Oleh Dr Intan Farahana Abdul Rani
IBU bapa perlu menetapkan peraturan masa makan serta lebihkan aktiviti sediakan hidangan bersama. Membiarkan si kecil tersayang makan tanpa had bukan perkara yang perlu dibanggakan, mahu atau tidak setiap ibu bapa perlu akui makanan mempunyai kelebihan juga kelemahannya tersendiri apatah lagi sekiranya makan tanpa kawalan.
Menurut kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ibu bapa yang ‘terlanjur’ memberi makanan tanpa kawalan dan peraturan tentunya berasa kesal selain bimbangkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.
“Jika boleh, mahu berpatah semula”. Namun, keadaan ini pasti tidak semudah disangka. Untuk membolehkan kanak-kanak berubah 360 darjah daripada terbiasa mengambil makanan kurang bernutrisi kepada menolak mengambilnya langsung adalah sesuatu yang sungguh mencabar.
Oleh itu hasil dari kajian yang dijalankan bagi membina model Pendidikan Pemakanan oleh penyelidik UPSI, dapat dicadangkan beberapa usaha terbaik dalam usaha mengawal pengambilan makanan yang kurang sihat dan tidak berkhasiat si anak:
Tetapkan peraturan masa makan.
Perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah mengambil hidangan utama pada waktu sepatutnya bagi membantu mengekang masalah pemakanan tidak sihat dalam kalangan si anak.
Penting untuk dipertimbangkan juga adalah hidangan disediakan mengikut selera kanak-kanak dan ibu bapa bertanggungjawab memastikan si anak mengambil makanan berkhasiat.
Walaupun berdepan kesibukan bekerja, ibu bapa perlu bijak menguruskan masa dengan penetapan waktu makan si anak. Kanak-kanak yang terlepas waktu makan akan lebih cenderung mendapatkan makanan segera. Ini mendedahkan mereka kepada risiko kekurangan zat.
Lebih membimbangkan, kanak-kanak mengambil makanan segera berisiko menjadi obes, namun masih kekurangan nutrisi. Hal ini terjadi apabila mereka makan makanan berkalori tinggi, tetapi rendah nutrisi penting seperti vitamin dan garam mineral yang datang daripada sumber buah dan sayur.
Oleh itu, struktur dan rutin waktu makanan ini dapat membantu mengurangkan kegelisahan kanak-kanak bagi mengawal pengambilan makanan tidak berkhasiat. Walau bagaimanapun, ibu bapa boleh menjangkakan ada sedikit ‘pemberontakan kecil’ di peringkat permulaan.
Terangkan kenapa makanan ringan tidak baik secara jelas.
Anak-anak perlukan penjelasan yang baik kenapa makanan tidak berkhasiat boleh memberikan keburukan kepada mereka.
Beberapa kajian dalam bidang tingkah laku pemakanan telah mengambil kira perkembangan kognitif kanak-kanak iaitu kanak-kanak tidak dapat membezakan antara makanan utama dengan makanan ringan.
Si anak percaya bahawa makanan yang dimakan, masuk ke dalam perut dan tidak berlaku perubahan dalam badan. Kanak-kanak ini dapat menyebut makanan yang sihat, tetapi mereka tidak dapat menjelaskan mengapa.
Oleh itu, hasil kajian yang dijalankan oleh penyelidik UPSI ini adalah untuk meningkatkan kebolehan kanak-kanak membezakan makanan ringan yang tidak sihat dan mengubah pilihan makanan dengan mengambil makanan yang berkhasiat.
Walaupun kanak-kanak mungkin tidak dapat mengaitkan pemakanan yang sihat dengan kesihatan, namun dengan penerapan maklumat yang betul pada peringkat awal, menyediakan kanak-kanak agar dapat membuat perkaitan ini ketika mereka dewasa kelak.
Dengan menjelaskan hubungan antara kesihatan dengan pemakanan, hal ini dapat membantu si anak mengatasi tekanan untuk membuat pilihan makanan yang sihat kerana mesej berkaitan pemakanan tidak sihat yang disampaikan oleh media, rakan sebaya, dan strategi pemasaran industri makanan mendorong serta mempengaruhi pemilihan pemakanan yang tidak sihat dalam kalangan kanak-kanak.
Pengukuhan secara positif (positive reinforcement).
Ibu bapa merupakan fasilitator dalam membantu kanak-kanak di rumah bagi membentuk tabiat pemakanan yang sihat.
Namun, para ibu akan mengalami kesukaran untuk menyediakan sajian makanan sihat kepada kanak-kanak terutamanya kanak-kanak yang memilih makanan (picky eater) walaupun pelbagai strategi masakan dan hidangan digunakan bagi mengatasi masalah ini.
Oleh sebab penerimaan adalah pendorong utama pengambilan, strategi yang lebih kreatif diperlukan termasuk menyediakan ganjaran dalam bentuk makanan atau bukan makanan.
la adalah satu keadaan dimana kanak-kanak diberikan ganjaran jika sesuatu tugas diselesaikan atau perbuatan terpuji dilaksanakan bagi meningkatkan tingkah laku pemakanan yang baik.
Contohnya, kanak-kanak hanya diberikan stiker watak yang diminati atau snek kegemaran sekiranya selesai mengemas tempat tidur atau kerja sekolah disiapkan.
Menurut kajian-kajian lepas, kanak-kanak yang terlibat dengan aktiviti Pendidikan Pemakanan menunjukkan inisiatif untuk merasa makanan yang diberikan dan menunjukkan sikap yang positif untuk mencuba serta meminta untuk makan lebih banyak makanan sihat.
Oleh itu, pendedahan kepada makanan sihat melalui aktiviti pengukuhan secara positif tanpa menggunakan unsur paksaan untuk kanak-kanak mengambil makanan sihat oleh ibu di rumah dilihat sebagai pendekatan yang dapat memberi kesan positif terhadap penerimaan dan seterusnya pengambilan makanan berkhasiat si anak.
Bantu anak di dalam proses transisi.
Ibu bapa mahu menghentikan pengambilan makanan tidak berkhasiat yang sudah menjadi tabiatnya. la tidak boleh berlaku secara mengejut.
Pemakanan kanak-kanak kebiasaannya ditentukan oleh ibu bapa, terutamanya kanak-kanak di bawah usia enam tahun.
Semasa fasa pengenalan makanan pelengkap, si anak kurang menunjukkan isu berkaitan pemilihan makan sihat kerana masih dalam proses menerima makanan yang disediakan dalam bentuk puri.
Kemudian, setelah kanak-kanak mencapai kematangan fisiologi untuk duduk di kerusi, mereka diberikan makanan keluarga (family food) pada usia 2 tahun.
Menurut kajian, ketika ini isu berkaitan pemilihan makanan; termasuk pengambilan makanan lengkap dan berkhasiat muncul pada peringkat ini.
Proses transisi mengubah tabiat pemakanan si anak perlu bermula dari rumah. Namun begitu, berikan ruang masa dan dorong si anak untuk meningkatkan penerimaan terhadap pemakanan sihat melalui promosi pengambilan makanan berkhasiat secara lebih kerap tanpa paksaan.
Oleh itu, selain dari tadika, rumah adalah satu medium yang penting untuk mempromosikan pemakanan yang sihat apabila ibu bapa bertindak sebagai pendorong untuk meningkatkan tahap kesihatan kanak-kanak.
Sibukkan si anak dengan aktiviti sediakan hidangan bersama.
Curi dan luangkan masa yang ada untuk perbanyakkan interaksi sesama keluarga terutama ketika menyediakan dan menghidangkan makanan terutama ibu bapa bekerja.
Proses memberhentikan atau mengurangkan pengambilan makanan tidak berkhasiat perlu bermula pada peringkat awal kerana wujud peluang untuk membentuk tingkah laku pemakanan kanak-kanak yang sihat agar dapat dikekalkan sehingga dewasa.
Penyediaan hidangan utama bersama dengan si anak pasti memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap tingkah laku dan tabiat pemakanan mereka.
Disarankan juga agar aktiviti bersesuaian menggunakan strategi yang dapat membantu memberikan pengetahuan kepada si anak turut diselitkan ketika berinteraksi menyediakan hidangan keluarga agar mereka dapat membuat pemilihan pemakanan yang baik khususnya pengambilan makanan yang mencukupi mengikut saranan.
Antara aktiviti yang boleh dijalankan adalah membaca buku cerita yang mendedahkan tentang fungsi dan kepentingan pengambilan makanan dan menyediakan hidangan makanan utama bersama kanak-kanak.
Hal ini dilakukan agar dapat membentuk sikap penerimaan pemakanan yang positif dalam bentuk keinginan mencuba hidangan makanan yang disediakan.

Kesimpulannya, Pendidikan Pemakanan bermula dari rumah. Ibu bapa merupakan ‘role-model’ utama dalam menerapkan tabiat atau tingkah laku pemakanan yang sihat kepada si anak.
Oleh itu, penglibatan ibu bapa merupakan faktor utama bagi mengubah tabiat pemakanan si anak ke arah yang lebih sihat dan berkhasiat.

Dr Intan Farahana Abdul Rani adalah Penyelidik Pusat Penyelidikan Pedagogi & Inovasi (CPRI),
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).






Leave a Reply