

BARU-BARU ini dalam sebuah program mengenai perjuangan hak asasi Orang Asli atau Orang Asal, saya terjumpa sebuah buku mengenai Orang Asal Penan, Sarawak dalam mempertahankan hak tanah adat mereka daripada diceroboh oleh kegiatan pembalakan.
Ini membuat saya teringat akan berita yang pernah dilaporkan mengenainya.
Ketika pembinaan Empangan Hidroelektirk Bakun di Sarawak lebih kurang tiga dekan yang lalu, saya menulis mengenai perjuangan Orang Asal Penan mempertahankan kawasan hutan tempat tinggal dan tempat mencari makan yang dicerobohi susulan kegiatan pembalakan melampau.
Ketika itu saya menjadi wartawan di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), saya banyak menulis berita mengenai perjuangan Orang Penan yang hilang mata pencarian di hutan akibat kegiatan pembalakan.
Ada yang selama seumur hidup tinggal di hutan terpaksa berpindah ke kawasan rumah panjang di bandar kecil, manakala yang enggan, terpaksalah mencari kawasan hutan lain di wilayah Baram, Ulu Limbang dan Belaga untuk menyambung kehidupan dalam belantara hutan hujan.
Namun, akhirnya penyelesaian dicapai dengan memberikan kawasan penempatan semula yang serba dilengkapi dengan kemudahan asas dan dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam abad ke-21, walaupun pada mulanya mereka keberatan mahu meninggalkan kehidupan semi-nomad di kawasan pedalaman.
Dalam mengingatkan kembali kepada kisah perjuangan Orang Asal Penan mempertahankan tanah tempat tinggal mereka, saya ingin merujuk kembali kepada perjuangan penduduk Gaza mempertahankan tanah air mereka daripada penjahat haram regim Zionis.
Walaupun konteks perjuangan tidak sama, tiada kematian, pembunuhan atau genosid kerana ia adalah isu alam sekitar, kegiatan pembalakan melampau yang memusnah ekosistem dan biodiversiti hutan hujan, isu pembangunan dan hak Orang Asal dalam mempertahankan tanah tempat tinggal mereka, namun isu pembalakan dan pencemaran alam sekitar masih merupakan isu keprihatinan negara dan sejagat.
Penduduk Gaza, Tebing Barat dan rakyat Palestin keseluruhannya adalah penduduk asal Palestin yang ditakrifkan sebagai Orang Asal. Perjuangan mereka menentang masyarakat pendatang Yahudi yang menjajahi wilayah mereka bermula sejak peristiwa Nakba pada 1948.
Seperti masyarakat Orang Asal di negara lain yang mempertahankan hak tanah dan tempat tinggal mereka menentang penjajahan kulit putih, Orang Asal Palestin juga sedang berhadapan dengan kuasa penjajah Zionis Yahudi, malah lebih buruk lagi kerana terdedah kepada genosid dan pembersihan etnik.
Selama berdekad lamanya perjuangan membebaskan wilayah Palestin daripada dijajah difahami sebagai sebahagian daripada perjuangan pembebasan menentang penjajahan Zionis, terutama di negara-negara Selatan.
Kita tidak seharusnya memahami istilah Orang Asal atau perkataan “Aborigine” kepada mereka yang bercawat dan tidak berbaju.
Wacana dan konsepsi Orang Asal mula berubah dengan isu dan perkembangan semasa dan tidak terikat kepada kefahaman tertutup dengan menyempitkan Orang Asal kepada aspek fizikal anggotanya seolah-olah tidak bertamadun, berbudaya pelik dan pakaian sekadar menutup kemaluan.
Kini konsep dan wacana perjuangan Orang Asal merangkumi daripada perjuangan kulit hitam di Amerika Syarikat (AS) sehingga kepada perjuangan Orang Asal di Amerika Utara, Amerika Selatan, Australia dan Afrika dalam mempertahankan tanah, kedaulatan budaya, bahasa, sejarah dan hak asasi mereka yang disepati di peringkat antarabangsa.
Dalam hubungan ini, elemen dekolonisasi merupakan naratif baharu perjuangan Orang Asal dalam wacana sejagat.
Sebagai Orang Asal, bagi penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat perjuangan mereka mempertahankan tanah air daripada kolonisasi regim pengganas Zionis dan peneroka haram yang menjajahi wilayah mereka.
Keasalan mereka ialah hak dan tanah mereka dirampas, dicerobohi dan dihalau oleh sang kolonial peneroka haram, regim pengganas dan pihak tentera Zionis.

Sepanjang beberapa dekad lepas, kegiatan aktif peneroka haram yang semakin ghairah menceroboh dan merampas tanah dan rumah penduduk Palestin semakin ketara.
Mereka dibantu oleh pihak berkuasa Israel dan dilengkapi dengan senjata api.
Projek Zionis Yahudi ini ialah mengembangkan wilayah Israel ke dalam Tebing Barat dan Gaza dengan menghapuskan penduduk Orang Asal Palestin dari kawasan yang mereka duduki.
Sebagai usaha mengembangkan lagi hak-hak Orang Asal dalam rangka kerja undang-undang antarabangsa, pada 2007, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan Deklarasi Hak-Hak Orang Asal (UNDRIP).
Tetapi, beberapa isu diperdebatkan yang tidak terbatas kepada hak untuk memerintah sendiri, tetapi merangkumi hak untuk kemerdekaan daripada peneroka haram yang semakin mengganas sehingga mencemari kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Bukan setakad itu sahaja ia juga meliputi mempertahankan identiti budaya dan sejarah Orang Asal Palestin dan aspirasi politik mereka untuk bernegara.
Geografi Palestin telah terbahagi dua, Tebing Barat dan Gaza. Keasalan ini akan menghubungkan pemecahan geografi ini yang dijajahi oleh peneroka haram melalui proses Nakba berterusan seperti genosid yang berlaku sekarang di Gaza.
Peristiwa 7 Oktober 2023 akan menjadi daya tarikan atau graviti, suatu anjakan paradigma dan identiti yang memfokuskan ke pemusatan semula perjuangan Orang Asal sejagat yang meliputi budaya, bahasa, sejarah dan perjuangan politik.
Ia membawa kepada pemikiran semula kefahaman akan erti perjuangan Orang Asal dalam menentang penjajahan, pencerobohan, penawanan dan penaklukan.
Perjuangan Orang Asal Palestin ketika berhadapan dengan genosid ini akan meningkatkan lagi kefahaman sejagat mengenai apa yang telah mereka lalui, masa kini dan masa depan. Perjuangan ini menumpukan semula kepada dekolonisasi dan pembebasan penduduk dan pejuang Palestin daripada cengkaman sang kolonialis Isreal.
Oleh itu dalam usaha ke arah melanjutkan gencatan senjata, rundingan harus melibatkan kedaulatan wilayah supaya isu-isu kebebasan dan keadilan diutarakan dengan sewajarnya.
Masa depan Orang Asal Palestin harus mengutarakan kesemua perkara itu dengan menyedari akan ancaman kolonialisme peneroka haram Yahudi yang sedang berusaha mencerobohi, merampas dan menghalau penduduk asal dari tanah air mereka.
Ia akan membawa penduduk dan pejuang Orang Asal Palestin dalam realiti geopolitik yang baharu dengan elemen-elemen dekolonisasi.
Penulis adalah pembaca Apa Khabar TV







Leave a Reply