
BARU-BARU ini saya mengunjungi sebuah pusat beli-belah baharu – TRX Mall. Pusat beli-belah baharu ini tentu akan menjadi daya tarikan pengunjung di bandar raya metropolitan Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi dengan tarikan taman di tingkat atasnya.
Ia akan memberi kelebihan dan saingan kepada pusat beli-belah mega lain seperti Pavilion, Lala Pot, KLCC, IOI Mall dan seumpamanya.
Jika tidak silap saya bandar raya Kuala Lumpur dan sekitarnya sudah memiliki puluhan pusat beli-belah, kecil dan besar dan pelbagai jenama barangan yang dijual lebih kurang sama sahaja.
Bagi saya jika diteliti pusat-pusat beli-belah ini telah berkembang menjadi pusat pembentukan gaya hidup. Ia bagaikan ‘Kaabah’ kepengunaan tempat manusia mengelilinginya, window shopping, cuci mata dan makan-makan di sana.
‘Kaabah’ membeli-belah ini membuat manusia menumpukan dan merasionalisasi waktu dan kegiatan masyarakat sehingga menjadi pusat kegiatan sosial hujung minggu, akulturasi bahkan kepada menilai perwujudan diri.
Pada masa yang sama pusat beli-belah tidak lagi sekadar tempat untuk transaksi barang dan perkhidmatan, tetapi berperanan penting sebagai cermin pengwajahan masyarakat urban.
Saya berjalan-jalan mengelilingi TRX Mall memerhatikan manusia yang berjalan-jalan mundar-mandir, singgah di galeri-galeri pilihan mereka. Pelbagai gaya, fesyen dan rona dipertontonkan mempamerkan tubuh dengan gaya tersendiri.
Ada yang bersama keluarga, berteman, berseorangan dan dalam kumpulan berceria, berhibur, memandang, memerhati dan membisu.
Ia menjadi tempat setiap orang menjiwai gaya hidupnya (life style), tempat orang mencari identitinya. Ia seakan-akan menjadi tempat ‘suci’ yang dikunjungi, terutama pada hujung minggu, sebuah avatar; tempat setiap orang mencari tuhan-tuhan artifisial, roh-roh digitalnya, dan tidak lupa setan-setan fizikal dan virtual.
Sama ada kita sedar atau tidak, kita teliti atau tidak kita sedang berhadapan dengan situasi pencemaran budi dan jiwa, di mana yang menjadi fokus ialah tubuh. Ini saya amati ketika berkelilng di galeri jualan yang saya fikir fokusnya adalah tubuh.
Malas saya hendak mencari takrif tubuh, cuma takrifan tubuh bagi saya adalah dari ujung rambut hingga ke ujung kaki, ada juga yang mengistilahkannya bermula di bawah dagu.
Tubuh menjadi titik utama dari sebuah mesin produksi, promosi dan kepenggunaan kapitalisme yang dipertontonkan di pusat beli-belah.
Di pusat beli-belah komoditi barangan hiasan, lentikan dan pemakaian tubuh dihasilkan sebagai barangan jualan dan perkhidmatan, dengan menjelajahi segala keupayaan hasrat dan jiwa menjadi rangsangan membeli.
Segala pakaian, komestik, wangi-wangian sebagai pencernaan dan penghiasaan tubuh dipertonjolkan. Apa yang saya gusarkan ialah segala hiasan, cernaan budi, jiwa dan roh dilenyapkan sedikit demi sedikit.
Dalam hubungan ini wacana ekonomi global telah menjadi sebuah arena tempat perlumbaan di mana segala kecepatan, persaingan, kepanikan, dan kegilaan yang ditonjolkan.
Kecepatan membeli ketika musim perayaan, persaingan jenama, kepanikan iaitu kekalutan mencari jenama bersesuaian dengan harga berpatutan sudah suatu kegilaan dalam kepengunaan beli dan terus membeli dengan tidak membezakan antara keperluan dan kehendak.
Sehubungan itu, wacana komunikasi sejagat menjadikan pusat beli-belah sebagai sebuah panggung tempat ekstasi komunikasi, kegilaan fantasi, dan bom informasi yang dipertontonkan.
Pengguna dan pembeli akan tangkap “syur” dalam ekstasi pembelian dan fantasi kecantikan. Lihat dan dongaklah ke atas ketika di pusat beli-belah dengan segala maklumat visual rona-rona dan corak-corak dihias hingga membuatkan kita teruja dan ternganga.
Wacana budaya global yang didominasi oleh nilai-nilai budaya Amerika menjadi sebuah ruang pemaparan tempat kegairahan, dan keterpesonaan yang dipersaksikan.
Ia telah membuatkan manusia tidak lagi mempunyai landasan tempat berpijak di mana dunia, berlari di atas keterpesonaan tubuh.
Dalam dunia yang berlari ini di pusat membeli-belah dengan perhiasan tubuh, ia mengindah dan mengukuhkan tubuh tetapi mencairkan dalaman tubuh iaitu diri sendiri kerana struktur yang membangun dunia kehidupan rohani telah runtuh.
Sedih dan pilu keran masjid tidak lagi menjadi avatar moral, etika, spiritual, sosial, budaya bagi mengukuhkan struktur tubuh dalam dunia kehidupan. Ia telah digantikan dengan mall atau pusat beli-belah sebagai syurga pertunjukan dan pengwajahan tubuh.

Masjid bukan dilazimi lagi sebagai pentas kerohanian dan persujudan tubuh kepada Ilahi. Ia telah digantikan dengan pusat beli-belah sebagai pentas mempamerkan tubuh dan persujudan tubuh kepada kebendaan.
Masjid indah tetapi hilang seri, sunyi hanya lazim dikunjungi oleh mereka yang pergi dan balik kerja, oleh mereka yang besara, orang berusia menanti kematian!
Umat manusia kini hidup dalam sebuah gerbang realiti yang hilang tonggak perukunan.
Tetiba teringat kata-kata seorang ahli semiotika dari Indonesia Dr Yasraf Amir Piliang bahawa “Kita memasuki sebuah dunia, sesuatu yang kita lihat sebagai fakta, sebenarnya bukanlah kenyataan; sebuah fakta yang kita anggap nyata, sesungguhnya telah melampaui yang nyata itu sendiri”.
Ia telah menggugat konsep keberadaan kita sebagai khalifah Allah yang mengaburkan perwujudan kita sebagai insan. Hakikat yang harus kita fahami dan memandang dengan serius ialah kita sedang melalui situasi hiperealiti, realiti yang melampau.
Bayangkan dunia memandang genosid di Gaza tidak lebih sebagai tontonan. Ia telah melampaui realiti dan dunia realiti berbaur dengan fiksyen, fantasi, ilusi, dan halusinasi.
Genosid di Gaza suatu peristiwa besar abad ke-21 dianggap sebagai peristiwa biasa-biasa bagi mereka di Barat sebagaimana apa yang berlaku di Ukarine.
Di Gaza tubuh penduduk Palestin Gaza mengalami kecederaan dan kematian dipapar, dipertontonkan, parah dan berdarahnya anggota, tubuh bergelimpangan di tepi bangunan, di dalam bangunan dan di bawah runtuhan bangunan akibat pengeboman dan pembersihan etnik.
Manusia lebih terhibur dengan kehidupan selari, antara dunia siber dan realiti.
Alam siber telah menciptakan dunia buatan yang melampaui realiti yang dikonsepkan sebagai hiper. Ia membuaikan kita ketika di pusat beli-belah dengan kesempurnaan dunia tubuh melupakan kita kepada realiti tubuh di Gaza.
Penulis adalah pembaca Apa Khabar TV






Leave a Reply