
Oleh Sunarti Kibat
SAYA sangat bersyukur sebagai orang media dahulu sempat bertemu dan berkenalan dengan orang yang sangat penting dalam sejarah Malaysia iaitu Bapa Kemerdekaan juga Perdana Menteri (PM) Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj.
Ketika itu usia saya baru 25 tahun dan Almarhum sudah uzur dan matanya hampir tidak dapat melihat, tapi pemikirannya tetap tajam dan kata-katanya banyak yang kelakar serta menghiburkan.
Saya mahu berkongsi cerita Tunku pernah ‘denda’ MB Kelantan, Allahyarham Tan Sri Asri Muda dengan tidak menurunkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Kelantan.
Akibatnya selama dua bulan kakitangan negeri itu tidak menerima gaji bulanan mereka.
Ini kerana Almarhum sakit hati dengan keceluparan mulut MB itu mengata beliau…. (saya rahsiakan)… di Parlimen.
Kata Tunku, MB sepatutnya menegurnya secara perseorangan dan bukan memalukannya di depan rakyat.
Bagaimanapun akhirnya Tunku bersedia bertemu Asri yang sanggup menunggunya seharian di depan pintu keluar pejabat PM ketika itu di bangunan 2 tingkat di Jalan Tunku Abdul Rahman.
Tunku memberitahu pejabat PM pada zamannya terletak di barisan bangunan dua tingkat dan pintu keluar masuk ke bangunan itu hanya satu.
Katanya kalau ada pintu keluar yang lain, pasti diam-diam dia akan tinggalkan pejabatnya tanpa pengetahuan Asri. Memang dia ada niat itu dan tidak mahu menemui Asri pada hari itu.
Saya ketawa mengekek mendengarnya. Hati Tunku luluh juga dengan kesanggupan Asri meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
“Saya pun terus telefon Menteri Kewangan dan minta luluskan peruntukan 2 juta segera pada Kelantan.”
“Kamu tahu siapa Menteri Kewangan masa saya. Budak sekarang mana ingat sejarah,” tempelak Tunku sebelum sempat saya menjawabnya.
Sudah tentu saya tahulah sebab orang media sebelum jumpa orang yang mahu diwawancara lagi-lagi pemimpin politik, mereka akan membaca selengkap mungkin maklumat mengenai tokoh tersebut agar tidak nampak bodoh.
Pengalaman saya ada dua tokoh paling pantang jika kita memberi soalan yang mereka anggap bodoh lantaran kurang informasi iaitu King Gaz (Allahyarham Tun Muhammad Ghazali Shafie) dan Tan Sri Rafidah Aziz.
“(Tun) Tan Siew Sin..” jawab saya dan Tunku tersenyum mendengarnya.
Saya dapat bayangkan betapa gigihnya Asri menunggu Tunku sehari suntuk demi rakyatnya.

Akhirnya takdir sudah mencatatkan Allahyarham Tan Sri Asri yang dalam sejarah PAS sebagai pemimpin pertama yang diturunkan oleh ahli-ahlinya, meninggal sebagai ahli UMNO dan Tunku seperti yang kita tahu sejarahnya.
Semoga kedua-duanya aman damai di alam barzah. Alfatihah.
Pengajarannya pemimpin tinggi juga hanya manusia biasa….ada kalanya tahu merajuk juga.

Penulis pernah berkhidmat sebagai wartawan selama 30 tahun. Bermula sebagai “stringer’ sepenuh masa di meja ekomomi serta hiburan Berita Harian dan Berita Minggu selama dua tahun selepas lulus Kajian Sebaran Am, ITM 1987. Paling lama berkhidmat di Utusan Malaysia antaranya lebih 10 tahun di meja ekonomi. Meninggalkan media dan berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Parlimen dan Setiausaha Akhbar kepada Tan Sri Shahrir Abdul Samad.






Leave a Reply