imam tamat membaca khutbah, berdoa dan bilal membacakan qamat.
Agak membimbangkan apabila kehadiran Tuhan tidak sepenuhnya dalam diri kita disebabkan oleh pengaruh teknologi, Internet, ruang siber dan sekarang Kecerdasan Buatan atau AI.
Adakah kita menguasai teknologi atau teknologi menguasai kita? Lebih pelik lagi manusia mencipta teknologi, akhirnya teknologi mencipta manusia.
Dalam mengaitkan dengan perkara di atas, saya teringat kepada seorang cendekiawan semiotika Indonesia bernama Yasraf Amir Piliang dalam bukunya ‘Dunia Yang Berlari’ yang berkata terdapat tiga fasa dalam merujuk kepada tenggelamnya manusia ke ruang siber.
Fasa pertama, adalah teosofi ketika dunia dipenuhi oleh simbol-simbol kehadiran Tuhan yang dapat diperhatikan dalam alam yang diciptakanNya dengan wahana kitab al-Quran dan hadis Nabi SAW.
Ini adalah fasa ketika terdapat bingkai ketuhanan yang membatasi setiap gerak geri, hasrat dan nafsu manusia melalui hukum halal, haram, mubah dan sunat contohnya.
Fasa kedua, teknosofi ketika kehadiran Tuhan ditandingi oleh kehadiran teknologi yang secara tidak sedar telah membuat manusia lupa atau lalai akan kehadiran Tuhan.
Dalam hubungan ini saya megaitkan fasa ini di mana teknologi menciptakan manusia. Inilah yang berlaku pada kisah di masjidketika khutbah Jumaat itu.
Menurut Yasraf dalam dunia siber, Tuhan seolah-olah tidak hadir lagi apabila sains dan teknologi telah mengambil alih, membuat manusia lupa dan tidak sedar akan kehadiran Ilahi.
Teknologi tamadun Barat telah membuat manusia melupakan Tuhan sebagai pencipta alam ini.
Fasa ketiga adalah yang paling bahaya dan sedang berlaku iaitu Libidosofi ketika dunia telah dikuasai sepenuhnya oleh idea, gagasan, citra, dan objek yang merupakan refleksi daripada nafsu dan hasrat.
Ketika jiwa atau nafsu dan hasrat mengalir tanpa batas sehingga sampai kepada satu titik manusia tidak merasai dan berfikir bahawa idea penciptaan teknologi, AI, digital, Internet dan ruang siber datangnya dari Tuhan, dan mereka sudah tidak memerlukan Tuhan kerana sepenuhnya dikuasai oleh nafsu manusia.
Ketika itu teknologi menjadi ruang pelepasan nafsu dan hasrat manusia.
Menurut Yasraf inilah fasa dunia kehadiran teknologi sepenuhnya dalam sebuah dunia dikuasai maklumat, penampakan digital, sebuah dunia yang meraikan teknologi daripada kerohanian, kemuliaan, kesucian dan kekudusan.
Sekelumit kisah di masjid yang menunjukkan kekuasaan teknologi yang menguasai manusia dan di sini bermulanya robotik dalam diri manusia.
Penulis adalah pembaca Apa Khabar TV






Leave a Reply