SEJAK 7 Oktober apabila regim pengganas Zionis mengerakkan serangan genosidnya di Gaza saya tidak melihat sebarang kemenangan di pihak mereka selain daripada tindakan yang tidak berperikemanusiaan dengan ‘menyembelih’ orang awam yang akan dianggap telah berjaya menawan Gaza.

Jumlah penduduk Gaza yang syahid menghampiri 19,000 orang (sehingga artikel ini ditulis), termasuk anggaran lebih kurang 8,000 kanak-kanak dan sekitar 6,000 wanita, dengan hampir 50,000 cedera dan 11,000 masih tidak ditemui hiilang di bawah runtuhan bangunan.

Seingat saya Perdana Menteri pembunuh dan penjenayah, Benjamin Netanyahu berulang kali berkata yang dia akan menggunakan segala kekuatannya untuk menghancurkan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), mentera yang diulangi oleh perdana menteri-pedana menteri Yahudi yang lain sejak 1987 lagi apabila Hamas ditubuhkan dan mula berkonfrantasi dengan pasukan penakluk dalam intifada pertama.

Pejuang Briged Al Qassam Hamas dan Briged Al Quds dari kumpulan Jihad Islam bukanlah pejuang sembrono atau ala kadar. Mereka dilatih dalam strategi dan operasi perang gerila bandar, terutama di ranjau geografi Gaza dan Tebing Barat.

Ia salah satu konfrontasi di mana segala kekuatan udara Zionis Yahudi dan artilerinya tidak berjaya menyasarkan sasaran. Inilah yang dihadapi mereka dalam perang terowong dengan Hamas sekarang, walaupun dengan melepaskan air laut ke dalam terowong.

Pada waktu malam dan ketika sesuai, pejuang Hamas akan keluar dari terowong melakukan serangan hendap dan dibantu oleh penembak curi pejuang Hamas. Tentera Israel akan terdedah kepada serangan hendap pihak Hamas.

Apa yang dilakukan regim pengganas melalui genosid dengan membunuh penduduk awam Palestin adalah salah satu strategi psikologi bagi menaikkan kemarahan pejuang Palestin.

Di samping itu dan lebih penting, pejuang Palestin ini telah bersaksi, bersahadah bahawa mereka telah mengorban diri, mati syahid dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT dan ternyata memberikan kelebihan kepada mereka.

Tidak keterlaluan jika dikatakan regim genosid Israel masih gagal mengalahkan atau menghancurkan Hamas. Terdapat kelebihan teknologi ketenteraan di pihak pejuang Palestin. Mereka dilengkapi dengan peluru berpandu canggih buatan tempatan yang boleh sampai sasaran sehingga 400 km jauhnya.

Di mana mereka belajar teknologi memasang dan menghasilkan peluru berpandu sendiri ini? Sedangkan hendak masuk keluar dari Gaza pun susah. Bagaimanakah dan dengan cara apakah peralatan dan bahan yang diperlukan untuk menghasilkan peluru ini dibawa masuk. Adakah mereka menggunakan terowong yang dibina?

Negara atau organisasi manakah yang membantu mereka menyeludup masuk semua bahan, peralatan serta latihan pemasangan dan penggunaannya.

Kecanggihan peluru berpandu sudah boleh melepasi Sistem Pertahanan Kebal Anti Peluru Berpandu (Iron Dome Missile Defence System) regim pengganas yang terkenal itu dan telah mencapai hingga ke Tel Aviv dan bandar Haifa.

Malah, terdapat berita yang mengatakan sasaran itu mendekati kawasan nuklear Israel. Kekebalannya yang diuar-uarkan itu ternyata sebagai satu mitos sahaja.

Regim pengganas juga telah kalah dalam memenangi hati pandangan awam di dunia Selatan daripada segala genosid dan pembunuhan etnik yang sedang mereka lakukan.

Tidak sahaja di dunia Selatan, bandar-bandar besar di negara Barat riuh dengan demonstrasi menyokong rakyat Palestin dan pejuangan mereka menentang kerajaan pengganas Zionis.

Gencatan sejata selama enam hari membawa makna regim pengganas telah mengiktiraf Hamas sebagai saingan mereka yang bukan calang-calang.

Dasar apartheid, genosid dan pembersihan etnik yang sedang berlangsung berjaya membunuh ramai rakyat Palestin ini adalah dasar pengecut mereka, namun masih tidak berjaya menghancurkan pejuang Palestin dan mendapatkan kembali sepenuhnya tebusan mereka.

Pada pandangan saya, rundingan gencatan senjata di Qatar menunjukkan Hamas bukanlah musuh yang kalah tetapi pesaing yang cekal, pintar dan hebat. Mereka boleh bersaing dengan kehebatan tentera Israel yang didakwa antara terbaik di dunia, semua adalah propaganda sahaja, indah khabar dari rupa.

Kita dapat perhatikan keadaan ini sedikit sebanyak telah mencetuskan pepecahan dalam kalangan pemerintah tentera Zionis kerana kelemahan kendalian dan pengurusan ketika berhadapan dengan tekanan pejuang Hamas.

Di samping itu, tekanan dalam negara supaya dihentikan perang, keperluan mendesak supaya diadakan lagi pertukaran tebusan dan Netanyahu harus digantikan kerana tidak berjaya menghancurkan Hamas dalam jangka waktu pendek, semakin membara.

Mereka ingat pejuang Palestin akan kalah dalam jangka waktu yang pendek.

Dalam berhadapan dengan jumlah kematian yang semakin meningkat dan pengusiran penduduk Gaza ke Rafah – sempadan Gaza dan Mesir – pejuang Palestin telah menunjukkan kepada dunia bahawa Israel tidak kebal dan tidaklah sehebat manapun dan semakin ketara mereka semakin berhadapan dengan kesukaran menghancurkan Al Qassam, Al Quds dan pejuang Palestin yang lain di medan pertempuran khususnya dalam perang terowong.

Saya berpandangan pembebasan tebusan adalah simbol kuat keupayaan Hamas dalam mencapai antara objektif serangan 7 Oktober dan keberanian pergerakan itu berjuang membebaskan Palestin daripada penjajahan Zionis Israel.

Hamas dan kumpulan pejuang Palestin lain merupakan kuasa politik dan tentera yang paling penting dan disegani di Gaza, Tebing Barat dan tidak lupa wilayah-wilayah dijajahi dan dirampas peneroka haram Yahudi sejak 1948. Nampaknya Fatah akan tinggal sejarah sahaja.

Penulis adalah pembaca Apa Khabar TV

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading