
MAHKAMAH Keadilan Antarabangsa (ICJ) membuka perbicaraan kes Afrika Selatan yang menuntut penggantungan operasi ketenteraan di Gaza di mana ia mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
ICJ mendengar hujah Afrika Selatan dan gerak balas Israel tehadap dakwaan tersebut.
Dalam pemfailan mahkamahnya, Afrika Selatan juga menyebut kegagalan Israel untuk menyediakan makanan, air, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan penting lain kepada kawasan Palestin.
Badan kehakiman itu dijangka membuat keputusan mengenai langkah kecemasan akhir bulan ini.
Bagaimanapun, mahkamah tidak akan membuat keputusan pada waktu terdekat ini mengenai dakwaan pembunuhan beramai-ramai, malah, prosiding itu boleh mengambil masa bertahun-tahun.
Apa yang penting daripada perbicaraan ini untuk masyarakat dunia saksikan ialah kegagalan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) menghentikan genosid Israel seperti yang termaktub dalam Konvensi Genosid.
Lebih buruk AS dan kerajaan-kerajaan Eropah menyokong genosid yang sedang dilakukan regim pengganas Israel dan bersubahat dengan memberikan bantuan, antaranya kewangan, senjata dan dukungan diplomatik.
Dukungan ini diperkukuhkan lagi dengan sokongan tidak berbelah-bahagi media Barat dalam liputan terpilih ke atas segala kekejaman dan pembinasaan yang dilakukan oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) dalam pembunuhan ke atas penduduk Gaza.
Dengan peningkatan jumlah kematian kepada 23,000 nyawa orang awam Palestin di Gaza, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, moral dan perjuangan hak asasi Barat dipertaruhkan dan dinilai dalam perbicaraan di ICJ.
Ini kerana segala tindakan kekejaman dan kebinatangan yang kita baca, tonton dan saksikan bukan sahaja telah dinormalisasi, dijustifikasi juga diraikan oleh media Barat dan penganalisis politik dan ketenteraan mereka.
Di bawah Konvensi Genosid segala kejadian genosid yang dilakukan adalah suatu kesalahan jenayah dan tindakan harus diambil oleh ICJ dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas negara yang melakukannya.
Namun, walaupun kebenaran di depan mata, laporan media arus perdana Barat sudah mencapai tahap pemujaan ke atas Israel sebagai tok guru mereka. Segala pemberitaan mereka tidak lagi objektif dan kritikal, malah tidak diperdulikan dan dipersetankan.
Di sebalik dukungan dan sokongan sepenuhnya media arus perdana Barat, mereka tidak sedar bahawa moral dan kemanusiaan mereka sedang diperhati dan dinilai bahkan menjadi kes di ICJ.
Penjajahan ke atas Palestin yang dilakukan oleh regim haram Israel dengan dukungan kukuh sahabat dunia akhirat – AS dan Britain – sejak peristiwa Nakhba pada 1948 harus menjadi keprihatinan dunia sekarang.
Presiden pertama Afrika Selatan, Nelson Mandela pernah berkata pembebasan Afrika Selatan daripada apartheid tidak sempurna tanpa pembebasan Palestin.
Usaha melindungi Israel oleh AS, Britain dan negara kuasa Barat daripada tindakan undang-undang akan membawa kehilangan kompas moral Barat yang tidak lagi boleh dijadikan panduan ketamadunan.
Bahkan sebelum serangan 7 Oktober 2023, regim pengganas Zionis telah melanggar 30 resolusi PBB, begitu juga dengan Konvensi Geneva Kempat – berhubung dengan pembinaan penempatan haram.
Tindakan genosid yang sedang dilakukan, sesuatu yang di luar sifat seorang insan dan manusiawi bahkan mengatasi sifat kebinatangan yang buas sekalipun memperlihatkan hipokrasi nilai liberal dan kemanusiaan Barat.
Kejahatan mereka berselindung di sebalik prinsip moral, kebebasan, demokrasi dan liberal yang mereka perjuangkan itu.
Mereka akan membingkaikan segala prinsip dan nilai yang konon mereka perjuangkan kepada fokus keganasan, ektremis, mempertahankan penduduk Israel daripada penganiayaan Hamas dan negara haram dizalimi dan menggunakan fakta-fakta keagamaan mereka seperti Islamophobia yang semakin meningkat di negara Barat sekarang.
Kes pembicaraan ICJ ini bukan sahaja ke atas genosid regim haram terhadap penduduk Palestin di Gaza tetapi menilai moral dan kemanusiaan Barat itu sendiri yang sekarang menjadi taruhan!
Segala pembunuhan dan kekejaman yang mereka lakukan sejak zaman penjajahan dan apa yang berlaku ke atas Iraq, Libya, Afghanistan ternyata bersifat rasis, genosid, pembunuhan etnik dan perosakan dan pemusnahan budaya negara ditakluk dan dijajahi.
Kes perbicaraan ICJ seharusnya menjadi episod penting kepada pembukaan era tamadun baharu keinsanan manusia.
Penulis adalah pembaca Apa Khabar TV dan pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa.
Klik gambar bawah untuk membaca dokumen tuntutan Afrika Selatan terhadap Israel.






Leave a Reply