Oleh Syed Abdullah Aljeffri bin Syed Zainal

PADA hari ini, isu rakyat Palestin merupakan isu global utama yang telah mendapat perhatian seluruh masyarakat dunia.

Hari demi hari, dunia diperlihatkan dengan suasana kehidupan yang memilukan dihadapi oleh rakyat Palestin dengan keadaan rumah-rumah mereka yang telah dibom, kematian ahli keluarga dan hidup dalam ketakutan walaupun berada di tanah air sendiri.

Dalam konteks kehidupan sebagai seorang Muslim, tanggungjawab mempertahankan dan menzahirkan rasa simpati terhadap saudara sesama Islam yang telah ditindas adalah suatu kewajipan yang perlu dituruti.

Konsep persaudaraan yang telah diperkenalkan di dalam Islam yang dikenali sebagai al-Ukhuwwah al-Islamiyyah merupakan tunjang utama yang perlu dihayati dalam diri setiap Muslim.

Setiap Muslim adalah bersaudara, tanpa mengira warna kulit mahupun bangsa dan perlu saling membantu apabila saudaranya berada dalam kesusahan.

Nabi Muhammad SAW juga telah mengumpamakan orang yang beriman sebagai sebuah bangunan yang saling mengukuhkan sebahagian yang lain dan seseorang tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.

Dalam mengaplikasikan rangka fikir yang didasari akidah Islam ini, tindakan mengambil berat dan menyatakan sokongan dalam apa-apa jenis bentuk bantuan terhadap rakyat Palestin adalah tindakan yang wajar dilaksanakan.

Dari sudut yang lain, negara Palestin merupakan sebuah negara yang menjadi tumpuan umat Islam kerana di dalamnya terdapat sebuah bandar yang mulia dikenali sebagai al-Quds ataupun juga disebut sebagai Baitulmaqdis.

Syeikh Yusuf Al-Qarḍāwī di dalam bukunya berjudul ‘Al-Quds adalah Urusan Setiap Muslim’ telah menggariskan pelbagai kelebihan bumi yang mulia ini dan kewajipan mempertahankannya.

Antaranya adalah al-Quds merupakan kiblat pertama umat Islam sebelum diubah ke Masjidil Haram di Makkah. Al-Quds juga merupakan bumi yang telah dipilih oleh Allah dalam peristiwa isra’ dan mi`raj Nabi Muhammad SAW ke langit daripada sekalian tempat di muka bumi ini.

Selain itu, al-Quds juga adalah bandar ketiga yang teragung di dalam Islam selepas Makkah dan Madinah. Tidak dilupakan juga bahawa al-Quds adalah bumi yang diturunkan banyak Nabi dan bumi yang penuh dengan keberkatan.

Oleh itu, umat Islam di seluruh dunia perlu bersatu hati dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang sedang dibedil dengan kejam oleh rejim Zionis Israel melalui segala bentuk bantuan yang mampu disumbangkan.

Umat Islam juga perlu terus mengikuti perkembangan keadaan saudara Muslim di sana khususnya serta mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin agar mereka terus diberi kekuatan dan ketabahan.

Penulis adalah mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading