
KUALA Lumpur kembali menjadi fokus dalam kalendar sukan antarabangsa, selang sebulan selepas berakhirnya kejohanan hoki Piala Dunia Remaja di Bukit Jalil.
Kini, kancah saingan badminton Terbuka Malaysia-PETRONAS bakal menarik tumpuan di lokasi sama di Axiata Arena – antara gelanggang utama di KL Sports City – yang menyaksikan buruan tiket ke Sukan Olimpik 2024 di Paris bermula, termasuk untuk pemain utama negara kita.
Sejak beberapa bulan lalu, bicara pemerhati dan pengkritik sukan tanah air berpusat kepada temasya terbesar dunia itu dan detik itu sudah semakin hampir ketika hanya berbaki tujuh bulan lagi.

Tirai Jelajah Dunia Super 1000 itu bakal disingkap pada 9 Januari ini ketika pemain dari lebih 15 negara akan cuba mendapatkan mata maksimum untuk menguatkan kelayakan mereka hadir di Paris.
Mereka harus berada pada tahap prestasi terbaik bagi kejohanan ini yang menawarkan hadiah keseluruhan US$1.3 juta (kira-kira RM4 juta).
Apakah pemain yang menguasai pentas saingan pada 2023 seperti Viktor Axelson (Denmark), An Se Young (Korea Selatan), Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dan Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong (China) akan menyambung rentak garang masing-masing mendominasi kejohanan siri jelajah ini dalam beberapa bulan yang berikut.
Atau pun apakah ‘faktor tekanan’ untuk mempertahankan status elit itu bakal melihat cabaran mereka goyah yang mungkin memberi ruang kepada pencabar lain untuk tampil merapatkan jurang pungutan mata.
Suku pertama tahun ini akan menentukan secara efektif kelayakan pemain ke Sukan Olimpik dan jelas Terbuka Malaysia dijangka menjadi medan percakaran sengit di kalangan pemain dalam lima acara bakal dipertandingkan – perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki, wanita dan beregu campuran.

Apa yang harus berlegar dalam minda peminat tegar badminton negara ketika ini adalah siapa di antara pemain idola mereka yang bakal naik ke podium untuk bergelar juara.
Kali terakhir kita menikmati detik gemilang adalah apabila Datuk Lee Chong Wei muncul juara perseorangan pada 2018 menewaskan Kento Momata dari Jepun 21-17, 23-21.
Terbuka Malaysia dibatalkan pada 2020 dan 2021 gara-gara wabak Covid-19.
Andai berpandu kepada prestasi semasa pada enam bulan terakhir, peluang kita lebih terarah kepada kelibat pakar beregu lelaki negara – Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang menjadi pilihan ketiga pada kejohanan pembuka tirai Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Persembahan padu serta kemampuan untuk menyerlah pada pentas kejohanan terbesar menjadikan mereka pilihan kita untuk mengintai peluang kejuaraan.
Mereka juga akan hadir dengan misi mahu menebus detik kecewa pada kejohanan sama, tahun lalu selepas tersingkir di pusingan ke-16 apabila tewas kepada pasangan China, Liu Yu Chen- Ou Xuan Ti.
Kejayaan memenangi gelaran Jelajah Dunia pertama dalam Terbuka Denmark pada Oktober lalu harus memberi satu rangsangan kepada beregu utama negara untuk memburu satu lagi koleksi trofi di bumi sendiri.
Cuma mereka ada masalah mengekalkan rentak konsisten dalam permainan – sesuatu yang turut menghantui pemain utama negara kita yang lain.
Mungkin akan ada kejutan daripada pemain negara lain yang mampu menyerlah di tempat sendiri dengan bekalan sorakan padu penyokong.

Siapa mereka itu? Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong dalam acara perseorangan lelaki. Seluruh rakyat Malaysia akan berbangga jika mereka dapat melakukan satu kejutan besar.
Namun, di sini erti realiti juga tidak dapat diketepikan kerana bakal dihimpit kuat oleh ramai pemain ternama, termasuk juara dunia, Vitidsarn Kunlavut dari Thailand, Axelson (Denmark), Li Shi Feng (China), Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia) dan Naraoka Kodai (Jepun).
Kecuali Tze Yong yang sudah menunjukkan selera besar mahu layak ke Olimpik dengan persembahan konsisten sepanjang 2023, Zii Jia belum lagi menampilkan perwatakan yang menjanjikan satu harapan di tahun baru.
Pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, pilihan ke-12 dunia, juga antara prospek
yang boleh dipertaruhkan harapan tetapi mereka berdepan ranjau perit ketika ada limpahan pasangan beregu wanita terbaik dunia yang berada satu kelas di hadapan mereka.
Pasangan dari China, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia, umpamanya kekal menjadi antara pilihan untuk menjulang trofi kejuaraan di Bukit Jalil, melainkan pasangan nombor satu negara kita dapat menjelmakan aksi luar biasa kali ini.
Kita juga meragui tahap fizikal serta stamina kedua-dua pemain ini yang ada kalanya ‘agak lemah’ jika dibandingkan dengan pencabar ternama lain. Namun, tidak dinafikan, mereka satu pasangan muda yang cukup rajin dan komited dalam persembahan mereka. Pearly-Thinaah tetap akan menjadi idola peminat tempatan di laman sendiri.
Tumpuan juga akan terarah kepada kelibat beregu campuran kita, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Pasangan ranking ke-10 dunia ini mampu membuat kejutan jika dapat menyambung prestasi terpuji dipamerkan sepanjang tahun lalu.
Mungkin kata-kata oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, baru-baru juga harus melontarkan cabaran kepada pemain negara untuk membuktikan sesuatu sama ada mereka sudah meningkatkan kemajuan bagi menyahut cabaran musim 2024.

Bekas juara dunia dan Olimpik itu meminta anak didiknya untuk mengamalkan mentaliti tinggi untuk menang dan mengecapi kejayaan lebih besar dalam dunia badminton.
Rexy mahu pemain untuk memburu impian besar menjadi juara – bukan bersifat kurang yakin pada diri dan tidak berani mengharungi halangan besar depan mereka.
“Jika bukan kerana mentaliti kuat, saya mungkin tidak menjadi juara dunia atau Olimpik,” katanya yang membentuk gandingan digeruni lawan bersama Ricky Subagja pada era 90-an.
“Masalah di sini, pemain kita agak selesa, tidak berani letak sasaran dan ada sifat takut-takut. Apabila ditanya mereka akan berkata mahu pecah masuk dalam kelompok 32 atau 20 teratas dunia.
“Saya terima sasaran seumpama itu. Tapi apa pula selepas itu? Kekal statik dan selesa beraksi dalam kejohanan Super 500 dan ke atas,” tanya supremo badminton itu.
Harap-harap kata-kata Rexy yang ‘agak pedas’ tapi penuh realiti itu dapat menyerap segera ke dalam minda pemain tonggak negara apabila menjejak ke gelanggang di Axiata Arena nanti.






Leave a Reply