Oleh Muhammad Solehuddin Jamhari

SEMUA orang di dunia terkejut dengan apa yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza pada masa ini. Konflik antara Israel dan Palestin seperti ini belum pernah berlaku dalam sejarah manusia kontemporari.

Serangan yang dilakukan oleh Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) berlaku secara tidak dijangka, kerana rejim Zionis Israel mempunyai kekuatan ketenteraan dan aset yang canggih dan maju, serta bantuan daripada negara Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Hamas bukan sebahagian daripada kerajaan semasa, tetapi ia adalah pejuang di Gaza yang mempunyai keupayaan yang luar biasa dalam kapasiti yang sangat terhad.

Pencerobohan Masjid Al-Aqsa
Masyarakat Palestin dan umat Islam seluruhnya tidak dapat dinafikan sentiasa dihalang oleh rejim Zionis Israel daripada mengunjungi dan beribadat di Al-Aqsa. Tentera Israel menceroboh Al-Aqsa setiap tahun, terutama ketika Ramadan, dengan cara yang biadab.

Mereka masuk dengan berkasut, memijak lantai masjid yang suci, menembak dalam masjid, menangkap orang dan melakukan kekerasan di sebuah rumah ibadat yang jelas dilarang oleh agama, dan termasuk dalam Konvensyen Geneva sebagai kawasan yang tidak boleh dicerobohi atau dimusnahkan dalam peperangan.

Rejim Yahudi tidak pernah mempertimbangkan perkara ini.

Setiap kali tentera pengganas Israel melancarkan pencerobohan, selalunya berlaku penentangan yang mengakibatkan kematian. Setiap tahun, terdapat kira-kira 1,200 hingga 2,500 rakyat Palestin yang mati akibat kekejaman Zionis susulan penentangan mereka terhadap provokasi Israel, terutama berkaitan dengan Al-Aqsa.

Hamas telah menyedari perkara ini sejak lama dan bersiap sedia untuk bertindak balas dengan segera. Serangan terbaharu ini jelas merupakan hasil daripada kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap masyarakat Islam Palestin dan hak umat Islam seluruhnya.

Penyelesaian ?
Selagi Israel tidak memulangkan tanah yang dirampas daripada rakyat Palestin dan mengembalikan Jerusalem Timur sebagai ibu kota Palestin, tidak akan ada keamanan di wilayah itu.

Dengan melakukan serangan gila, memusnahkan semua bangunan di Gaza dan membunuh ribuan warga Palestin, isu ini tidak akan selesai. Selagi asas isu ini tidak diperbaiki, Asia Barat dan konflik Palestin-Israel tidak akan berkesudahan.

Hentikan perselisihan faham dan kembali ke meja rundingan. PBB mesti menghantar tentera pengaman ke Palestin dan memberikan kawalan sempadan kepada mereka. Segala bantuan perlu diberikan tanpa syarat, dan pihak yang bertanggungjawab perlu dihukum dengan sewajarnya.

Dunia mesti bertanggungjawab, terutama dasar luar Amerika di Asia Barat, yang sejak lama adalah semata-mata untuk melindungi kepentingan Israel.

Selain itu, Britain juga sepatutnya dipertanggungjawabkan sebagai pencetus masalah berpanjangan ini melalui penubuhan negara haram Israel yang dilakukan secara bersendirian.

Jika dahulu, Asia Barat berada di bawah pemerintahan Uthmaniyyah. Namun, apabila pemerintahan Turki Uthmaniyyah runtuh, imperialisme mengakibatkan perpecahan dan krisis yang berterusan di seluruh dunia. Pertimbangkan dengan teliti.

Penulis adalah pelajar Sarjana Muda Usuluddin Universiti Malaya dan pembaca apakhabartv.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading