Oleh Razali Zakaria

DALAM ayat 68 hingga 69, surah an-Nahl, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia (68).”

Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir (69).”

Dalam sahih Bukhari dan Muslim dari Abul Mutawakkil dari Abu Sa’id al-Khudri RA berkata:

“Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad SAW lalu berkata: ‘Sesungguhnya saudaraku sakit perut (cirit-birit)’. Rasulullah SAW bersabda: ‘Berilah dia minuman madu’. Kemudian, dia memberi saudaranya minum madu.

Lalu dia datang semula dan berkata: ‘Saya telah pun memberi minum dia dengan madu tetapi penyakit bukan berkurangan melainkan bertambah.’ Rasulullah SAW menyuruhnya agar meneruskan meminum air madu sehingga tiga kali lagi.

Kemudian, lelaki itu datang sekali lagi. Rasulullah SAW masih menyuruhnya meneruskan meminum air madu tetapi lelaki itu menjawab,’Saya telah memberinya minuman madu tetapi sakitnya masih bertambah.’

Lalu Rasullullah SAW berkata:’Allah benar dan perut saudaramu itu yang berbohong.’ Kemudian Rasulullah SAW sendiri memberi minum madu kepada lelaki tersebut dan akhirnya sembuh.

Lebah lalat – Apis cerana

Semakin banyak hutan kini telah bertukar menjadi ladang sawit atau dibangunkan menjadi kawasan perumahan dan perindustrian. Oleh itu, tidak peliklah jika sering didapati lebah bersarang di kawasan kediaman.

Saya pulang ke rumah ibu saya di Kampung Panggas Kecil, Chuping, Perlis, dan mendapati lebah lalat (Apis cerana) membuat sarang di sepohon pokok berhampiran rumah.

Lebah lalat ini dikenali juga sebagai ‘lebah madu timur’, ‘lebah madu Asiatik’ atau ‘lebah madu Asia’ yang banyak didapati di Malaysia, tetapi jarang membuat sarang berhampiran koloni manusia.

Selain menghasilkan madu yang berharga, lebah sebenarnya memainkan peranan penting dalam kelestarian biodiversiti. Lebah terletak pada permulaan rantai makanan.

Ia bermula dengan sistem pendebungaan bunga yang akan menjadi buah. Kemudian buahnya menjadi makanan haiwan herbivor seperti tupai yang kemudiannya menjadi makanan haiwan karnivor seperti harimau. Jika lebah hilang, ekosistem akan runtuh.

Menurut MARDI, habitat lebah dan kawasan mencari makan semakin berkurangan. Populasi lebah juga semakin berkurangan. Dengan perubahan iklim dan penggunaan racun serangga secara meluas dalam pertanian, lebah diancam kepupusan.

MARDI kini melancarkan ‘Jom selamatkan lebah!’, menerusi Persatuan Penyelamat Lebah Malaysia.

Tip daripada saintis MARDI, Dr Suri Roowi:

Bagaimana cara untuk menentukan madu itu asli atau tidak?

Jawapan – Menurut kaedah tradisional, keaslian madu dengan merujuk kepada beberapa kaedah ringkas. Di antaranya adalah:

a. Madu asli akan berbentuk hexagon (segi enam) bila digoyang dalam gerakan memusing dalam semangkuk air;
b. Madu asli membenarkan mancis yang telah dicelup ke dalamnya menyala walaupun madu masih ada di kepala mancis – madu asli atau tiruan akan tetap menyala jika kandungan airnya rendah; dan
c. Madu asli tidak membentuk mendapan walaupun di simpan bertahun-tahun.

Maklumat lain:

a. Madu yang banyak khasiat adalah madu yang mempunyai pelbagai warna contohnya warna kuning emas, warna gelap, contohnya perang;
b. Antara komponen warna dalam madu dipanggil antosianin dan bahan ini termasuk dalam kumpulan flavonoid (antioksidan). Bahan antioksidan yang diterangkan dalam ayat itu adalah bahan penawar kepada manusia;
c. Ini menunjukkan bahawa Al-Quran bukan perkataan manusia dan ianya adalah Kalam Allah yang diturunkan 1400 tahun dahulu. Sains baru sahaja menjumpai komponen warna/antioksidan boleh bertindak sebagai ubat atau penawar;
d. Ayat ini jelas menunjukkan bahawa makanan khususnya madu boleh bertindak sebagai ubat atau penawar penyakit. Dalam lain perkataan – `Food as Medicine’; dan
e. Bahan berkhasiat ini boleh dianalisis menggunakan alatan makmal yang dikenali sebagai HPLC
Kajian saya menunjukkan madu kelulut tinggi khasiat berbanding madu biasa. Dapatan kajian juga madu kelulut asli ada yang mempunyai warna seperti susu tetapi kebanyakkan madu kelulut berwarna emas, perang (pekat atau pudar).

Adakah madu boleh disimpan dalam peti ais?

Jawapan – Madu sebaiknya disimpan dalam peti ais (bahagian bawah) atau suhu bilik (jika telah dibuang airnya). Ini adalah kerana madu mengandungi enzim dan akan rosak jika didedahkan pada suhu tinggi.

Molekul madu contohnya karbohidrat akan berubah kepada hydroxymethylfurfural jika didedahkan pada suhu tinggi seperti dimasak atas dapur atau diletakkan dalam bonet kereta pada suhu panas.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading