
HOKI PIALA DUNIA REMAJA
SELEPAS tamat misi di Johor Bahru, skuad muda hoki negara bergegas pulang ke Kuala Lumpur mengerti banyak tugasan perlu dilakukan sebelum melangkah turun ke gelanggang menyahut cabaran Piala Dunia Remaja (JWC 2023).
Pengalaman baik dipelajari serta beberapa kelemahan yang ‘masih melekat’ dalam jentera pasukan disedari pengendali Muhamad Amin Rahim dan anak buahnya sepanjang tempoh kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) selama sembilan hari itu.
Pertandingan jemputan antarabangsa itu hadir tepat pada masanya menguji kemampuan sebenar pemain dan mereka perlu pantas belajar memperbaiki segala kesilapan dan kekurangan pada diri.

Dalam tempoh hampir empat minggu lagi tidak dinafikan skuad Young Tigers ini bakal menggalas tekanan ketika maruah menjadi pertaruhan dalam JWC selaku tuan rumah.
Mungkin pemain dan pegawai boleh membelek-belek kamus mereka mencari erti perkataan maruah yang tertera di dalamnya.
Elemen ini cukup penting kerana lazimnya mana-mana pasukan tuan rumah dalam pentas saingan terbesar tidak akan berundur dengan mudah malah mahu mencari kedudukan terbaik.
Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A membabitkan bekas juara, Australia yang juga naib juara di SOJC, baru-baru ini bersama juara dua kali JWC, Argentina dan Chile.
Melihat kepada nama pencabar, apa yang lebih pantas terbit dalam minda kita adalah dari manakah mata dapat dicuri untuk memasang impian mahu layak ke suku akhir kejohanan membabitkan 16 pasukan terbaik dunia.
Secara realistik, kita harus mencari ilham untuk merampas tiga mata apabila menentang Chile dan cuba meragut mata daripada Australia atau Argentina.
Dengan sorakan padu penyokong setia di laman sendiri, tiada apa yang mustahil jika skuad muda kita memiliki semangat perjuangan tinggi dan kepercayaan pada diri.
Dalam saingan SOJC, kita tidak berpeluang menentang Australia yang berada dalam Kumpulan A dan juga tidak tahu kekuatan semasa Argentina.
Hakikatnya dua pasukan gergasi ini jelas pilihan bagi kumpulan ini.
Pada saat ini pastinya banyak perkara berlegar dalam minda ketua jurulatih, Muhamad Amin untuk memperbaiki segala kepincangan yang wujud ketika persembahan menyeluruh anak didiknya belum cukup meyakinkan.
Ia perlu dilakukan pada kadar segera mengerti cabaran JWC yang bermula pada 5 sehingga 16 Disember ini.
Bekas pemain negara dan juga pakar pukulan sudut penalti itu mengakui skuad negara perlu mencari jawapan untuk bangkit secara pantas mengemaskan diri walaupun beranggapan aksi Young Tigers di SOJC boleh dipuji.
“Saya perlu memberi kredit kepada pemain kerana ada kesungguhan dan keinginan turun ke gelanggang untuk mencari kemenangan. Banyak yang dipelajari di Johor Bahru boleh menjadi bekalan berguna menjelang Piala Dunia Remaja nanti,” katanya dalam laman web Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Antara gergasi lain dalam edisi JWC kali ini adalah juara enam kali, Jerman, Belanda, Sepanyol, India, Belgium dan Korea Selatan.
Apapun, nada pertuturan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal pula berbeza dan lebih berterus terang betapa dia kurang puas hati dengan persembahan sepasukan dalam SOJC, baru-baru ini.
“Saya hanya akan berbohong jika saya kata saya gembira dengan persembahan skuad remaja kita.
“Apa yang nampak ketara kita biarkan gawang mudah dibocori serta gagal mendapatkan peratusan tinggi dalam penyudahan pukulan sudut penalti,” katanya.
Namun, dia turut mengutarakan aspek positif seperti kebangkitan pasukan yang menjaringkan empat gol ketika menentang Britain sebelum tewas 4-7 dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima sehingga kelapan.
“Apa yang kita perlukan adalah kemenangan ke atas Chile pada 5 Disember ini untuk menyalakan harapan dalam kempen di laman sendiri,” tambahnya.
Pemain akan diberikan tempoh rehat sebelum menyambung latihan pusat terakhir bagi menyahut cabaran JWC. Difahamkan, pemain juga akan menghadiri kursus motivasi selama tiga hari bagi meningkatkan tahap keyakinan diri.
MHC juga akan membawa semula pakar pukulan sudut penalti dari Australia, Chris Ciriello dan jurulatih penjaga gol dari Belanda, Martin Drijver.
Dalam saingan SOJC, Malaysia menyelamatkan maruah daripada menghuni tangga tercorot apabila berhempas pulas menewaskan Afrika Selatan 3-2 dalam saingan klasifikasi tempat ke-7/8.
Cuma apa yang menyenangkan sedikit adalah skuad remaja negara hanya tewas tipis dengan margin satu atau pun dua gol sahaja, iaitu 2-3 kepada New Zealand, 1-3 (India) dan 2-3 (Pakistan) dalam saingan peringkat kumpulan.
Sementara itu, Jerman muncul juara buat kali kedua dalam kejohanan ini selepas menewaskan Australia 3-1 menerusi penentuan pukulan penalti selepas terikat 0-0.
Majulah sukan untuk negara!
KEDUDUKAN TERAKHIR
FINAL
JERMAN…0 AUSTRALIA…0
(Jerman menang penalti 3-1)
TEMPAT KE-3
INDIA….3 PAKISTAN…3
(India menang penalti 6-5
TEMPAT KE-5
BRITAIN…5 NEW ZEALAND…3
TEMPAT KE-7
MALAYSIA…3 AFRIKA SELATAN…2






Leave a Reply