Oleh Tuan Husna binti Tuan Hussin
SIAPA sangka kehidupan di sebalik tirai besi memberi satu sinar yang baharu buat penghuni penjara, terutama bagi calon yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dalam usaha memberi sokongan dan semangat baharu kepada penghuni penjara, Bahagian Korporat dan Komunikasi (BKK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif dan mengorak langkah yang lebih padu dengan menganjurkan program Restu Ilmu SPM 2023 melalui kerjasama Jabatan Penjara Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah Kluang dan Sekolah Integriti Kluang, Johor.
Program yang dianjurkan oleh Exco Latihan Pembangunan dan Sahsiah Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), UPSI ini adalah salah satu inisiatif bagi memberi suntikan motivasi dan semangat buat pelajar di Sekolah Integriti Kluang, Johor.

Pada dasarnya, sekolah ini ditubuhkan pada 2008 dengan menekankan kepentingan pendidikan kepada penghuni muda tirai besi di Penjara Kluang ini yang kini berjumlah 32 orang. Mereka telah melalui sesi pengajaran dan pembelajaran bersama guru-guru yang profesional.
Program Restu Ilmu bukan sekadar memberikan dorongan untuk calon SPM, malah turut mengeratkan hubungan dan memberi pengalaman bersua muka antara ibu bapa dan pelajar.
Hadir sama ialah Komandan Sekolah Integriti Kluang, Muhamad Saifullah Adnan mewakili Pengarah Penjara Kluang; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kluang), Ali @ Zainalabidin Syed Abidin; Felo Pusat Transformasi Komuniti Universiti, UPSI, Dr Omar Firdaus Mohd Said; Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr Haji Che Anuar Che Abdullah dan Felo Penasihat Program, Norrulkamari Daud.
Dr Omar dalam ucapan perasmiannya menzahirkan ucapan penghargaan kepada Jabatan Penjara Kluang yang memberikan komitment sangat baik dalam menjayakan program bersama pelajar-pelajar di Sekolah Integriti.
Beliau berharap pelajar di sekolah ini dapat meneruskan kehidupan baharu dengan pengalaman lalu dijadikan pedoman untuk membina kehidupan yang lebih baik kelak.
Kesilapan lalu wajar dijadikan iktibar, diingati tetapi jangan sesekali diulangi, katanya.
Program bermula dengan slot kerohanian iaitu bacaan Yasin, solat hajat dan solat Dhuha bersama pelajar-pelajar tirai besi bagi mencari keberkatan buat calon SPM yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
Slot motivasi yang disampaikan oleh Dr Haji Che Anuar. Melalui slot ini, banyak pesanan dan motivasi yang diberikan kepada pelajar tirai besi agar lebih maju dengan melepaskan pengalaman lalu dan membina kehidupan baharu bagi mencipta kebahagiaan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Slot kemuncak iaitu memohon restu pelajar bersama ibu bapa mereka. Turut juga diselitkan dengan slot pemberian kad ucapan waris kepada pelajar dan juga lafaz ucapan dan coretan daripada pelajar kepada ibu bapa yang hadir.
Slot ini mampu mencetuskan keinsafan, sedih, pilu dan terharu buat yang hadir, terutama pelajar tirai besi yang mana dicuitkan dengan ucapan ibu bapa sebesar manapun kesilapan yang dilakukan, kasih dan sayang ibu bapa tiada putusnya buat anak-anak mereka.
Harapan daripada ibu bapa agar anak-anak mereka ini tidak mengulangi lagi kesilapan yang lalu.
Program diteruskan lagi dengan slot penyampaian beberapa Anugerah Khas kepada pihak UPSI kepada mereka dan juga modul 3M (menulis, membaca dan mengira) serta sumbangan set alat tulis kepada calon yang mengambil SPM.

Pengarah Program merangkap Exco Latihan Pembangunan dan Sahsiah, Shamir Zulkifli berkata:
“Program ini bertujuan memberi motivasi kepada pelajar dan semangat kepada mereka yang bakal menduduki peperiksaan penting.
“Kami mengharapkan program ini dapat sedikit sebanyak menyuntik semangat baharu kepada pelajar-pelajar di Sekolah Integriti untuk terus berusaha belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang”.
Pelajar di Sekolah Integriti Kluang ini mempunyai azam yang kuat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan kecekalan mereka boleh dicontohi oleh semua mahasiswa universiti.
Inspirasi dan motivasi yang didapati sekeliling telah mengajarkan bahawa masing-masing dapat merasai kecemerlangan dan kejayaan selagi ia berusaha ke arah kebaikan.
Program penutup berakhir dengan persembahan pelajar tirai besi yang menyanyikan lagu Oh Ibu dan juga lagu Ayah ditujukan khas kepada ibu bapa yang hadir.
Dengan maksud yang tersirat dalam lagu tersebut mampu memberi sejuta makna dan keinsafan kepada yang hadir, lebih-lebih lagi menyelami kehidupan mereka di tirai besi namun semangat ini mampu memberi sinar baharu buat mereka setelah keluar dari penjara kelak.
Segala gambar sewaktu pelaksanaan program di dalam penjara tidak dapat dikongsikan kerana terlalu sulit dan tidak dibenarkan oleh pihak penjara.






Leave a Reply