Kontroversi pembakaran al-Quran: Mengapa bukan Taurat atau Injil yang dibakar?

Oleh Dr Hassan bin Suleiman

ARTIKEL ini mengetengahkan sebuah isu yang sangat pelik dan menghairankan, iaitu peristiwa pengulangan pembakaran al-Quran di negara Sweden! Sweden merupakan sebuah negara ketiga terbesar dalam Kesatuan Eropah dengan keluasan kawasan (450,295 km2) bersama anggaran penduduk sebanyak 10,215,250 juta, dan Sweden berpaksikan sistem raja berperlembagaan dengan sistem Parlimen serta ekonomi yang kukuh.

Persoalannya sekarang ialah: bilakah insiden terakhir pembakaran al-Quran berlaku, dan siapakah yang melakukannya?

Pada pagi Rabu, hari pertama Eid al-Adha pada 28 Jun 2023, umat Islam dikejutkan dengan video yang menunjukkan seorang pemuda bernama “Salwan Momika”, seorang pelarian warganegara Iraq di Sweden berketurunan Kristian. Dia mengoyakkan senaskhah al-Quran dan kemudian membakarnya di Masjid Pusat Stockholm, dan ianya berlaku setelah polis Sweden memberinya permit untuk menganjurkan protes berikutan keputusan rasmi daripada pihak kehakiman.

Salwan Momika, 37, telah menulis dalam permohonannya kepada pihak polis: “Saya mahu berdemonstrasi mengenai Masjid Besar di Stockholm, dan saya ingin menyatakan pendapat saya tentang al-Quran… Saya akan mengoyakkan al-Quran dan membakarnya!”

Amat menyedihkan apabila pihak polis sendiri telah memberikan maklum balas dalam keputusan yang bertulis: “Mereka telah memberikan keizinan untuk melakukan demonstrasi di mana penganjurnya ingin membakar salinan al-Quran di luar masjid utama Stockholm”.

Sebagai tindak balas daripada pihak kerajaan Iraq, Kementerian Luar Negeri telah mengeluarkan kenyataan yang mengecam kebenaran pihak berkuasa Sweden untuk berbuat demikian, dan mereka telah memanggil Duta Sweden di Iraq untuk memberikan penerangan serta menuntut agar warga Iraq itu diekstradisi untuk dibicarakan mengikut undang-undang Iraq.

Puluhan rakyat Iraq terlibat dalam demonstrasi di hadapan kedutaan Sweden di Baghdad sebagai tanda protes terhadap insiden tersebut, mereka menuntut agar duta Sweden diusir.

Tindak balas antarabangsa terhadap pembakaran al-Quran di Sweden:
Insiden itu telah mengundang kecaman daripada 14 buah negara Arab iaitu Arab Saudi, Mesir, Iraq, Palestin, Jordan, Maghribi, Algeria, Libya, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Oman, Bahrain, Lubnan serta negara-negara Islam seperti Indonesia, Malaysia, Afghanistan, Turki dan Pakistan.

Pada peringkat perbadanan dan pergerakan, insiden itu telah dikecam oleh Pertubuhan Kerjasama Islam; Majlis Kerjasama Teluk; Liga Arab; Al-Azhar al-Sharif; Persatuan Ulama Besar Arab Saudi; Persatuan Dunia Islam dan Persekutuan Ulama Islam Sedunia; Pertubuhan Ulama Palestin; Ikhwanul Muslimin; dan kedua-dua pergerakan Hamas serta al-Jihad di Palestin

Kronologi peristiwa pembakaran dan penghinaan terhadap al-Quran:
Demi membuktikan fakta berkenaan pembakaran dan penghinaan al-Quran, kita perlu melihat kepada kronologi sorotan insiden tersebut.

Pada 21 Januari 2023, pemimpin parti sayap kanan “Stram Kurs” di Denmark, Rasmus Paludan, telah membakar senaskhah al-Quran berhampiran kedutaan Turki di ibu negara Sweden (Stockholm), di tengah-tengah perlindungan daripada polis yang menghalang sesiapa sahaja daripada mendekatinya ketika dia melakukan jenayah terkutuk ini.

Pada 14 April 2022, Paludan sekali lagi kembali untuk kali kedua membakar naskhah al-Quran di bandar Linköping di selatan Sweden di bawah perlindungan polis. Juga pada 1 Mei 2022, Paludan sendiri kembali buat kali ketiga untuk membakar al-Quran di hadapan sebuah masjid di Sweden, walaupun polis enggan memberikan kebenaran kepadanya untuk berbuat demikian, ketika itu sekumpulan 10 orang mencuba menghalangnya daripada berbuat demikian, menyebabkan dia melarikan diri dengan keretanya.

Pada 3 Julai 2022, Lars Thorsen, Pemimpin Stop Islamization of Norway, juga turut membakar senaskhah al-Quran di kawasan di mana ramai masyarakat Islam tinggal di pinggir ibu kota, Oslo. Kejadian itu menimbulkan kemarahan sebilangan umat Islam yang bergegas memadamkan api yang marak itu, dan orang ramai segera berkumpul untuk membantah jenayah yang tercela ini.

Kemudian pada 28 Ogos 2020, tiga individu daripada Parti Paludan “Stram Kurs” telah membakar senaskhah al-Quran di bandar Malmo di Sweden, dan dua hari kemudiannya pada 30 Ogos 2020, sekumpulan pelampau anti-Islam Norway daripada gerakan “Stop Islamisation of Norway” telah mengoyakkan beberapa muka surat al-Quran, dan meludahnya; ianya berlaku ketika demonstrasi anti-Islam di ibu negara, Oslo.

Pada 22 Mac 2019, untuk kali keempatnya, Paludan membakar naskhah al-Quran di hadapan bangunan Parlimen Denmark dengan alasan untuk membantah solat Jumaat. Pada Jun 2019, pihak berkuasa Jerman menemui kira-kira 50 naskhah al-Quran telah terkoyak di dalam masjid Rahmah di tengah bandar Bremen.

Majlis Pusat Muslim Jerman mengutuk sekeras-kerasnya kejadian itu, dengan menyatakan bahawa perkara tersebut bertujuan mengekalkan kebencian dan keganasan terhadap umat Islam dan masjid-masjid mereka.

Pada 17 November 2019 pula, gerakan “Stop Islamisation of Norway” telah menganjurkan sebuah demonstrasi, di mana mereka membuang dua naskhah al-Quran ke dalam tong sampah, dan ketua organisasi itu membakar satu lagi salinan al-Quran, yang menyebabkan beberapa penunjuk perasaan yang hadir ketika itu untuk menyerangnya.

Pada 25 Disember 2015, sekumpulan penunjuk perasaan menyerang ruang solat di kawasan kejiranan popular di Ajaccio, yang berada di kepulauan Corsica, selatan Perancis. Mereka telah merosakkannya, membakar al-Quran dan menulis kata-kata untuk menentang Arab.
Pada Disember 2015 juga, seorang lelaki Denmark berusia 42 tahun telah membakar senaskhah al-Quran di halaman rumahnya, kemudian dia menyebarkan video jenayahnya tersebut.

Jenayah merobek, membakar dan menghina al-Quran tidak berhenti begitu sahaja, bahkan pada 27 Disember 2014, polis Britain telah menahan seorang pemuda yang mengoyakkan senaskhah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris, kemudian ia meletakkannya di dalam tandas dan membakarnya, namun akhirnya dia dibebaskan tanpa hukuman.

Dan pada 28 April 2012, seorang paderi Amerika, Terry Jones telah membakar al-Quran dan menyiarkan adegan itu secara atas talian demi membantah penahanan seorang lelaki agama Nasrani di Iran. Begitu juga pada 22 Mac 2011, orang yang sama juga telah membakar Al-Quran di sebuah gereja kecil di Florida.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengutuk perbuatannya tersebut, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi tindak balas ketika itu. Antaranya adalah, serangan ke atas ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan yang mengakibatkan beberapa kematian.

Pada 10 April 2011, pihak polis telah menahan calon Parti Kebangsaan Britain yang berhaluan kanan, Sion Owens, selepas dia membakar senaskhah al-Quran di taman rumahnya, dan jelas kelihatan dalam sebuah video di mana Owens menuangkan minyak tanah pada al-Quran, kemudian membakarnya.

Kemudian pada 18 April 2011, mahkamah British telah menjatuhkan hukuman penjara selama 70 hari ke atas seorang bekas tentera, Andrew Ryan kerana dia telah membakar al-Quran di Carlisle City Center di England. Pada tahun 2005, negara-negara Islam menyaksikan sebuah demonstrasi besar-besaran dan bantahan terhadap laporan bahawa al-Quran telah dihina oleh para penyiasat Amerika di penjara Guantanamo di Cuba.

Begitulah yang kita dapat lihat fenomena pembakaran Al-Quran dalam Sweden dan di tempat lain, dengan alasan bahawa ianya adalah kebebasan untuk berfikir atau kebebasan bersuara! Jika begitu, bolehkah orang Islam minoriti membakar bendera LGBT di Sweden? Yang mana ianya diibaratkan sebagai lambang kemanusiaan di negara itu dan Eropah? Bolehkah kitab Taurat yang merupakan kitab suci bagi orang Yahudi dibakar?

Lambang itu sendiri tidak mempunyai sebarang nilai mengikut undang-undang, tetapi kerana mereka menganggap lambang LGBT sebagai simbolik untuk kemanusiaan dan kebanggaan dan seolah mewakili kumpulan sosial yang teraniaya – pada pandangan mereka -, maka undang-undang di Sweden menjadikan sebarang pembakaran lambang LGBT sebagai sebuah jenayah.

Ini kerana ianya seolah merupakan hasutan terhadap sekumpulan warganegara di negara itu, tetapi undang-undang ini tidak menjadikan seseorang yang memiliki kewarganegaraan Sweden yang membakar al-Quran sebagai satu jenayah, sedangkan al-Quran merupakan sebuah kitab suci bagi jutaan umat Islam di dunia, dan berpuluh-puluh ribu daripadanya tinggal di Sweden dan memegang kewarganegaraan negara itu.

Dan bagaimana pula dengan kitab Taurat? Taurat juga sama seperti mana-mana kitab suci yang lain, yang boleh dibakar mengikut undang-undang Sweden, namun pengecualian undang-undang telah diberikan yang menjadikan pembakaran Taurat dan bendera Israel dianggap sebagai “anti-Semitik” atau “anti-Yahudi”?! Dan ianya dianggap sebagai sebuah jenayah dalam undang-undang Sweden.

Maka seandainya pihak polis mendapati bahawa pembakaran Taurat dan bendera Israel sebagai satu tindakan yang boleh membawa kepada anti-Semitisme, mereka tidak akan membenarkannya kerana ia adalah satu jenayah.

Tidak pelik sebenarnya! Wanita bukan Islam mampu untuk menuntut kebebasan pemakaian, tetapi wanita Islam tidak boleh untuk menuntut pemakaian tudung dan niqab! Ini satu jenayah! Pergerakan sosial LGBT boleh menuntut hak homoseksualiti sejenis, tetapi mereka yang sejahtera fitrahnya tidak boleh bercakap berkenaan bantahan mereka terhadap homoseksualiti itu! Ini adalah jenayah kebencian!

Orang bukan Islam boleh menghina dan membakar al-Quran! Tetapi tiada siapa yang boleh membakar kitab-kitab suci yang lain! Ia mungkin akan menjadi jenayah anti-Semitisme!

Kita akan dapati berpuluh-puluh lagi contoh yang lain, dan semuanya adalah untuk mencapai satu kesimpulan bahawa: “Kebebasan berpendapat dan bersuara hanya diberikan kepada pemiliknya sahaja dan tidak orang lain. Ianya bernaung di bawah perlindungan kerajaan dan kekuatan sayap keselamatan mereka, dan di bawah penipuan kebebasan kemanusiaan ataupun kebebasan berfikir.”

Umat Islam di pelbagai negara dan seluruh pelosok dunia tidak membakar Taurat orang Yahudi, mahupun Injil bagi orang Nasrani. Bukanlah disebabkan wujudnya undang-undang yang melarangnya, tetapi kerana syariat Islam yang memerintahkan mereka untuk menghormati kitab-kitab ini, walaupun orang Yahudi dan Nasrani telahpun mengubahsuai kitab yang diturunkan kepada mereka ini.

Oleh itu ianya tidaklah dianggap sebagai kitab-kitab Samawi daripada Allah Taala. Allah berfirman di dalam al-Quran:

ﵟوَإِنَّ مِنۡهُمۡ لَفَرِيقٗا يَلۡوُۥنَ أَلۡسِنَتَهُم بِٱلۡكِتَٰبِ ‌لِتَحۡسَبُوهُ ‌مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمَا هُوَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ وَمَا هُوَ مِنۡ عِندِ ٱللَّهِۖ وَيَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَﵞ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya terdapat segolongan daripada kalangan mereka itu yang memutarbelitkan lidah mereka ketika membaca kitab Taurat, dengan tujuan supaya kamu sangka bahawa ianya adalah daripada kitab itu sendiri sedangkan ianya bukanlah daripadanya, dan mereka mengatakan bahawa ianya adalah daripada Allah sedangkan ianya bukan daripadaNya, dan mereka juga berdusta terhadap Allah dalam keadaan mereka sedar bahawa mereka sedang berdusta” (Al-Imran:78).

Allah juga ada berfirman:

ﵟ أَفَتَطۡمَعُونَ أَن يُؤۡمِنُواْ لَكُمۡ وَقَدۡ كَانَ فَرِيقٞ مِّنۡهُمۡ يَسۡمَعُونَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفُونَهُۥ ‌مِنۢ ‌بَعۡدِ ‌مَا ‌عَقَلُوهُ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ﵞ

Maksudnya: “Adakah kamu boleh menaruh harapan bahawa mereka akan beriman dengan seruan yang kamu bawakan, dalam keadaan sebahagian daripada mereka telahpun mendengar kalam Allah, namun kemudiannya mereka mengubahsuainya tatkala mereka telah fahaminya sedangkan mereka mengetahui bahawa ianya adalah sebuah kesalahan” (al Baqarah:75).

Allah juga ada berfirman:

ﵟ‌مِّنَ ‌ٱلَّذِينَ ‌هَادُواْ يُحَرِّفُونَ ٱلۡكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِۦﵞ

Maksudnya: “Ada sebahagian daripada kalangan orang Yahudi yang mengubah dan menukar isi kitab Taurat, dari tempat dan maksud asalnya yang sebentar” (an-Nisa: 46).

Sebenarnya Allah Azza wa Jalla telah menceritakan dalam al-Quran bahawa golongan Ahli Kitab telahpun mengubahsuai kitab Taurat dan Injil, dan mereka menggantikan firman Allah dengan cara sama ada mengubah perkataan atau makna atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, ianya tidak merangkumi kesemua yang ada dalam kitab mereka, menyebabkan kitab mereka masih mempunyai perkara-perkara yang benar.

Abu Daud telah meriwayatkan sebuah hadis dalam Sunan Abi Daud, daripada Abdullah bin Umar, bahawa telah datang sekumpulan orang Yahudi dan mereka memanggil Rasulullah SAW ke al Quff – ia adalah nama bagi sebuah wadi di Madinah – dan mereka berkata: “Wahai Abu al Qasim, sesungguhnya seorang lelaki di antara kami telah berzina dengan seorang wanita, maka kamu hukumlah mereka, lalu mereka meletakkan sehelai alas untuk Rasulullah SA duduk, kemudian Baginda berkata: “Berikan aku kitab Taurat”, lalu mereka berikannya kepada Rasulullah SAW, kemudian Baginda menarik alas daripada bawahnya dan meletakkan kitab Taurat di atasnya.

Lalu Baginda mengatakan: “Aku beriman dengan engkau dan dengan siapa yang menurunkan engkau”, hadis ini dinilai sebagai hadis Hasan oleh al Albani. Menurut al Azhim Abadi, penulis kitab “Aun al-Ma’bud” beliau mengatakan: “Ternyata Rasulullah SAW meletakkan Taurat di atas bantal adalah sebagai tanda penghormatan kepadanya, dan ianya dibuktikan dengan ucapannya,” Aku beriman dengan engkau (Taurat) dan dengan yang telah menurunkan engkau (Allah SWT)”.

Maka, Nabi SAW meletakkan Taurat di atas bantal adalah untuk memuliakannnya kerana kebenaran yang ada dalam isi kandungannya, dan berkemungkinan juga seperti apa yang dikatakan oleh sesetengah ulama bahawa ianya merupakan kitab Taurat yang masih asli dan tidak ditukar dan diubah suai. Mungkin juga sebahagian daripadanya telah ditukar, dan sebahagian yang lain tidak ditukar, maka Nabi SAW telah meletakkannya di atas bantal demi memuliakannya disebabkan kandungannya yang masih lagi mempunyai kebenaran. Wallahualam.

Maka, fakta utamanya adalah mengapa umat Islam dari pelbagai negara Islam di seluruh pelosok dunia tidak membakar Taurat atau Bible? Ianya adalah kerana agama memerintahkan mereka untuk memuliakan kitab-kitab ini disebabkan kebenaran yang masih ada di dalamnya, bahkan Allah Azza wa Jalla melarang daripada menghina berhala orang-orang musyrik agar perkara tersebut tidak membawa kepada penghinaan terhadap Allah SWT.

Berbalik kepada persoalan utama dalam artikel ini: Mengapakah hanya al-Quran yang dibakar, dan bukannya Taurat ataupun Injil? Dan apakah punca berlakunya insiden pembakaran al-Quran di Sweden berulang kali?

Punca berlakunya peristiwa pembakaran al-Quran secara berulang kali semuanya berbalik kepada beberapa faktor:

Pertamanya adalah disebabkan kenaikan peratusan penganut pemahaman ateisme di Sweden, di mana kajian telah menunjukkan bahawa Sweden merupakan salah satu negara yang paling tidak beragama kerana mempunyai kadar ateisme yang tertinggi.

Kedua adalah peningkatan bilangan pelarian Muslim di Sweden. Ini kerana Sweden adalah salah satu negara yang membuka pintu kepada pelarian politik dengan bilangan yang lebih besar berbanding negara Eropah yang lain, dan ini telah meningkatkan peratusan kerakyatan Sweden yang bukan berasal dari Sweden sendiri.

Kajian telah membuktikan bahawa pendatang atau pelarian ini tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik dengan persekitaran Sweden; dan perkara ini telah menyebabkan parti-parti politik berhaluan kanan di Sweden yang menolak isu pelarian, untuk mempelopori aktiviti sedemikian yang memburukkan Islam dan umatnya.

Ketiga adalah undang-undang Sweden secara terang-terangan membenarkan pembakaran kitab suci; dan perkara ini pada pandangan mereka termasuk dalam hal kebebasan bersuara yang mana ianya bagaikan kitab suci bagi mereka di Sweden serta masyarakat Barat – atas dakwaan mereka

Dan faktor terakhir adalah kemewahan yang berlebihan di Sweden, dan perkara ini tidak dapat dinafikan bahawa ianya memainkan peranan dalam isu sebegini, kerana Allah SWT telah menyatakan dalam banyak ayat dalam al-Quran yang mengaitkan kemewahan dengan permusuhan agama, sepertimana dalam firman Allah:

ﵟوَٱتَّبَعَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ ‌مَآ ‌أُتۡرِفُواْ فِيهِ وَكَانُواْ مُجۡرِمِينَﵞ

Maksudnya: “Dan mereka yang melakukan kezaliman itu telah mengambil kira tentang kemewahan yang telah mereka kecapi, maka mereka jadilah orang yang berdosa.” (Hud: 116)

Dan Allah SWT juga berfirman:

ﵟوَقَالَ ٱلۡمَلَأُ مِن قَوۡمِهِ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ وَكَذَّبُواْ بِلِقَآءِ ٱلۡأٓخِرَةِ وَأَتۡرَفۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا ‌مَا ‌هَٰذَآ ‌إِلَّا ‌بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يَأۡكُلُ مِمَّا تَأۡكُلُونَ مِنۡهُ وَيَشۡرَبُ مِمَّا تَشۡرَبُونَﵞ

Maksudnya: “Dan pemimpin-pemimpin daripada kaumnya yang kafir dan mengingkari hari akhirat, serta yang telah Kami jadikan mereka kaya dalam kehidupan dunia itu, mereka mengatakan sesama sendiri: “Orang ini sama sahaja manusia seperti kamu, dia makan daripada apa yang kamu semua makan, dan dia juga minum daripada yang kamu semua minum” (Mukminun: 33)

Adapun faktor kitab Taurat dan Injil tidak dibakar sebagaimana al-Quran yang sering dan berterusan dibakar, saya percaya bahawa ianya adalah disebabkan oleh kitab Taurat dan Injil yang berada di tangan orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) hari ini tidak memberi kesan yang sangat efektif kepada kehidupan orang ramai sama ada di Sweden mahupun di negara-negara Eropah yang lain.

Ini kerana orang Yahudi dan Nasrani pada era ini secara umumnya, mereka tidak mempraktikkan syariat mereka, dalam erti kata lain hukum hakam yang ada dalam kitab Taurat dan Injil, sama ada dalam bentuk perkara-perkara yang dituntut mahupun yang dicegah.

Maka kitab Taurat dan Injil yang diturunkan Tuhan Yang Maha Esa, yang juga merupakan firman Allah, bahkan kedua-duanya tidak diragui berkenaan kebenarannya, namun orang-orang Yahudi dan Nasrani telah menyeleweng, mengubahsuai, menokok tnambah dan mengurangkan isi kedua-duanya, serta mereka menjadikan setiap satu daripada keduanya, beberapa versi salinan yang saling bertentangan antara satu sama lain.

Oleh itu, kebenaran yang terdapat dalam kedua kitab itu telah bercampur dengan perkara yang batil. Dan ianya hanya boleh dibezakan oleh al-Quran yang terjaga daripada sebarang penyelewengan dan pengubahsuaian yang dibuktikan dengan firman Allah SWT:

ﵟإِنَّا نَحۡنُ ‌نَزَّلۡنَا ‌ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَﵞ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang telah menurunkan al Quran dan Kami jugalah yang akan menjaganya.” (al Hijr: 9)

Allah juga berfirman dalam ayat yang lain:

ﵟوَإِنَّهُۥ ‌لَكِتَٰبٌ ‌عَزِيزٞ ٤١ لَّا يَأۡتِيهِ ٱلۡبَٰطِلُ مِنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَلَا مِنۡ خَلۡفِهِۦۖ تَنزِيلٞ مِّنۡ حَكِيمٍ حَمِيدٖ ٤٢ﵞ

Maksudnya: Dan sesungguhnya al Quran adalah kitab suci yang tidak dapat ditandingi, ianya tidak dapat didatangi dengan sebarang kepalsuan dari semua aspek, ianya adalah kitab yang diturunkan oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji. (al Hijr: 41 – 42)

Dan di antara perkara yang membuktikan dengan jelas berkenaan penyelewengan yang berlaku terhadap kitab Taurat dan Injil adalah :

Pertama, Allah SWT telah memberitahu berkenaan perkara ini dalam banyak ayat dalam al-Quran, di antaranya adalah seperti apa yang telah disebutkan tadi.

Kedua, di dalam kedua-dua kitab tersebut mengandungi penipuan yang nyata, seperti apa yang mereka katakan: “Sesungguhnya Nabi Lut AS setelah kaumnya dibinasakan, Baginda telah bersetubuh dengan kedua-dua anak perempuannya selepas mereka berdua memberikannya minum arak”.

Dan yang ketiga adalah perbezaan dan percanggahan yang terkandung dalam kedua-dua kitab tersebut, walaupun keduanya seolah diturunkan oleh Allah, namun kandungan kedua-duanya tidak melambangkan bahawa ianya diturunkan oleh Allah, kerana Allah SWT telah berfirman:

ﵟ‌وَلَوۡ ‌كَانَ ‌مِنۡ ‌عِندِ غَيۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُواْ فِيهِ ٱخۡتِلَٰفٗا كَثِيرٗاﵞ

Maksudnya: “Seandainya ianya datang dari selain Allah, mereka pasti akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.” (Nisa’: 82)

Kesimpulan
Umat Islam tidak membakar Taurat dan Injil disebabkan kedua-dua kitab itu telah pun diselewengkan menurut kesepakatan para ulama, dan bahagian yang berkemungkinan tidak diselewengkan itu ianya tidak memberi kesan kepada kehidupan orang Yahudi dan Nasrani. Ooleh itu, tiada keperluan untuk membakarnya mahupun memburukkannya.

Berbeza dengan al-Quran, ianya mempunyai kesan yang ajaib terhadap orang Islam dan bukan Islam. Dan pada hari ini, ramai di antara mereka yang telah diberikan petunjuk oleh Allah untuk beriman serta mereka yang telah dilapangkan dadanya oleh Allah untuk menerima Islam.

Mereka menyatakan dalam kisah penghijrahan mereka bahawa al-Quran merupakan faktor utama yang membuatkan mereka berubah, tatkala mereka menelaahnya, dan mendalami maknanya dengan tadabbur dan tekun. Maka Allah memberikan petunjuk kepada seluruh hati dan jiwa raga mereka, sesungguhnya Allah yang memberikan petunjuk cahaya-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Tambahan pula, beberapa eksperimen neurologi yang menggunakan peranti pengawasan elektronik, yang dilaksanakan di beberapa hospital di Amerika, telah membuat penemuan kesan al-Quran terhadap saraf pesakit dan fungsi organ mereka. Ianya memberikan ketenangan yang jelas apabila al-Quran itu dibacakan kepada mereka, dan sudah pasti ianya adalah salah satu bentuk gambaran oleh al – Quran terhadap individu.

Adapun kesan alQuran kepada umat Islam secara umumnya, ianya merangkumi banyak aspek. Di antara aspek yang paling penting ialah kesan mendalam terhadap ekosistem akhlak dan segala yang berkaitan dengan pemurnian tingkah laku manusia serta pembersihan jiwa, bahkan penyebaran akhlak yang mulia.

Kesan al-Quran terhadap ekosistem akhlak merupakan salah satu hasil daripada pelbagai kitab suci itu terhadap kehidupan mental dan intelektual manusia, kerana tingkah laku dan akhlak sebenarnya berteraskan kepada pemikiran dan kepercayaan. Dan al-Quran telah membebaskan akal daripada mengikuti hawa nafsu serta tradisi tanpa berasaskan ilmu, dan juga daripada mengikuti kerosakan di bumi. Bahkan al-Quran juga telah membebaskan akal daripada kepercayaan kepada pengetahuan yang berasaskan kebatilan seperti khurafat, astrologi, sihir dan ramalan.

Hubungan antara lelaki dan wanita dapat dijaga dengan menerangkan perbezaan di antara yang mahram dan bukan mahram, mewajibkan pemakaian hijab ke atas wanita, menaungi urusan wanita dalam perkahwinannya, menjelaskan batasan nikah yang sah, hak suami isteri, adab hidup berumah tangga, mendidik anak-anak, memelihara hubungan kekeluargaan, dan menjaga kebajikan orang yang tidak berkemampuan dalam masyarakat seperti anak yatim, orang miskin, dan janda.

Dan pelbagai lagi panduan al-Quran yang lain, yang menggambarkan masyarakat Islam dengan gambaran yang tersendiri, menjadikannya seperti satu keluarga yang besar, semua ahli keluarga itu saling berkait rapat antara satu sama lain menerusi pelbagai bentuk hak dan kewajipan yang memerlukan kepada belas kasihan dan simpati.

Di antara aspek yang jelas kelihatan kesan al-Quran terhadap umat Islam ialah membangkitkan semula semangat ketekunan dalam pensyariatan, dengan tujuan merangkumi kedua-dua aspek kehidupan individu dan juga masyarakat sesuai dengan pertimbangan neraca hukum-hakam dan akhlak.

Maka itulah hasil dan penerapan daripada apa yang telah al-Quran bawakan berkenaan pandangan yang menyeluruh berkaitan dengan asal-usul perundangan Islam antaranya seperti: Manusia sentiasa akan berada dalam situasi di mana ia akan dipertanggungjawabkan dengan hukum Allah Ta’ala, kerana Allah telah berfirman:

ﵟأَيَحۡسَبُ ٱلۡإِنسَٰنُ ‌أَن ‌يُتۡرَكَ ‌سُدًىﵞ

Maksudnya: “Adakah patut manusia menyangka bahawa ia akan terbiar dan ditinggalkan dalam keadaan tidak dipertanggungjawabkan dengan apa pun?” (al-Qiyamah: 36), dalam erti kata lain: ia tidak disuruh dengan sebarang suruhan mahupun dicegah daripada sebarang larangan.

Akhir sekali, dalam tempoh berlakunya jenayah pembakaran al-Quran secara berulangkali di Sweden dan di tempat lain saya menasihatkan agar semua muslimin dan muslimat untuk berpegang teguh dengan al-Quran, berusaha bersungguh-sungguh untuk mempelajarinya dan mengajarkannya, berusaha untuk patuhi perintah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya.

Meneladani al-Quran dan sunnah Nabi-Nya SAW itulah sebaik-baik cara untuk membalas perbuatan mereka itu. Saya juga menasihatkan kerajaan di seluruh negara Islam agar mengambil pendirian yang tegas dalam menolak dan membanteras insiden pembakaran al-Quran yang telah pun berlaku berulang kali di beberapa negara Eropah.

Ianya berlaku dengan kesepakatan serta naungan daripada kerajaan-kerajaan mereka sendiri dengan alasan “kebebasan bersuara”. Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla akan mempersoalkan pihak kerajaan negara Islam berkenaan isu ini pada hari Kiamat kelak.

Saya juga mengesyorkan kepada kerajaan negara Islam agar mementingkan al-Quran dan beramal dengannya dalam seluruh aspek kehidupan. Terdapat banyak ayat al-Quran yang sudah terang lagi bersuluh yang bercakap tentang kewajipan untuk melaksanakan syariat Islam dalam setiap sudut kehidupan manusia.

Dan sesungguhnya pegangan kita terhadap al-Quran akan memutuskan semua produk dari Sweden pada peringkat kerajaan dan juga rakyat, dan itulah kemenangan untuk al-Quran. Nabi Musa sendiri telah menghukum Samiri dengan cara Baginda melarang orang lain daripada berurusan dengannya, bercampur serta bercakap dengannya.

Dan ianya berlaku tatkala Samiri itu menipu Bani Israil dan menghasut mereka agar menyembah anak lembu, lalu mereka pun menyembahnya, maka Nabi Musa AS berkata kepadanya:

ﵟقَالَ فَٱذۡهَبۡ فَإِنَّ لَكَ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ أَن تَقُولَ لَا ‌مِسَاسَۖ وَإِنَّ لَكَ مَوۡعِدٗا لَّن تُخۡلَفَهُۥۖﵞ

Maksudnya: “Nabi Musa berkata kepadanya: “Engkau pergilah! (ia dihalau dan dipulaukan) sesungguhnya engkau dalam kehidupan dunia ini akan mengatakan “Jangan sentuh aku” (kerana dipulaukan), dan sesungguhnya di akhirat engkau telah dijanjikan dengan balasan yang engkau takkan dapat elakkan.” (Taha: 97).

Dalam erti kata lain, engkau akan terima balasan dalam kehidupan dunia ini, tiada siapa yang akan mendekati engkau, tiada siapa yang akan berhubung dengan engkau, bukan itu sahaja, bahkan azab di akhirat pun sudah tersedia untuk engkau.

Diriwayatkan bahawa jika seseorang menyentuhnya, dia akan demam begitu juga orang yang menyentuhnya, maka dia pun menjauhi orang lain dan mereka juga menjauhkan diri daripadanya.

Ini adalah bentuk boikot secara menyeluruh yang dilakukan oleh Nabi Musa AS terhadap Samiri yang sesat lagi menyesatkan itu. Maka kami juga menyeru untuk memboikot semua barangan Sweden, dan itulah panduan daripada al-Quran.

Wallahualam.

Penulis adalah Assist Professor, Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Rujukan:

  1. Al Azhim Abadi, Abu Toyyib Muhammad Syams al Haq, Aun al Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, editor: Abd Rahman Uthman, (Madinah al Munawwarah: Dar al Maktabah as Salafiyah, cet. 2, 1388H/1968M).
  2. Muhammad Nasiruddin al Albani, Sohih Abi Daud, (Kuwait: Muassasah Ghiras, 1433H/2002M).
  3. Ibn Hajar, Ahmad bin Ali, Abu al Fadhl al Asqalani, Fathul Bari, (Beirut: Dar al Ma’rifah, cet. 2)
  4. Bukhari, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim, al Jami’ as Sohih al Mukhtasor, editor: Mustofa Dibb al Bugha, (Beirut: Dar Ibn Kathir, al Yamamah, cet. 3, 1407H/1987M).
  5. Ibn Kathir, Abu al Fida’ Ismail bin Umar, al Bidayah wa an Nihayah, editor: Dr. Abdullah bin Abdul Muhsin at Turki, (Giza: Dar Hijr, cet. 1, 1417H/1997M).
  6. Zulkerman, (2005). Cambridge university press, Atheism: Contemporary rates & Patterns phil.
  7. New Straits Times, AFP, July (2022) @ 8:19am.
  8. http://www.aljazeera.net 29-06-2023 حرق المصحف في السويد بأول أيام العيد
  9. BBC news 02-02-2023, إحراق علم السويد في أندونيسيا احتجاجا على حرق نسخة من القرآن
  10. BBC News EX- soldier jailed for burning Koran in Carlisle, 18 April 2011.
  11. ويكيبيديا الموسوعة الحرة، “إحراق القرآن في السويد” 10 يوليو2023
  12. Anadolu Agency website, Turkey, 28-06-2023
  13. Ibn Juzay, Abu al-Qasim Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Abdullah (1995/1416H). Al-Tashil li ulum al-Tanzil. Tahqiq: Dr Abdullah al Khalidi. Beirut, Lubnan: Dar al Arqam bin Abi al Arqam, cet. 1.

Leave a Reply