“Kami perlukan al-Quran, muqadam, kitab dan peralatan belajar…”

DEMIKIAN, rata-rata diberitahu oleh pengetua dan pelajar sekolah agama di Narathiwat; Yala; dan Pattani setelah banjir besar melanda tiga wilayah di Selatan Thailand itu, pada 25 dan 26 Disember lalu, surut.

Banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun dan di sesetengah tempat dikatakan 100 tahun menyebabkan puluhan ribu penduduk berdepan dugaan besar, apabila rumah sesetengah daripada mereka hanyut dibawa arus.

Narathiwat dan Yala – wilayah bersempadan dengan Malaysia dan paling banyak kawasan berbukit – paling teruk terjejas susulan hujan lebat tanpa henti selama tiga hari berturut-turut.

Ribuan naskhah al-Quran, muqaddam dan kitab pengajian Islam musnah dalam banjir yang melanda wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani pada hujung Disember 2023 lalu.

Selain ratusan rumah hanyut, beberapa pusat pengajian (pondok) serta sekolah agama di dua wilayah itu dinaiki air hingga ke paras bumbung.

Ketika banjir itu juga tular beberapa keping gambar menunjukkan pelajar perempuan sebuah sekolah agama di wilayah Yala terpaksa berlindung di atas bumbung sambil menunggu pasukan penyelamat tiba.

Di wilayah Narathiwat sahaja, pihak berkuasa melaporkan hujan lebat sejak 22 Disember hingga 25 Disember menyebabkan banjir besar di 13 daerah, 68 sub-daerah, 420 kampung, yang melibatkan lebih 30,100 rumah, 110,545 mangsa, 254 sekolah, termasuk sekolah agama dan pondok pengajian, dan lebih 20 masjid.

Di wilayah Yala pula, setelah banjir mulai surut, Pusat Arahan Banjir, Ribut dan Tanah Runtuh Wilayah Yala telah meringkaskan maklumat situasi banjir setakat 1 Januari 2024, di mana kawasan terlibat membabitkan 7 daerah (kecuali Betong), 52 mukim, 300 kampung, 24 komuniti, lebih 21,190 rumah terjejas, dengan lebih 80,710 mangsa dan kira-kira 70 masjid.

Pasca banjir
Apa Khabar TV mengambil inisiatif dengan mengumpul bantuan awal kepada mangsa banjir di Narathiwat dan Yala. Beberapa individu turut menyumbang pakaian dan wang untuk membeli keperluan harian bagi kegunaan mangsa banjir.

Timbalan Pengarang Apa Khabar TV, Razali Zakaria mewakili individu berkenaan melawat beberapa kawasan yang paling teruk dilanda banjir untuk menyampaikan bantuan.

Antara sumbangan yang diberikan ialah air mineral, beras, kain batik, kain pelikat, telekung, sejadah, tikar, pinggan mangkuk, wang tunai, dan 60 naskhah al-Quran.

Sumbangan diberikan kepada dua sekolah agama di Narathiwat dan Yala yang ditenggelami banjir, serta penduduk kampung selain kepada empat anak yatim piatu yang rumah mereka musnah dilanda banjir.

Ketika menyerahkan bantuan kepada Sekolah Agama Al-Ulum Addiniyah, Chaklum di daerah Range, Narathiwat, Apa Khabar TV dimaklumkan bahawa pelajar iaitu seramai kira-kira 80 orang memerlukan al-Quran dan kitab-kitab pengajian, termasuk Kitab Kerukunan (Iman), dan Qiraat.

Sumbangan berupa pakaian terpakai turut diberikan.

Rumah penduduk yang hanyut akibat banjir besar di Yala, akhir Disember lalu.

Sekolah itu yang turut dikenali sebagai Pondok Jeneris menempatkan 40 pelajar lelaki dan 40 pelajar perempuan berusia 18 tahun ke atas.

Namun, ketika wakil Apa Khabar TV hadir, hanya ada beberapa pelajar perempuan sahaja yang kini berlindung di rumah pengetua sekolah, setelah pondok mereka musnah dan hanyut di bawa arus banjir.

Amirah Azmi, 21 tahun, yang baharu setahun belajar di pondok itu berkata kebanyakan peralatan belajar tidak sempat diselamatkan kerana air naik terlalu cepat pada waktu malam.

“Kami hanya sempat menyelamatkan diri. Semua peralatan, termasuk pakaian, tidak sepat diselamatkan.

“Kami perlukan al-Quran, kitab-kitab tertentu selain peralatan untuk belajar. Kebanyakannya musnah atau hanyut dibawa arus banjir,” katanya kepada Apa Khabar TV.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Maahad Islamiyah, Mukim Balo, Raman, Yala, Ahmad Royani Haji Abdullah, redho dengan apa yang menimpa pusat pengajian itu.

“Semua yang berlaku ini adalah kuasa Allah SWT. Kita harus menerimanya kerana ada hikmah di sebalik kejadian banjir ini. Molek tak molek pun kuasa Allah. Ini sebagai satu ujian. Kita terima dan bersyukur kepada Allah.”

Sekolah Maahad Islamiyah itu mempunyai kira-kira 1,000 pelajar berusia empat tahun hingga 18 tahun yang belajar setiap hari.

“Syukur dan terima kasih juga kepada masyarakat Islam, termasuk dari Malaysia, yang turut memberi bantuan. Ada yang datang ziarah beri bantuan. Jutaan terima kasih kepada saudara-saudara kita.

“Terdapat 100 pelajar yang tinggal di asrama dan pondok yang diperbuat daripada kayu. Kira-kira 80 peratus pelajar di sini adalah perempuan. Jumlah pondok yang hanyut ada sembilan buah,” katanya sambil menjelaskan kerugian dianggarkan lebih RM200,000.

Timbalan Pengarang Apa Khabar TV, Razali Zakaria menemubual Pengetua Sekolah Maahad Islamiyah, Mukim Balo, Raman, Yala, Ahmad Royani Haji Abdullah.

Ahmad Royani berkata sebahagian besar al-Quran dan kitab pengajian musnah dan hanyut dalam banjir baru-baru ini.

“Kami mengalu-alukan bantuan, terutamanya peralatan belajar, daripada semua saudara-saudara kita baik di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Susulan banjir besar yang memusnahkan pondok yang diperbuat daripada kayu itu, Ahmad Royani berkata pihaknya kini bercadang mendirikan bangunan asrama.

“Kita rancang bina bangunan simen… pondok kayu tak boleh.. nanti hanyut pula kalau banjir lagi,” katanya.

Apa Khabar TV dimaklumkan penduduk, sekolah agama dan masjid di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani memerlukan lebih 1,000 naskhah al-Quran dan muqaddam (untuk kanak-kanak tadika).

Mana-mana pihak yang ingin memberikan sumbangan, terutama a-Quran boleh menghubungi (WhatsApp) penulis di nombor telefon +6 012 280 5590 atau e-mel razalezakaria@gmail.com.

One thought on ““Kami perlukan al-Quran, muqadam, kitab dan peralatan belajar…”

Leave a Reply