
TENTERA rejim Zionis Israel melanggar gencatan senjata pada pagi Selasa dengan melepaskan tembakan meriam di utara Semenanjung Gaza, khususnya di kawasan kejiranan Sheikh Radwan, dan di selatan Gaza, timur bandar Rafah dan Khan Younis.
Wartawan Al-Mayadeen di Gaza mengesahkan bahawa askar pengganas Israel melepaskan tembakan meriam dan peluru asap di barat kejiranan Sheikh Radwan ketika mereka berundur, dari bahagian tengah kejiranan menuju Rashid Street.
Selain itu, tembakan asap dilepaskan ke arah bangunan kediaman orang awam di Kem Pelarian Al-Shati, utara Gaza, lapor Al-Mayadeen.
Sementara itu, saluran TV Al-Arabiya melaporkan bahawa kereta kebal Israel melepaskan tembakan di selatan kawasan yang terkepung, timur bandar Rafah dan Khan Younis.
Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan Israel sebelum ini bersetuju dengan gencatan senjata selama empat hari bermula pada Jumaat, 24 November. Gencatan senjata itu dilanjutkan untuk tempoh dua hari pada Isnin.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, jumlah kematian dalam kalangan rakyat Palestin akibat serangan Israel meningkat kepada lebih 15,000 orang, termasuk lebih 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita.
Ketika Israel membebaskan beberapa rakyat Palestin, beribu-ribu lagi ditangkap di Tebing Barat
Sementara itu, palestinechronicle melaporkan bahawa pentadbiran Penjara Israel mula membebaskan tahanan Palestin pada pagi Selasa, sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan dengan Hamas.

Ketika artikel ini ditulis, beberapa orang awam Palestin telah dibebaskan dari penjara Israel, termasuk Nofooth Hammad, 16.
Pembebasan rakyat Palestin adalah sebahagian daripada pembebasan berjadual tiga wanita Palestin dan 30 kanak-kanak, sebagai pertukaran untuk 11 wanita dan kanak-kanak Israel oleh Hamas di Gaza.
Pertukaran tahanan hari ini sepatutnya menjadi yang terakhir dalam gencatan senjata empat hari antara Hamas dan Israel. Usaha saat akhir oleh Qatar dan pengantara lain, bagaimanapun, membawa kepada lanjutan tempoh dua hari lagi.
Media Israel berkata bahawa Tel Aviv telah bersetuju untuk membebaskan tambahan 50 tahanan Palestin jika Hamas terus membebaskan warga Israel yang ditahan di Gaza.
Sebelum ini, Kementerian Luar Qatar berkata Hamas telah membebaskan 69 tahanan, manakala Israel membebaskan 150 rakyat Palestin, mengesahkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk mencapai gencatan senjata kekal di Gaza.
Sejurus sebelum pengesahan mengenai lanjutan gencatan senjata, Israel telah berkata bahawa ia sedang menunggu persetujuan Hamas untuk melaksanakan lebih banyak pertukaran tahanan.
Hakikat bahawa Israel, bukan Hamas, yang mendesak untuk dilanjutkan menunjukkan bahawa rejim Zionis berminat dengan gencatan senjata itu.
Pendirian Israel hari ini nampaknya bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu baru-baru ini bahawa dia bersedia untuk kembali berperang dan memusnahkan Hamas sejurus selepas berakhirnya gencatan senjata.
Tetapi ketika membebaskan beberapa tawanan Palestin, tentera rejim Zionis telah mempercepatkan penangkapan terhadap rakyat Palestin lain di seluruh Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Menurut Kelab Tahanan Palestin, 260 rakyat Palestin telah ditangkap ketika gencatan senjata selama empat hari itu. Tahanan baharu itu ditambah kepada lebih 3,000 yang ditahan sejak 7 Oktober.







Leave a Reply