
KALAU tak jerit, orang tak dengar.
Mungkin itu mesej mahu disampaikan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang berjaya menarik pembabitan Hot FM dan KOOL101 selaku rakan rasmi bagi melancarkan penganjuran kejohanan Piala Dunia Remaja 2023.
Gandingan kedua-dua stesen radio di bawah Media Prima Audio itu adalah satu inisiatif bagi menarik kunjungan orang awam ke Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bagi menonton saingan elit membabitkan 16 pasukan terbaik yang bakal bermula pada 5 sehingga 16 Disember ini.
Hot FM dan KOOL101 akan bergandingan bersama MHC selama lima minggu untuk mempromosikan kelancaran Piala Dunia bagi tujuan meningkatkan pengetahuan dan minat mengenai kejohanan ini.
Mereka akan mengumumkan perkembangan terkini mengenai pertandingan, promosi menerusi media sosial selain memberi maklumat terkini mengenai profil setiap pemain skuad negara secara eksklusif kepada pendengar tempatan.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menghargai kerjasama seumpama ini yang pada firasatnya amat diperlukan oleh tuan rumah pada saat-saat seperti ini.
Beliau percaya promosi dan segala maklumat disampaikan oleh stesen radio ini dapat meningkatkan rasa minat untuk menarik lebih ramai penonton hadir di gelanggang memberi sokongan padu kepada pasukan muda negara.
“Ramai sedar permainan hoki sudah lama wujud di negara ini. Namun, ia masih belum popular seperti bola sepak. Cuma kita gembira tahap minat kepada hoki makin meningkat kebelakangan ini.
“Kami yakin menerusi Piala Dunia Remaja akan muncul beberapa bintang masa depan memperagakan kelibat masing-masing. Ini akan memberi satu petanda positif bagi mendekatkan orang awam dengan hoki dan ketika sama mencipta kelab penyokong yang lebih besar,” kata Subahan.
Beliau juga menambah, bermula sekarang kedua-dua stesen ini akan bantu mewar-warkan promosi kejohanan agar dapat ‘memikat pendengar’ untuk hadir beramai-ramai ke stadium.
Katanya, MHC bukan saja mahu menggalakan peminat hoki tanah air yang pernah bermain, berminat atau menonton ke gelanggang tetapi juga pelajar sekolah.
“Kejohanan ini akan berlangsung ketika musim cuti sekolah dan saya minta lebih ramai anak sekolah datang dan menyaksikan aksi pemain muda negara yang akan menjadi bintang negara,” katanya dalam sidang media pengumumkan rakan rasmi Piala Dunia Remaja 2002 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Isnin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran berkata antara kegiatan menarik dirancang adalah satu segmen mengetengahkan personaliti dan juga pemain. Selain itu, beberapa acara menarik akan diadakan untuk menarik orang ramai hadir menyaksikan perlawanan bertaraf dunia.
“Namun, apa yang kami lebih penting adalah mengenai barisan pemain kita. Masih lagi ramai belum mengenali siapa mereka dan kami mahu membantu menonjolkan diri dan bakat yang ada menerusi sesi temubual.
“Selain itu kami juga mahu memberi pengetahuan tambahan kepada pendengar mengenai adat permainan hoki. Kami anggap elemen seperti ini penting dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai,” katanya.
Antara yang turut hadir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif MHC, S Nishel Kumar, Pengurus Kejohanan Piala Dunia Remaja, Brian Fernandez, Timbalan Pengarah Kumpulan Hot FM, KOOL101 dan Digital, Shah Hayatudin serta Pengarah Eksekutif Hot FM, Raja Khairil.
Kali terakhir Malaysia menjadi hos adalah pada 2009 sebagai tuan rumah bersama dengan negara jiran, Singapura apabila kejohanan itu diadakan di Johor Bahru.
Ini adalah kali keempat kita akan menjadi tuan rumah. Malaysia menjadi tuan rumah buat julung kali pada 1982 di Stadium Tun Abdul Razak yang baru dibuka di Jalan Duta dan kedua pada 1989 di Ipoh.
Sementara itu, Subahan turut menyuarakan pandangan peribadi apabila mahu melihat skuad negara dapat layak ke saingan suku akhir di Piala Dunia Remaja kali ini.
“Sasaran awal kami adalah mara ke suku akhir. Kami akur berada dalam kumpulan sukar membabitkan Australia, Argentina dan Chile. Chile pun bagus juga.
“Cabarannya tetap sama jika pasukan negara diundi dalam kumpulan lain,” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A dengan Australia dan Argentina dianggap barisan liat manakala Kumpulan B menyaksikan bekas juara, Jerman akan bertembung dengan Afrika Selatan, Perancis dan Mesir.
Saingan Kumpulan C membabitkan India, Kanada, Korea Selatan dan Sepanyol manakala Belgium, Belanda, New Zealand dan Pakistan melengkapkan Kumpulan D.
Dalam perkembangan sama, Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 bakal menjadi ke pentas penilaian terakhir buat skuad negara sebelum melangkah ke Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur, Disember ini.
SOJC dijadualkan bermula Ahad ini dan Malaysia akan menguji tahap kemampuan 20 pemain apabila bertembung dengan barisan handalan seperti Jerman, India, Australia dan Pakistan.
“Saya menghargai Persatuan Hoki Johor menganjurkan kejohanan ini. Kalau dilihat senarai negara bertanding semua pasukan yang akan beraksi di Johor cukup kuat,” kata Subahan.
Kejohanan membabitkan lapan pasukan ini dianggap sebagai mini-Piala Dunia Remaja 2023 yang menjadi pentas ‘pemanas badan’ sebagai persiapan terakhir.
Majulah sukan untuk negara!







Leave a Reply