Oleh Nur Imanina M Sazali

MELIHAT dasawarsa ini, budaya yang merujuk kepada gaya hidup yang mengejar keseronokan atau kesenangan ataupun dikenali dengan ‘budaya hedonisme’ semakin lama semakin sebati dalam jiwa anak muda.

Perkara ini amat menggugat dan memberi ancaman kepada tamadun Islam, yang mana dapat dinilai daripada kacamata tidak terhitungnya bilangan program ataupun acara hiburan di luar batasan agama yang telah dan akan dijalankan, di samping fitrah anak muda yang sukakan hiburan dalam kehidupan remajanya.

Seperti mana yang diketahui, ‘budaya hedonisme’ ini sangat bercanggah dengan Islam secara zahiriah mahupun batiniah yang mana budaya ini adalah satu ideologi yang tujuannya semata-mata hiburan dan keseronokan serta kesenangan hidup tanpa mengira batas-batas moral dan larangan agama.

Hal ini merupakan satu ancaman yang mampu merosakkan jati diri remaja kerana jelas bertentangan dengan nilai agama dan norma hidup masyarakat Islam. Perkara ini juga bukan hanya tertumpu kepada remaja Islam, tetapi umumnya kepada generasi muda yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.

Bagaimanakah yang dimaksudkan budaya hedonisme ini meracuni jiwa anak muda dan apakah pengawalan ataupun pencegahan yang dapat dilakukan? Ayuhlah kita telusuri bersama melalui penulisan ini.

Istilah hedonisme
Budaya hedonisme telah wujud di Eropah sejak kurun ke- 4 sehingga kurun ke-15, namun budaya ini semakin lama semakin menyebar secara halus ke negara-negara lain.

Istilah hedonisme berasal daripada dua perkataan iaitu ‘hedone’ dan ‘isme’. Perkataan ‘hedone’ berasal daripada istilah Greek (Yunani) yang memberi erti ‘kesenangan’.

‘Isme’ berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat ialah akhiran asing kepercayaan, gerakan politik atau keagamaan, sikap serta perlakuan.

Secara keseluruhannya, maksud hedonisme yang diperoleh daripada Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud suatu pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Sehubungan itu, hedonisme merupakan satu pandangan falsafah yang menyatakan bahawa perkara terbaik dan disukai dalam hidup adalah memaksimumkan keseronokan.

Budaya hedonisme di Barat merupakan satu gaya hidup yang telah diamalkan dalam kehidupan seharian mereka ataupun kita dapat lihat budaya hedonisme ini amat terkait dan berakar umbi daripada ideologi sekularisme yang memisahkan antara kehidupan dan agama.

Berikutan itu, budaya hedonisme menjadi amalan gaya hidup mereka di mana mereka dapat berhibur tanpa batasan agama kerana ideologi sekularisme yang dipegang.

Apa kata Islam
Melihat daripada sudut Islam pula, budaya hedonisme adalah dilarang, kerana ia meletakkan hiburan yang melampau menyebabkan hiburan tersebut di luar batas agama, seterusnya mengakibatkan seseorang itu lalai dan alpa akan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi ini.

Selain itu juga, budaya ini akan merosakkan minda anak muda dan menyesatkan pemikiran mereka mengenai landasan dan tanggungjawab sebenar mereka. Di samping itu, pengaruh hedonisme ini akan melahirkan manusia yang keras hati, menolak kebenaran dan sentiasa berada dalam kesesatan.

Hal ini kerana mereka akan terdedah dengan perkara kemungkaran yang menyebabkan hati mereka jauh dengan agama kerana terlalu terdedah kepada duniawi.

Budaya hedonisme ini akan memberikan kesan negatif yang lain seperti akan melahirkan seseorang yang sombong kerana terlalu asyik dengan kesenangan dan kemewahan duniawi, meninggalkan kewajipan sebagai seorang hamba kepada Allah dan sebagainya. 

Namun, Islam tidak menghalang umatnya untuk berhibur selagi tidak melampaui batas syarak. Kemahuan untuk berhibur dan cintanya manusia kepada kecantikan serta keindahan merupakan fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hambaNya.

Terdapat satu hadis berkenaan seorang daripada sahabat Rasulullah SAW yang bernama Hanzhalah RA berasa takut menjadi munafik kerana beliau berasa lalai daripada mengingati Allah SWT dengan berhibur bersama keluarga. Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

“Wahai Hanzalah!, ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para Malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan”. (Riwayat Sahih Muslim : 2750).

Oleh itu, dapat kita telusuri bahawa Islam tidak menghalang untuk penganutnya berhibur tetapi perlu mengikut kepada syariat yang telah ditetapkan ketika berhibur.

Pengaruh budaya hedonisme ini meracuni anak muda secara halus tanpa disedari semakin hari semakin menjadi ikutan. Mata anak muda kini telah dikaburi dengan pelbagai aktiviti ataupun program hiburan yang dikatakan merupakan salah satu perkara yang dapat mengurangkan tekanan hidup mereka, khususnya apabila melibatkan aspek pembelajaran, keluarga, percintaan dan sebagainya.

Perkara ini yang dikhuatiri akan memberikan pengaruh dan kesan yang negatif sama ada kepada diri individu tersebut, keluarga, masyarakat dan negara amnya. Secara fitrahnya, jiwa anak muda sukakan hiburan dan mempunyai semangat inkuiri yang tinggi untuk mencuba perkara yang baharu.

Perkara ini yang menjadikan pengaruh budaya hedonisme mudah meresap ke dalam jiwa anak muda pada masa kini tanpa disedari ditambah pula pengaruh media massa yang memaparkan pelbagai aktiviti hiburan yang dapat dilakukan tanpa penilaian dibuat terlebih dahulu.

Pengaruh media juga tidak lari daripada memberikan impak negatif terutama terhadap remaja yang sedang berhadapan dengan keadaan emosi yang kurang selamat (emotional insecurity).

Ringkasnya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan anak muda terdedah secara terbuka mahupun tersembuyi dengan pengaruh budaya ini sebagai contoh pengaruh rakan sebaya dan lain-lain.

Penerapan elemen kerohanian yang dapat mengisi kekosongan anak muda yang mekar dengan keseronokan dan keasyikan dunia.

Pendidikan
“Sudah terhantuk baru terngadah” inilah peribahasa yang menggambarkan penyesalan akan tindakan yang dilakukan.

Seperti mana yang telah diketahui, hedonisme adalah dilarang dan mesti dijauhi oleh anak muda demi kebaikan mereka pada masa akan datang. Jika langkah pengawalan tidak dijalankan maka akibat yang besar akan menimpa anak muda. 

Antara langkah yang dapat dilakukan bagi mendepani serangan budaya hedonisme ialah mempunyai persediaan daripada aspek pendidikan. Aspek pendidikan amatlah memainkan peranan yang penting dalam sesuatu perkara yang mana dengan adanya ilmu pengetahuan yang benar pastinya seseorang itu tidak mudah terpengaruh dengan sebarang ideologi yang sentiasa mengelilingi persekitaran.

Aspek pendidikan yang dimaksudkan di sini bukanlah hanya tertumpu kepada ilmu duniawi, tetapi berkenaan ilmu ukhrawi yang benar juga. Seterusnya, perkara ini dapat menjadikan seseorang individu itu memiliki kesepaduan ilmu yang mana ianya seimbang dalam pendidikan antara ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.

Natijahnya, mereka dapat berfikiran rasional dalam melakukan sesuatu perkara tanpa melampaui batas agama. Sehubungan itu, anak muda mestilah bijak dalam memilih hiburan.

Perkara utama yang perlu diambil kira dan diberi keutamaan dalam sesuatu perkara ini adalah berkaitan batasan agama yang mana walaupun perkara tersebut pada realitinya dapat membantu anak muda mengurangkan tekanan kehidupan, tetapi jika tidak dikawal dengan sebaiknya akan memberikan kesan yang semakin lama semakin buruk, bukan hanya terkesan kepada diri anak muda itu malah agama yang turut akan merasai akibat daripada pengabaian terhadap budaya hedonisme ini.

Sekiranya, batasan agama dapat dijaga dengan baik maka pastinya akan membantu sesorang itu dalam membuat sesuatu keputusan. Di samping itu, penerapan elemen kerohanian yang dapat mengisi kekosongan anak muda yang mekar dengan keseronokan dan keasyikan dunia.

Pengisian elemen kerohanian adalah penting bagi setiap orang, tidak kira yang beragama Islam ataupun tidak. Elemen kerohanian yang perlu ada pada setiap insan adalah seperti takut melakukan maksiat dan perkara kemungkaran, taat akan perintah Allah SWT dan sentiasa melakukan kebaikan dan perkara yang memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama.

Kesimpulan
Kemunculan budaya hedonisme secara holistik yang tidak disedari bagaikan racun yang membunuh secara perlahan.

Sebahagian besar anak muda pada zaman ini tidak sedar bahwa mereka telah terpengaruh dengan budaya hedonisme yang menyebabkan mereka alpa, dan sentiasa inginkan hiburan untuk mengurangkan tekanan hidup mereka, mahupun mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti hiburan sahaja, tanpa perlu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah atau penuntut sesuatu agama itu.

Jika ditelusuri kembali, hiburan adalah salah satu perkara yang dapat membantu mengurangkan masalah tekanan hidup seseorang tetapi yang menjadi salah adalah disebabkan hiburan itu terlalu berlebihan dan melanggar syariat agama. Perkara ini yang tidak dikehendaki kerana mereka akan berpendapat bahawa mencari hiburan dan keseronokan hidup adalah prinsip kehidupan mereka di dunia ini.

Oleh yang demikian, langkah yang progresif dan optimis perlu dijalankan dan dilakukan oleh semua pihak bermula daripada institusi keluarga sehinggalah negara ataupun kerajaan bagi pengawalan dan pencegahan daripada terus tersebarnya pengaruh hedonisme dan semakin sebati dalam jiwa anak muda.

Akhirul kalam, semangat dan kerjasama yang jitu daripada semua pihak amatlah penting untuk memastikan anak muda pada masa akan datang dan seterusnya dapat memimpin negara dengan sebaiknya dan mempunyai personaliti kepimpinan yang dapat memimpin rakyatnya ke jalan yang benar tanpa mengetepikan syariat Islam yang telah ditetapkan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading