
TIDAK dinafikan skuasy menjadi ‘bahan cerita paling menarik’ dibaca oleh peminat sukan di tanah air susulan dua pingat emas disumbang oleh Ng Eain Yow dan S Sivasangari dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.
Sekalipun kejayaan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang gah mara ke saingan separuh akhir acara badminton beregu lelaki, sukar membayangi gemilang dilakar barisan muda skuasy negara dalam acara raket ini.
Jelas, suasana dirakamkan di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou menceritakan segala drama dan emosi serta tangisan dalam kalangan pemain dan pegawai yang berpeluk-pelukan tanda bangga atas pencapaian mereka.

Sivasangari dan Eian Yow ketika ditemu bual Astro Arena Saluran 801 di Hangzhou, kurang menampilkan wajah gembira, sebaliknya membalas setiap persoalaan diajukan dengan nada matang – sama seperti apa disajikan di atas gelanggang pada petang 5 Oktober.
Ini juga emas kedua bagi Sivasangari atas lebih mesra dengan panggilan Sangari selepas membantu skuad wanita membabitkan Rachel Arnold, Aifa Azman dan Aira Azman menjuarai acara berpasukan, Sabtu lalu.
Kejayaan terkini di Sukan Asia harus menyuntik keyakinan baru kepada kedua-dua juara benua ini. Apa yang pasti mereka akan menoleh ke arah mengecapi status lebih besar selepas ini – menakluki pentas dunia.
Tidak dinafikan barisan skuasy negara muncul penyumbang terbesar dengan tiga emas bagi kontinjen untuk menjadikan keseluruhan lima setakat ini.

Terdahulu, dua emas lain menyusul daripada acara pelayaran dan ekuestrian.Temasya sukan terbesar benua ini berbaki tiga hari lagi sebelum tirai dilabuh, Ahad ini.
Di gelanggang skuasy, koleksi emas negara dimulakan oleh Sangari yang terpaksa mencari ilham terbaik sebelum menewaskan pemain pilihan dari Hong Kong, Chan Sin Yuk 3-2 dalam final yang penuh debaran dan dramatik.
Pada set kelima dan terakhir, ketika dia bangkit menjadikan kedudukan 11-10 memihak kepadanya, anak muda berusia 24 tahun ini dapat dilihat menekan kepala dengan jarinya berulang kali tanda memberi isyarat mengenai mentaliti dan kesungguhannya untuk menang.
Elemen ini seperti nampak kekurangan pada atlit generasi pada ketika ini.
Jelas, dia membuktikan dapat bangkit dengan minda kuat dan yakin pada diri apabila menyusun semula permainannya mengatasi halangan terakhir dengan kemenangan 8-11, 15-13,10-12,11-9, 12-10 dalam tempoh sejam.
Lawannya berusia 21 tahun itu juga bukan calang-calang pemain yang agresif dan memberi saingan sengit mengutip mata demi mata mengejarnya sehingga ke penamat saingan.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku ketika pertarungan. Saya minta diri saya untuk bangkit segera dalam situasi tertekan dan bertarung habis-habisan.
“Apa yang berlegar dalam minda adalah Sukan Asia akan diadakan tiga tahun lagi dan saya tidak mahu mensia-siakan peluang. Saya mahu menang emas di sini.
“Saya berkata ini adalah peluang terbaik mengejar impian besar dan amat gembira dapat mencapai hajat itu,” katanya ketika ditemubual Astro Arena Saluran 801.
Di Sukan Asia 2018 di Jakarta, dia meraih pingat perak selepas tewas kepada legenda skuasy, Datuk Nicol Ann David dan memenangi gangsa acara berpasukan.
Sangari kemudian bergegas ke biliknya di Perkampungan Sukan untuk mengemaskan beg sebelum berlepas ke Amerika Syarikat menghadapi kejohanan Terbuka AS pada 7 Oktober ini.

Sementara itu, Eain Yow yang menyumbang emas kelima negara menyifatkan kejayaan besar ini amat bererti baginya selepas menewaskan lawan veteran dari India, Ghosal Saurav 9-11,11-9,11-5,11-7, sekaligus menamatkan penantian 13 tahun bagi acara perseorangan lelaki.
“Apa yang saya usahakan hari ini adalah untuk memberikan satu kemenangan bermakna kepada Malaysia.
“Kemenangan ini bukan hanya kerana keringat saya, tapi semua yang terbabit termasuk pegawai dan jurulatih dalam pasukan.
“Mereka berada bersama saya ketika kalah dan menang untuk memberi nasihat dan motivasi bagi halangan berikut dengan dengan minda positif,” katanya.
Kejayaan pemain berusia 25 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu – yang menyumbang pingat ke-28 untuk negara – juga menamatkan badi 13 tahun dalam acara perseorangan lelaki selepas kejayaan Ong Beng Hee pada 2002, 2006 dan Mohd Azlan Iskandar (2010).
Sementara itu, dalam acara beregu campuran yang diperkenalkan buat pertama kali di Sukan Asia, pasangan negara Mohammad Syafiq Mohd Kamal dan Aifa Azman terpaksa akur dengan pingat perak selepas tewas kepada pasangan India, Sandhu Harinder Pal Singh-Deepika Pallikal 2-0.
Malaysia kini kembali selaku pasukan terbaik dalam acara skuasy Sukan Asia dengan jumlah keseluruhan 3 emas, 1 perak dan 1 gangsa, mengatasi pencapaian 2-2-1 di edisi 2018 di Jakarta-Palembang.
Dalam acara badminton, Aaron-Wooi Yik memastikan pasukan negara tidak akan pulang dengan tangan kosong apabila gah mara ke saingan separuh akhir.
Ketika rakan lain terkandas dalam suku akhir, pasangan pilihan ke-6 dunia itu menebus kecewa menewaskan pasangan tuan rumah, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-18, 19-21, 21-18 di Gimnasium Binjiang.
Dalam saingan kelompok empat terakhir, hari ini (6 Oktober) bekas juara dunia itu akan berdepan pasangan utama dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty untuk merebut tiket ke final.
Majulah sukan untuk negara!






Leave a Reply