Oleh Dr Hassan bin Suleiman
MUNGKIN ada yang tertanya-tanya, bagaimanakah perasaan Safiyyah binti Huyay bin Akhtab, yang telah kehilangan bapa, abang serta suaminya dalam peperangan ketika menentang tentera Rasulullah SAW, namun kemudian beliau menjadi isteri kepada seseorang yang telah menyuruh untuk memerangi keluarga beliau sendiri iaitu Rasulullah?
Persoalan ini dapat dirungkai dengan beberapa fakta sejarah demi menjawab syubhat dari mereka yang menentang pensyariatan Islam. Jadi siapakah sebenarnya isteri Nabi SAW, Safiyyah binti Huyay?
Beliau merupakan Ummul Mukminin, Safiyyah binti Huyay ibn Akhtab bin Sa’nah, manakala bapanya pula merupakan ketua Bani Nadhir, dari suku Lawi bin Nabi Allah Yaa’qub bin Ishaq bin Ibrahim r.anhum.
Selain itu, beliau juga berasal dari keturunan Nabi Harun bin Imran (abang kepada Nabi Musa AS). Namun mengapakah beliau dinamakan “Safiyyah”? Nama asal beliau sebenarnya adalah Habibah, namun beliau dinamakan dengan “Safiyyah” kerana beliau merupakan seorang yang terpilih lagi suci jiwanya pada pandangan Rasulullah SAW ketika dalam peperangan Khaibar.
Walaupun ditawan, tetapi Safiyyah tetap terkesan dengan bagaimana Islam menguruskan serta menjaga tawanan dan akhirnya beliau pun memeluk Islam.
Betapa indahnya setelah beliau memeluk Islam, beliau menjadi seorang isteri kepada Rasulullah SAW, dan juga seorang ibu kepada seluruh orang beriman (Ummul Mukminin) sebagaimana yang Allah SWT nyatakan dalam al Quran: “Dan isteri-isterinya (Muhammad SAW) menjadi ibu kepada mereka”, (Surah al Ahzab: 6).
Allah SWT juga telah memberikan kepada Safiyyah r.anha, sebuah kemuliaan yang tidak diberikan kepada isteri-isteri Nabi SAW yang lain, iaitu beliau merupakan dari keturunan nabi, pakciknya seorang nabi, dan suaminya juga seorang nabi, kehidupannya sangat berkait rapat dengan para Nabi.
Diriwayatkan dalam Sunan at-Tirmidzi, daripada Anas r.anhu, beliau berkata:
Hafsah telah mengatakan kepada Safiyyah, “Wahai Anak Yahudi!”, lalu Safiyyah pun menangis, tiba-tiba Rasulullah SAW masuk ke rumah dan melihat beliau sedang menangis, kemudian Rasulullah bertanya: “Kenapa awak menangis?”, beliau pun menjawab: “Hafsah kata saya ini anak Yahudi”, maka Rasulullah SAW memujuknya dengan mengatakan: “Awak kan daripada keturunan nabi, pakcik awak seorang nabi, awak juga isteri kepada seorang nabi, bukankah itu sudah cukup mulia?” kemudian Baginda mengatakan kepada Hafsah: “Takutlah kepada Allah wahai Hafsah”.
Hadis ini menunjukkan bahawa Safiyyah merupakan daripada keturunan Nabi Harun bin Imran AS, dan pakciknya pula ialah Nabi Musa bin Imran AS, dan beliau juga merupakan isteri kepada Rasulullah SAW, yang merupakan sebaik-baik manusia.
Rasulullah SAW juga tidak pernah “bersama” dengan Safiyyah kecuali setelah beliau memeluk Islam, kemudian dimerdekakan dan menjadi isteri Baginda SAW. Dari sini jelas menunjukkan bahawa Baginda tidak menidurinya ketika beliau masih lagi seorang Yahudi dan hamba.
Ketika mengahwininya, Rasulullah SAW membebaskannya daripada menjadi seorang hamba tawanan, dan menjadikan pembebasan itu sebagai mahar untuknya, kemudian Baginda mengadakan walimah sempena pernikahan mereka.
Dinyatakan dalam kitab Tabaqat al Kubra, daripada Ibrahim bin Jaafar, daripada ayahnya, dia berkata:
Ketika Safiyyah datang kepada Rasulullah SAW, Baginda mengatakan kepadanya:
“Ayahmu dahulu merupakan seseorang yang paling bencikan aku dari kalangan Yahudi sehinggalah Allah mengambil nyawanya.” Kata Safiyyah: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah mengatakan dalam al-Quran, ‘Setiap orang tidak akan memikul dosa orang lain, ia hanya akan memikul dosanya sendiri’, kemudian Baginda mengatakan: “Kamu pilihlah, kalau kamu pilih Islam, maka aku akan memperisterikanmu, dan kalau kamu pilih Yahudi, maka aku akan bebaskan kamu kemudian kamu kembalilah kepada kaummu.”
Beliau pun menjawab: “Wahai Rasulullah, aku sukakan Islam, dan aku sudah mempercayaimu sebelum engkau mengajakku, kerana aku telah mengikuti perjalananmu, aku sudah tiada keperluan lagi terhadap Yahudi, aku juga sudah tiada ayah ataupun abang daripada kalangan Yahudi, tapi engkau masih memberikanku pilihan, untuk aku pilih antara kekufuran atau Islam? Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih aku cintai berbanding kemerdekaan mahupun pulang ke pangkuan kaumku.”
Baginda menjawab: “Jadi biarlah aku jadikan engkau sebagai isteriku”.
Dalam Sahih al Bukhari pula, daripada Anas ibn Malik r.anhu, beliau berkata:
“Kami tiba di Khaibar dan ketika Allah menolong Rasul-Nya untuk membuka kubu itu, kecantikan Safiyyah binti Huyay bin Akhtab (yang suaminya telah terbunuh sedangkan mereka baru sahaja berkahwin) diceritakan kepada Rasululah. Kemudian, Nabi SAW memilihnya untuk dijadikan sebagai isteri Baginda sendiri dan berangkat bersamanya, dan ketika kami sampai di tempat bernama Sidd-as-Sahba, Safiyyah telah suci daripada haidnya, kemudian Rasulullah SAW menikahinya.
“Selepas itu, Hais (iaitu hidangan Arab) disiapkan di atas tikar kulit kecil. Kemudian Nabi SAW berkata kepada saya: “Ajaklah orang-orang di sekitar kamu”, maka itu seolah-olah jamuan perkahwinan Nabi SAW dan Safiyyah. Kemudian kami terus menuju Madinah dan saya melihat Nabi, membuat semacam bantal dengan jubahnya di belakangnya (di atas untanya). Kemudian Baginda duduk di sebelah untanya dan meletakkan lututnya untuk Safiyyah meletakkan kakinya, untuk menunggang naik (ke atas unta).”
Nabi SAW juga pernah menceritakan kepada Safiyyah r.anha tentang apa yang telah berlaku di antara Baginda dan ayah Safiyyah.
Baginda selalu bercerita tentang perkara itu, dan Baginda tetap selalu memohon maaf kepada Safiyyah atas apa yang telah berlaku, sehinggalah Safiyyah tidak merasa benci terhadap Baginda. Oleh itu, Safiyyah r.anha sebenarnya bukanlah hidup bersama Rasulullah SAW dalam keadaan beliau tidak suka mahupun terpaksa sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian orang.
Bahkan, mereka hidup bersama setelah keislaman Safiyyah, setelah mereka berkahwin dan setelah hilangnya rasa benci tersebut daripada dalam diri Safiyyah sendiri. Oleh sebab itu, beliau dianugerahkan oleh Allah SWT dengan kemuliaan untuk menjadi seorang ibu kepada orang-orang beriman.
Diriwayatkan dalam Sahih Ibnu Hibban, bahawa Safiyyah berkata:
“Sebenarnya dahulu aku sangat bencikan Rasulullah SAW, kerana Baginda telah membunuh suamiku, ayahku, abangku, namun Baginda tetap sentiasa memohon maaf kepadaku, Baginda ada mengatakan: “Suami engkau yang dahulu, dia selalu mengajak ramai orang Arab untuk bencikan aku, melawan aku, dia pernah buat itu dan ini”, sehinggalah aku tidak lagi merasa benci kepada Rasulullah (kerana Baginda selalu memohon maaf)”.
Safiyyah r.anha juga pernah bermimpi bahawa beliau akan berkahwin dengan Rasulullah SAW, sebagaimana apa yang ditafsirkan oleh bekas suaminya sendiri ketika dia masih hidup. Perkara ini jelas dibuktikan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Ibn Hibban, bahawa Abdullah bin Umar r.anhuma berkata: Rasulullah SAW ternampak kesan lebam pada wajah Safiyyah, lalu Baginda bertanya: “Wahai Safiyyah, kenapa ada kesan lebam di wajahmu?”, kemudian Safiyyah pun menjawab: “Ini kesan lebam ketika aku masih lagi bersama bekas suamiku, ketika itu aku tidur di pangkuannya dan aku bermimpi, aku melihat seolah ada cahaya bulan di pangkuanku, lalu aku terbangun dan aku ceritakan hal itu kepadanya, tiba-tiba dia menamparku sambil berkata: Adakah engkau ingin berkahwin dengan Muhammad?”
Terdapat sebuah persoalan yang sangat penting untuk kita fikirkan iaitu, apakah sebenarnya tujuan Nabi SAW menikahi Safiyyah? Adakah ianya hanya disebabkan kecantikannya? Tentulah tidak! Bahkan, tujuan Baginda SAW menikahinya adalah disebabkan kemuliaan dan ketinggian darjat Safiyyah.
Di samping itu, disebabkan Safiyyah telah kehilangan keluarga dan kaumnya, maka Baginda menikahinya sebagai ganti yang lebih baik daripada kehilangan tersebut. Tambahan pula, pernikahan Baginda bersama Safiyyah juga mewujudkan hubungan perkahwinan campuran antara kaum Baginda dan Yahudi, yang mana diharapkan ianya dapat mengurangkan permusuhan atau kebencian mereka terhadap Islam.
Selain itu, pernikahan tersebut juga menjadi batu asas kepada penerimaan mereka terhadap dakwah Islam yang dibawa oleh Baginda SAW. Safiyyah r.anha sendiri telahpun mengetahui tujuan Baginda yang mulia itu, dan beliau sendiri dapat merasai petanda-petanda tujuan mulia itu dalam rumahtangganya bersama Rasulullah SAW.
Maka sudah pasti beliau dapat merasakan perbezaan di antara kegelapan Yahudi dan cahaya Islam. Bahkan, beliau juga dapat merasakan kemanisan iman, dan beliau amat terkesan dengan akhlak Rasulullah SAW sehinggakan cintanya terhadap Allah SWT melebihi daripada cintanya terhadap ayahnya, suaminya, keluarganya serta umat manusia seluruhnya.
Ketika Rasulullah SAW jatuh sakit, Safiyyah r.anha sendiri dapat merasai perasaan Baginda ketika itu, beliau sendiri berharap dan membayangkan seolah beliau berada di tempat suaminya yang tercinta dan dapat menggantikan tempatnya.
Ibnu Hajar telah menyatakan dalam kitabnya ‘al-Isabah’, manakala Ibnu Sa’id menyatakan dalam ‘Tabaqat al-Kubra’, bahawa Zaid bin Aslam r.anhu telah berkata:
“Ketika para isteri Nabi SAW sedang berkumpul beramai-ramai di saat Baginda dalam keadaan nazak, Safiyyah binti Huyay ada mengatakan: “Demi Allah! wahai Rasulullah, biarlah aku yang ganti tempat engkau, biar aku yang rasai kesakitan ini, itu lebih aku sukai daripada melihat engkau sakit”, mendengar kata-kata beliau tersebut, para isteri Nabi seolah tidak mempercayakannya, namun Baginda SAW terus mengatakan: Sesungguhnya Safiyyah memang benar-benar memaksudkan apa yang dikatakannya”.
Semoga Allah meredhai Safiyyah binti Huyay, dan wanita pada zaman ini sangat perlu untuk mencontohi beliau. Mereka tidak sepatutnya mencontohi selebriti penyanyi ataupun pelakon.
Safiyyah r.anha merupakan seorang wanita yang ideal dan mulia, bijak, berketurunan mulia, cantik, bahkan kecantikannya membuatkan para isteri Nabi yang lain cemburu dengannya, sehinggakan Zainab binti Jahsy mengatakan: “Dia lebih cantik dari kami semua”.
Oleh sebab itu, kita dapat fahami mengapakah sebenarnya para isteri Nabi yang lain seolah berlumba-lumba ingin mengalahkan Safiyyah r.anha.
Catatan sejarah telah merakamkan beberapa episod kehidupan, yang menunjukkan betapa lembut dan bijaknya Safiyyah r.anha, di antaranya adalah apabila seorang hamba wanita datang kepada Umar bin al-Khattab dan mengatakan:
“Sesungguhnya Safiyyah sukakan hari Sabtu (seperti Yahudi) dan sering membina hubungan dengan kaum Yahudi”, lalu Umar r.anhu bertanya sendiri dengan Safiyyah berkenaan perkara tersebut, kemudian Safiyyah menjawab: “Sebenarnya aku sudah tak suka dengan hari Sabtu sejak Allah gantikan untuk aku dengan hari Jumaat, dan aku membina hubungan dengan Yahudi hanyalah disebabkan aku berasal daripada kalangan merek.”
Lalu Safiyyah bertanya kepada hamba wanita tersebut sendiri: “Kenapa engkau cakap seperti itu tentang aku, seolah ingin memburukkan namaku?” Hamba itupun menjawab: “Syaitan yang membuatkan aku untuk bercakap seperti itu.” Kata Safiyyah kepadanya: “Pergilah, engkau bebas sekarang”.
Safiyyah r.anha juga merupakan seseorang yang sentiasa memberikan nasihat kepada para sahabat dan membimbing mereka serta mengingatkan mereka kepada Allah SWT.
Sebagai contoh kita dapat lihat apabila beberapa orang sahabat berkumpul di kawasan biliknya sambil berzikir dan membaca al-Quran, namun ketika mereka membaca sepotong ayat al-Quran yang mempunyai tanda untuk bersujud tilawah, maka mereka semua pun bersujud.
Kemudian, Safiyyah yang sedang berada di belakang tirai, berkata kepada mereka:
“Kamu sudah bersujud dan membaca al-Quran,tapi kenapa kamu tidak menangis?”. Kemungkinan ayat tersebut adalah seperti yang Allah SWT firmankan:
﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ* الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ* أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ دَرَجَاتٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ﴾
Terjemahannya:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah (2). Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka (3). Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga) (4) (Surah al Anfal)
Akhir sekali, Safiyyah r.anha juga sempat hidup sezaman dengan para Khulafa’ ar-Rasyidin serta Muawiyah r.anhu, dan sebelum beliau wafat, beliau telah mewasiatkan sekitar seribu dinar untuk Aisyah binti Abu Bakar as-Siddiq r.anha, kemudian apabila beliau telah wafat pada tahun ke-50 Hijrah, beliau dimakamkan di perkuburan Baqi’.
Begitulah kisah salah seorang srikandi Islam, Ummul Mukminin Safiyyah binti Huyay, semoga Allah meredhainya dan seluruh Ummul Mukminin.
Diharapkan coretan berkenaan sejarah Srikandi yang mulia ini dapat memberikan ibrah kepada mereka yang mencintainya, dan menjadi sebuah petunjuk kepada mereka yang membencinya. Wallahua’alam.

Dr Hassan bin Suleiman adalah Assist. Professor, Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh,
Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Rujukan
1. Abu Isa Muhammad bin Isa at-Tirmidzi, al-Jami’ as-Sahih Sunan at-Tirmidzi, (Beirut: Dar al-Gharb al-Islami, 1998).
2. Muhammad bin Saad bin Muni’ Abu Abdillah al-Basri, at-Tabaqat al-Kubra, (Beirut: Dar Sadir, 1968).
3. Ibnu Kathir, Abu al-Fida’, Ismail bin Umar, al-Bidayah wa an-Nihayah, (Giza: Dar Hijr, cet 1, 1997).
4. Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim, al-Adab al-Mufrad, (Beirut: Dar al-Basyair al-Islamiyah, cet 3, 1989).
5. Ibnu Hibban, Muhammad bin Hibban bin Ahmad, Sahih Ibn Hibban, (Beirut: Muassasah ar-Risalah, cet 2, 1993).
6. Ibnu Hajar, Ahmad bin Ali, Abu al-Fadhl al-Asqalani, Fathul Bari, (Beirut: Dar al-Ma’rifah, cet 2).
7. Ibnu Hajar, Ahmad bin Ali, Abu al-Fadhl al-Asqalani, al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah, (Kaherah: Dar al-Jiil, 1992).
8. An-Nawawi, Muhyiddin Abu Zakariyya, Yahya bin Syaraf, Syarh Muslim bi Syarh an-Nawawi, (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, 1987).






Leave a Reply to Ummel EmeeraCancel reply