
TIDAK dinafikan faktor risiko kecederaan satu elemen cukup menakutkan buat semua pasukan apabila mengorak langkah pada kejohanan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 yang bermula di Johor Bahru, hari ini.
Malam ini (Jumaat), tuan rumah, Malaysia akan turun ke gelanggang menentang New Zealand di Stadium Hoki Taman Daya untuk mencari rentak terbaik sambil cuba elak kekalahan di laman sendiri.
Namun, seperti lapan pasukan jemputan lain, anak didik Muhamad Amin Rahim pastinya tidak mahu terjebak menanggung isu kecederaan menimpa pemain tonggak ketika kancah Piala Dunia Remaja (JWC) 2023 hanya berbaki kurang enam minggu lagi.
SOJC tidak dinafikan satu pentas saingan amat penting untuk menilai kemampuan terkini semua pasukan sebelum kejohanan elit di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bermula pada 5 sehingga 16 Disember ini.
Kecuali Britain, semua tujuh pasukan lain – juara bertahan, India, Australia, Jerman, Pakistan, Afrika Selatan, New Zealand dan tuan rumah, Malaysia sudah layak secara merit ke JWC.
Jadi saingan di Johor Bahru ini boleh dilabel sebagai mini-Piala Dunia Remaja.
Cuma, Britain yang tidak layak ke JWC pasti akan bermain sungguh-sungguh tanpa bimbang risiko kecederaan untuk mengintai peluang menjadi juara kali ini.
Bicara ini bukan untuk membuat satu andaian bahawa tujuh lagi pasukan, termasuk Malaysia akan ‘bermain secara selamat’. Matlamat mereka sama – mempamerkan mutu permainan terpuji untuk mengejar kedudukan terbaik.
Pengurus pasukan Young Tigers, I Vikneswaran beranggapan pemain negara akan cuba mencari ‘satu motivasi baru’ dengan memburu kemenangan pertama ke atas lawan bergelar Black Sticks itu, malam ini.
Beliau berkata dia dapat melihat sifat ghairah pada pemain skuad negara untuk mencari keputusan positif di SOJC.
“Kami tidak mahu menambah tekanan kepada pemain kerana mengerti JWC adalah matlamat lebih penting.
“Apa yang kami minta daripada setiap pemain adalah turun ke gelanggang memberi persembahan terpuji dan cuba mengilhamkan kemenangan pertama,” kata beliau yang lebih mesra dengan panggilan Vicky.
Pengurus itu juga ceria dan bersemangat selepas membantu Kuala Lumpur menamatkan kemarau tanpa gelaran selama 12 tahun apabila menjuarai Piala Tun Razak, minggu lalu. Dalam final mereka menewaskan Melaka di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Vicky juga menjadi pengendali pasukan yang memacu KL muncul juara kali terakhir pada 2011.
Sementara itu, pada firasat ketua jurulatih, Amin Rahim, tempoh kejohanan SOJC akan dapat meluangkan kesempatan bagi anak didiknya memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan.
Dia juga mahu setiap pemain lebih bersifat tanggungjawab untuk sedar dan memperbaiki kesilapan masing-masing.
“Saya tidak mahu mereka terasa selesa atau mengambil mudah dengan tugasan mereka di atas padang,” katanya dalam laman web Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Dia berharap anak buahnya mengerti apa harus dilakukan dalam aksi SOJC sambil mengingatkan mereka pada ketika sama usah lupa misi utama tetap terarah ke Piala Dunia Remaja.
Lawan mereka, New Zealand yang membuat kemunculan kali ketujuh di sini tampil menyuarakan betapa mereka mengidamkan penyudah podium bagi edisi kali ini.
Pencapaian terbaik mereka adalah tempat keempat pada 2014 dan tidak dinafikan dengan barisan terbaik mereka ghairah mahu mencari tiga mata dalam perlawanan pembukaan.
Pengurus pasukan New Zealand, Sunjay Ganda berkata matlamat ke sini adalah untuk mendapatkan senarai terakhir pasukan ke JWC. Ketika sama juga memberi peluang kepada beberapa pemain yang kurang mendapat peluang beraksi dalam perlawanan antarabangsa sebelum ini.
“Ini adalah peluang pertama bagi pemain untuk keluar dari New Zealand dan beraksi sepanjang tahun ini. Jadi, pengalaman dianggap penting pada kejohanan ini.
“Kami mahu memberi pemain masa yang cukup beraksi di atas padang dan ketika sama mencuba permainan taktikal kami juga,” katanya.
Tahun lalu, India muncul juara selepas menewaskan Australia 5-4 menerusi penentuan penalti strok selepas kedudukan terikat 1-1 pada aksi final.
India yang gah menjuarai Piala Remaja Asia di Oman, Januari lalu nampak mantap untuk mempertahanan gelaran SOJC dengan bekalan pemain penuh kemahiran. Jaguh benua ini disebut mampu menjadi ancaman besar kepada semua pasukan.
Sementara itu, bekas juara, Jerman pula hadir berbekal ramai pemain skuad senior untuk memberi cabaran memburu mahkota kali ini.
Ketua jurulatih, Rein van Ejik menyuarakan pasukan ke SOJC adalah barisan hampir sama bagi cabaran ke JWC, Disember ini.
“Kami datang untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia dan juga bagi persiapan terakhir sebelum JWC,” katanya kepada portal berita, New Straits Times.
Perlawanan lain pada hari pertama (27 Oktober) ialah India menentang Pakistan dan Australia menentang Britain.

Majulah sukan untuk negara!
JADUAL
HARI INI (27 Oktober)
India mln Pakistan (4.05 ptg)
Australia mln Britain (6.05ptg)
MALAYSIA mln New Zealand (8.35 mlm)
ESOK (28 Oktober)
Jerman mln Afrika Selatan (4 ptg)
(Nota: semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, JB)






Leave a Reply